Euforia Bola 2026
Suami Isteri

“Ceraikan Aku Sekarang”– Suka-Suka Buat Trend Lafaz Cerai Di Threads, Menteri Agama Beri Peringatan

CERAI DI MEDIA SOSIAL

Cerai di media sosial semakin menjadi perhatian apabila ada pasangan yang melafazkan perkataan cerai secara terbuka di platform seperti Threads, sama ada ketika bergaduh, bergurau atau sekadar mengikut trend.

Namun, apabila melibatkan lafaz talak, perkara ini tidak sepatutnya dipandang ringan kerana boleh membawa implikasi terhadap rumah tangga.

Baca juga: Majlis Kahwin Suami Cetus Kekecohan, Isteri Muncul Dakwa Masih Belum Bercerai & 3 Tahun Abai Nafkah!

LAFAZ CERAI DI MEDIA SOSIAL, JANGAN JADIKAN TREND

CERAI DI MEDIA SOSIAL

Perbualan sebegini mungkin kelihatan seperti pertengkaran atau gurauan antara pasangan, namun persoalan mengenai lafaz cerai yang dibuat secara bertulis di media sosial tidak seharusnya dipandang ringan.

Tambahan pula, media sosial merupakan ruang awam yang boleh disaksikan dan dikongsi oleh orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, sebelum ini mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam membuat keputusan, khususnya apabila melibatkan perkara serius seperti perceraian.

Menurut beliau, tindakan melafazkan cerai di ruang awam dan terbuka seperti media sosial bukan sahaja boleh memberi implikasi emosi, malah berpotensi menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada pihak yang terlibat serta masyarakat.

“Kita nasihatkan semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, supaya lakukanlah sesuatu dengan penuh kesopanan, mengikut prosedur dan undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya bersikap ihsan dalam setiap tindakan agar keputusan yang dibuat tidak membawa kesan negatif kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Dr Zulkifli turut menjelaskan bahawa isu berkaitan hukum lafaz cerai perlu diserahkan kepada pihak berautoriti seperti Mahkamah Syariah dan jabatan agama berkaitan untuk disemak serta diputuskan berdasarkan syarak dan perundangan yang sah.

Ini bermakna pasangan yang berdepan situasi melibatkan lafaz cerai tidak seharusnya hanya bergantung kepada pandangan warganet atau membuat kesimpulan sendiri mengenai status perkahwinan mereka.

CERAI DI MEDIA SOSIAL

Media sosial bukan tempat lafaz cerai

Perkahwinan merupakan satu ikatan yang mempunyai tanggungjawab dan implikasi besar. Justeru, lafaz berkaitan perceraian tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan, sindiran atau kandungan untuk mendapatkan perhatian di media sosial.

Lebih-lebih lagi apabila sesuatu hantaran boleh dibaca, disimpan dan dikongsi semula oleh orang ramai.

Sekiranya berlaku lafaz yang menimbulkan persoalan mengenai status perkahwinan, pasangan berkenaan sebaik-baiknya mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti bagi menentukan kedudukan sebenar menurut hukum dan undang-undang.

Trend di media sosial mungkin berubah dari semasa ke semasa, tetapi lafaz yang menyentuh soal perceraian bukan sesuatu yang wajar dipandang sebagai sekadar gurauan.

Berhati-hatilah dalam menulis atau mengucapkan sesuatu, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan masa depan rumah tangga dan hukum syarak.

Baca juga: “Saya Rasa Terpenjara”– Dr Fie Harap Kes Komital Dengan Bekas Suami Berakhir, Mahu Hidup Tenang

Sumber: Threads & Berita RTM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×