Doktor gigi dan pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, 36, berharap kemelut membabitkan kes komital yang difailkan bekas suaminya, penyanyi Nubhan, 40, dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Menurut Dr Fie, kes berkenaan menyebabkan dirinya perlu lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian kerana tidak mahu urusan peribadinya terus menjadi perhatian pihak bekas suami.
DR FIE RASA TERPENJARA, MAHU KES SELESAI SEGERA

“Kalau boleh saya nak isu ini selesai secepat mungkin. Ada banyak program melibatkan saya. saya nak meneruskan hidup saya bersama anak-anak dengan tenang.
“Ini tidak, saya macam ada perasaan takut, gementar, terasa seperti diperhatikan. Apatah lagi saya disoal sebanyak 120 soalan, Ibarat dia menanti-nantikan saya membuat kesalahan.
“Perkara itu membuatkan saya rasa terpenjara. Jika kes ini cepat selesai, saya tidaklah berasa seperti itu,” jelasnya.
Sebelum ini, Dr Fie hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menghadiri prosiding kedua berkaitan permohonan komital yang dikemukakan oleh bekas suaminya.
Dia hadir bersama peguam yang mewakilinya, Nor Hazura Hamzah dan Nur Shahidah Hassan. Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad turut hadir ke mahkamah dengan ditemani peguamnya, Redzuan Ramli.
Mengulas lanjut mengenai situasi yang dilaluinya, Dr. Fie berkata keadaan tersebut membuatkan dia berasa seolah-olah kehidupannya tidak lagi bebas seperti sebelum ini.
“Apa saya nak buat saya kena fikir terlebih dahulu. Memanglah kita berfikir sebelum mengambil tindakan, tetapi tak adalah sampai merasakan diri kita ini terpenjara,” katanya.
Mahu teruskan kehidupan bersama anak

Pada masa sama, Dr Fie berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik agar dia dapat kembali menjalani kehidupan bersama tiga anak mereka dengan lebih tenteram.
“Sebagai ibu tunggal, saya mahu pergi jauh, macam-macam impian yang saya nak buat. Kalau boleh saya nak benda ini selesai secepat mungkin, tapi tak boleh sebab saya tak bersedia.
“Dia tidaklah menganggu, tetapi saya rasa tersekat. Setiap tindak tanduk saya diperhatikan. Saya pula bukannya orang yang boleh duduk diam.
“Saya nak pergi lebih jauh, aktif dalam media sosial, bukan terperap dalam klinik 24 jam. Perbuatan saya itu bagai dapat dilihat oleh pihak di sana. Dia ibaratnya boleh lihat setiap tindak tanduk kita, membuatkan kita merasakan hidup kita ini tiada privasi,” ujarnya.
Untuk rekod, Nubhan sebelum ini memfailkan permohonan komital terhadap Dr Fie yang berkaitan dengan tiga kenyataan di media sosial.
Sebelum ini, Nubhan dan Dr Fie sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 1 Disember 2025, manakala lafaz cerai kali kedua berkenaan disahkan berlaku pada 26 Ogos 2025.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille.
Sumber: Utusan Malaysia
