Euforia Bola 2026
Famili

Wanita Sebak Kenang Jiran Bukan Islam Baru Meninggal, Anak Mendiang Setia Telefon Kejut Subuh Setiap Hari

kejut subuh

Seorang wanita mencuri perhatian warga maya, selepas berkongsi kisah anak jirannya yang sanggup menghubungi mereka untuk kejut Subuh setiap pagi bagi memastikan mereka tidak terlepas bangun sebelum memulakan rutin harian.

Walaupun berlainan agama, hubungan baik antara jiran ini membuktikan nilai prihatin tidak mengenal perbezaan latar belakang.

Baca juga: “Baik Kasi Aku Makan”- Wanita Tular Tendang Anak Kucing Melambung 4 Meter Di R&R, Netizen Naik Angin!

KISAH JIRAN BERBEZA AGAMA YANG PRIHATIN TOLONG KEJUT SUBUH

kejut subuh

Gambar perkongsian Leen di Threads.

Perkongsian itu dimuat naik oleh wanita dikenali sebagai Leen menerusi Threads selepas jiran sebelah rumahnya meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Leen, dia dan keluarganya membuka pintu pagar rumah mereka selepas mendapat berita pemergian jirannya sekiranya keluarga mendiang memerlukan sebarang bantuan sepanjang urusan pengebumian.

“Jiran sebelah meninggal kemarin. Kita buka pintu pagar jika mereka perlu apa-apa. Bertolak ansur walaupun berlainan agama,” kongsi Leen.

Namun, perkara yang paling meninggalkan kesan kepada Leen ialah kebaikan anak lelaki mendiang yang selama ini menjaga ibunya yang uzur.

Anak jiran bantu kejut Subuh selepas satu kejadian terlajak tidur

Menurut Leen, anak lelaki jirannya bukan sahaja menjaga ibunya setiap hari, malah turut mengambil berat tentang keluarga mereka.

Rutin itu bermula selepas satu kejadian apabila Leen pernah terlajak tidur sehingga hanya tersedar sekitar pukul 8 pagi.Sejak itu, lelaki berkenaan mula menghubungi suami Leen setiap pagi sebelum Subuh untuk memastikan mereka sudah bangun.

“Sebelum ini anak dia yang lelaki jaga mak dia setiap hari sebelum Subuh akan call kejut kami, sebab saya pernah terlajak lena sedar-sedar pukul 8 dah. Start dari situ, dia call suami dan panggil setiap hari untuk kami bangun,” kongsi Leen lagi.

Leen berkata, panggilan tersebut banyak membantu mereka terutama untuk bersiap ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Jiran kejutkan untuk saya pergi kerja dan anak sekolah. Sebab dia jaga mak dia, jadi dia akan panggil kami atau call. Selalunya saya dah bangun cuma hari itu saja letih,” jelasnya.

Baginya, perkara kecil yang dilakukan lelaki tersebut cukup bermakna kerana menunjukkan keprihatinan seorang jiran terhadap kehidupan orang di sebelah rumah.

Baca juga: “Ingatkan Tukang Masak Terulung…”- Rupanya ShafiqCute Pegawai Forensik DNA, Kongsi Kos & Cara Buat Ujian Ketika Isu Curang Tengah Hangat

 

Lihat di Threads

 

Rumah jiran kini terasa lebih sunyi

Mengimbau kembali keadaan jirannya yang sudah lama sakit, Leen turut meluahkan rasa sedih selepas pemergian wanita tersebut. Katanya, suasana di kawasan rumah mereka pasti berubah kerana rumah berkenaan tidak lagi dihuni seperti dahulu.

“Auntie dah tak sakit. Lama dah auntie sakit. Lepas ini sunyi lah kami, rumah ini tiada siapa-siapa dah duduk. Takziah untuk jiran saya,” jelas Leen lagi.

Menurut laporan World of Buzz yang memetik perkongsian tersebut, keluarga mendiang turut datang ke rumah Leen pada Isnin lalu. Menantu mendiang dikatakan hadir membawa hadiah sebagai tanda penghargaan kerana menghargai hubungan baik yang terjalin antara mereka sebagai jiran.

Warga maya tersentuh dengan kebaikan jiran

Perkongsian Leen menerima pelbagai reaksi daripada pengguna Threads yang kagum dengan sikap saling mengambil berat antara dua keluarga berlainan agama itu.

Ramai memuji tindakan anak jiran tersebut yang sanggup meluangkan masa setiap hari untuk memastikan mereka bangun pada waktunya.

Seorang lagi pengguna turut memuji sikap Leen sebagai jiran yang prihatin dan tidak kurang juga yang kagum dengan hubungan baik yang terjalin antara mereka.

Sumber: Threads @nrshzlynrsln / World of Buzz

FT Image: Threads @nrshzlynrsln

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×