Perkongsian mengenai anak kucing yang didakwa ditendang sehingga melambung kira-kira tiga hingga empat meter di sebuah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) mencetuskan kemarahan ramai di media sosial.
Kejadian yang dikongsikan oleh dua saksi menerusi Threads itu membuatkan ramai pencinta haiwan meluahkan rasa sedih dan kecewa. Rata-rata menyifatkan tindakan tersebut tidak berperikemanusiaan kerana anak kucing berkenaan hanya sedang makan makanan yang diberikan oleh orang ramai.
TULAR ANAK KUCING DITENDANG WANITA SEHINGGA MELAMBUNG

Gambar: Threads @mdaudyusof
Saksi dakwa wanita persoal kenapa orang beri makan kucing
Menurut perkongsian pengguna Threads, @mdaudyusof, kejadian berlaku ketika dia singgah di R&R RISDA dalam perjalanan dari Tangkak ke Rompin.
Ketika menunggu anaknya selesai menggunakan tandas, dia ternampak empat orang anak muda sedang memberi makan kepada seekor ibu kucing bersama anak-anaknya.
Tidak lama kemudian, seorang wanita menghampiri kumpulan tersebut lalu bertanya mengapa mereka memberi makan kepada kucing. Menurutnya, dia sempat menjawab bahawa haiwan itu diberi makan kerana kelihatan lapar.
Namun, suasana bertukar sedikit terganggu apabila wanita terbabit didakwa terus menghampiri anak kucing tersebut sebelum menendangnya dengan kuat.
“Tak lama lepas tu, mak cik tu terus berjalan ke arah mereka dan tendang anak-anak kucing tu. Melambung dalam tiga hingga empat meter anak kucing tu. Kesian,” katanya pada hantaran tersebut.
Dia turut mendakwa wanita berkenaan mempersoalkan tindakan membeli makanan untuk kucing, “Apa faedah bagi makan kucing? Kenapa membazir duit gaji beli makanan kucing?”
Melihat kejadian itu berlaku di depan mata, dia terus menegur wanita tersebut dengan nada tegas. Menurutnya, wanita terbabit kemudian beredar sambil berkata, “Habis, siapa nak ganti nasi aku yang hilang?”
Dalam hantaran sama, dia memaklumkan telah menerima pelbagai cadangan daripada orang ramai berhubung saluran yang sesuai untuk membuat laporan.

Gambar: Threads @mdaudyusof
Malah, dia turut meminta bantuan mana-mana individu yang mempunyai rakaman dashcam di laluan Segamat–Muadzam Shah pada 25 Julai lalu di antara jam 3.00pm-5.00pm, bagi membantu mengesan wanita berkenaan.
Seorang lagi saksi akui masih terkejut lihat kejadian depan mata
Seorang lagi saksi, @syhirahmn, turut berkongsi pengalaman sama menerusi Threads.
Menurutnya, dia pada mulanya menyangka wanita tersebut berang kerana kawasan itu dikotorkan oleh kucing dan bersedia membersihkannya jika perlu.
Namun sangkaannya meleset apabila wanita terbabit berulang kali bertanya, “Apa faedah bagi kucing makan?”
Apabila dia menjawab bahawa memberi makan kepada haiwan boleh mendapat pahala, wanita itu didakwa terus bertindak menendang anak kucing tersebut.
“Tiba-tiba dia terus marah dan tendang anak kucing tu, sampai melambung. I memang speechless gila, terkejut dia boleh tendang macam tu,” ujarnya.
Katanya lagi, dia bersama rakan-rakan hanya mampu terdiam kerana terlalu terkejut melihat kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.

Gambar: Threads @syhirahmn
Nasib baik, seorang lelaki yang berada berhampiran tampil menegur wanita tersebut, “Mak cik tak boleh buat macam ni.”
Menurutnya lagi, selepas ditegur, wanita itu didakwa berkata, “Baik kasi aku makan.”
Luahan saksi itu turut menyentuh hati ramai apabila dia memujuk anak kucing yang kelihatan terkejut selepas insiden berkenaan.
“Nasib baik dia jatuh atas tanah, bukan atas kerusi batu dekat situ. Lepas tu anak kucing tu sambung makan,” ujarnya lagi.
Dia mengakhiri perkongsiannya dengan menyeru orang ramai supaya menjadi tempat yang selamat buat haiwan jalanan.
“Please, let’s make ourselves a safe place for all stray cats. Tak nak bagi makan tak apa, tapi jangan aniaya,” nasihatnya di akhir hantaran tersebut.
Perkongsian kedua-dua saksi itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang mengecam tindakan terhadap haiwan tersebut.
Ramai berharap kejadian itu dapat disiasat sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berbelas ihsan terhadap anak kucing dan haiwan terbiar yang tidak mampu mempertahankan diri.
Sumber: Threads @mdaudyusof / @syhirahmn
FT Image: Threads @mdaudyusof / @syhirahmn
