Ramai yang mula panik selepas tular dakwaan kononnya rakyat Malaysia boleh didenda atau dipenjara jika tidak mengemas kini alamat MyKad selepas berpindah rumah.
Susulan kekeliruan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil menjelaskan keadaan sebenar bagi mengelakkan orang ramai terus terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat.
Baca juga: Ramai Tak Sedar! Bergaji RM3,255 Sebulan Mungkin Buat Anda Dah ‘Terkeluar’ Daripada Kategori B40
TAK KENA TINDAKAN JIKA TIDAK KEMAS KINI ALAMAT MYKAD

Gambar Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia.
Tiada operasi khas, rakyat tidak dipaksa tukar alamat MyKad – JPN
JPN menegaskan tiada kempen khas dilaksanakan bagi mewajibkan semua rakyat Malaysia menukar alamat tempat kediaman pada kad pengenalan (MyKad) masing-masing.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, jabatan itu turut memaklumkan bahawa tiada operasi khas dijalankan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang belum mengemas kini alamat selepas berpindah ke kediaman baharu.
Menurut JPN, tanggungjawab memastikan maklumat pada MyKad sentiasa tepat dan terkini terletak pada setiap pemilik. Sekiranya berlaku perubahan kepada alamat kediaman yang baharu dan kekal, pemilik MyKad digalakkan hadir ke mana-mana cawangan JPN bagi mengemas kini maklumat tersebut.
Fi yang dikenakan bagi penggantian MyKad untuk tujuan pertukaran alamat adalah sebanyak RM10.
JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dakwaan bahawa kerajaan memaksa semua rakyat menukar MyKad atau cuba meraih keuntungan melalui pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang telah lama berkuat kuasa.
Menurut jabatan itu, dakwaan sedemikian tidak menggambarkan keadaan sebenar malah boleh mengundang kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Gambar Kamarul Bismi Kamaruzaman (Kosmo!): Hisham (dua dari kiri) ketika menyerahkan sijil kelahiran seorang kanak-kanak pada Program Mekar: Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal, Kuala Krai.
Tiada tindakan penguatkuasaan ketika ini – Ketua Pengarah JPN
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias turut menjelaskan bahawa walaupun penukaran alamat diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, ia tidak bermaksud JPN sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap orang ramai.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini hanya merujuk kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan bukannya memberi gambaran bahawa semua individu yang belum mengemas kini alamat masing-masing akan dikenakan tindakan.
Menurut beliau, sehingga kini JPN juga tidak menjalankan operasi khusus bagi mengambil tindakan terhadap individu semata-mata kerana belum mengemas kini alamat pada MyKad selepas berpindah rumah.
Beliau mengakui terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat susulan kenyataan terdahulu yang tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai salah faham mengenai kewajipan mengemas kini alamat.
Pusat mengundi automatik berubah jika pertukaran alamat dibuat?
“Dakwaan bahawa pertukaran alamat di JPN akan menyebabkan pusat mengundi berubah secara automatik dan itu juga tidak benar.
“Selepas alamat dikemas kini di JPN, seseorang pemilih masih perlu mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk urusan pertukaran bahagian atau pusat mengundi mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
“Proses pertukaran alamat di JPN juga tidak mengubah pusat mengundi secara automatik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar): Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal, semalam.
Beliau menjelaskan peranan JPN hanyalah merekod dan mengemas kini alamat yang dikemukakan oleh pemohon selepas proses pengesahan dibuat bagi memastikan alamat tersebut benar-benar wujud dan didiami.
Sehubungan itu, JPN sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Sumber: Facebook JPN / Kosmo!
FT Image: Suara Keadilan / Buletin TV3
