Euforia Bola 2026
Rakyat

Lebih Mudah Berbelanja! Kod QR SARA Dijangka Diperluas Ke Pasar Tamu Dan Pasar Tani

kod qr

Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memperluaskan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod QR di Pasar Tamu dan Pasar Tani. Sekiranya pelaksanaan ini didapati sesuai dan mampan, pengumuman mengenainya dijangka dibuat menerusi Belanjawan 2027.

Baca juga: Formula 1 Kembali Gegarkan Sepang! Permohonan Sukarelawan F1 2026 Kini Dibuka, Ada Elaun

KERAJAAN KAJI GUNA SARA MENERUSI KOD QR DI PASAR TAMU & PASAR TANI

kod qr

Foto: TRDI

Inisiatif ini dilihat berpotensi memudahkan penerima SARA mendapatkan barangan keperluan asas di lebih banyak lokasi, selain memberi manfaat kepada penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran QR di Pasar Tamu dan Pasar Tani masih berada dalam peringkat kajian serta penelitian.

Sekiranya pelaksanaan itu disahkan mampan, ia akan diumumkan secara rasmi dalam Belanjawan 2027.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi jawapan bertulis MOF di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Larry Anak Asap berhubung cadangan memperluaskan skop penggunaan SARA di pasar tamu demi memberi manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

Penerima SARA Boleh Berbelanja Dengan Rakan Niaga Yang Menyertai Pasar Tamu

kod qr

Foto: Malay Mail

MOF turut menjelaskan bahawa sekiranya sesuatu premis yang menjadi Rakan Niaga SARA turut berniaga di Pasar Tamu atau Pasar Tani, penerima SARA sudah boleh menggunakan kredit mereka di gerai berkenaan.

Namun begitu, pembelian hanya tertakluk kepada kategori barangan yang diluluskan di bawah SARA.

Ini bermakna, kemudahan tersebut hanya boleh digunakan dengan peniaga yang berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA dan bagi produk yang layak di bawah program berkenaan.

Lebih 13,700 Rakan Niaga SARA Kini Di Seluruh Negara

Dalam perkembangan sama, kerajaan memaklumkan rangkaian Rakan Niaga SARA terus berkembang dengan ketara.

Sehingga 15 Julai 2026, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada lebih 13,700 premis di seluruh negara berbanding hanya 700 premis pada tahun 2024.

Daripada jumlah itu, lebih 6,000 premis merupakan kedai runcit kecil yang kini turut menyertai program tersebut.

Selain itu, penerima SARA kini mempunyai akses kepada kira-kira 140,000 produk atau barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit SARA.

Berpotensi Beri Manfaat Kepada Penjaja & Penerima SARA

Jika cadangan penggunaan pembayaran QR di Pasar Tamu dan Pasar Tani dilaksanakan pada masa hadapan, ia bukan sahaja memudahkan penerima SARA mendapatkan barangan keperluan harian di lokasi yang lebih dekat, malah berpotensi meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil.

Buat masa ini, orang ramai perlu menunggu hasil kajian kerajaan, manakala sebarang keputusan rasmi mengenai pelaksanaan tersebut dijangka diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027.

Baca juga: Bil Elektrik Tiba-Tiba Melambung? Ini 9 Peralatan Rumah Yang Sebenarnya Paling ‘Makan’ Elektrik!

Sumber: Berita Harian 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×