Sungguh menyayat hati apabila seorang kanak kanak didera dan dikurung di dalam sebuah stor sepanjang cuti sekolah dan hanya diberikan makan sebanyak dua kali sehari oleh keluarga angkatnya sendiri.
Baca juga: Video Burung Merpati Masuk Wad Hospital & Patuk Makanan Pesakit Tular, HTAR Tampil Beri Penjelasan
KANAK KANAK DIDERA DAN DIKURUNG SEPANJANG CUTI SEKOLAH

Foto: Polis Diraja Malaysia
Kejadian yang berlaku di Taman Tuanku Jaafar, Seremban itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen selepas mangsa berjaya diselamatkan pihak polis hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
Apa yang lebih menyedihkan, mangsa dipercayai menjalani rutin harian yang sangat tidak sesuai untuk seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian serta kasih sayang daripada penjaganya.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman, pihak polis menerima laporan berhubung pengabaian terhadap kanak-kanak perempuan yang berusia 9 tahun itu pada jam 7.22 petang.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga sejak berusia setahun lapan bulan dipercayai ditempatkan di dalam sebuah stor yang terletak di belakang rumah sepanjang tempoh cuti sekolah dari Mei hingga Jun lalu.
Walaupun stor tersebut dilaporkan tidak berkunci, mangsa dipercayai diarahkan untuk berada di dalam ruang berkenaan hampir sepanjang masa dan tidak dibenarkan bebas seperti kanak-kanak lain.
Hanya Dibenarkan Keluar Untuk Menggunakan Tandas
Menurut polis, mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah bagi tujuan menggunakan tandas sebelum diarahkan kembali semula ke stor selepas selesai.
Selain itu, kanak-kanak tersebut juga hanya diberikan makanan sebanyak dua kali sehari sepanjang berada di situ.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan kerana kanak-kanak pada usia sembilan tahun memerlukan pemakanan yang mencukupi serta persekitaran yang selamat untuk perkembangan fizikal dan emosi mereka.
Kanak Kanak Didera Dan Dipukul Oleh Ibu Angkat

Foto: Magnific
Siasatan turut mendapati mangsa dipercayai sering dimarahi dan dipukul oleh suspek yang merupakan ibu angkatnya.
Menurut polis, antara punca mangsa dimarahi adalah disebabkan perkara-perkara kecil termasuk didakwa mencuri makanan pada waktu malam.
Keadaan yang dipercayai berlaku dalam tempoh tertentu itu akhirnya terbongkar selepas laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Mangsa Diselamatkan, Ibu Angkat Ditahan Polis
Susulan laporan yang diterima, pihak polis segera menjalankan siasatan sebelum menyelamatkan mangsa daripada rumah berkenaan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta menerima rawatan lanjut bagi memastikan keadaan fizikalnya berada dalam keadaan baik.
Dalam operasi yang sama, seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan ibu angkat mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan keadaan yang dialami mangsa.
Semoga nasib kanak-kanak ini mendapat pembelaan sewajarnya. Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan bebas daripada sebarang bentuk pengabaian atau penderaan.
Baca juga: Ramai Dah Boleh Mula Rancang Percutian! Ini Senarai Lengkap Cuti Umum & Cuti Penggal Kedua 2026
Sumber: Harian Metro
FT Images: Magnific
