Jumlah denda RM800 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Klang, semalam, ternyata tidak dapat diterima keluarga seorang kanak-kanak autistik yang cedera selepas dipukul menggunakan penyangkut baju oleh guru taska ketika berada di pusat asuhan.
Bapa mangsa, Muhamad Firdaus Roslan, 42, mempersoalkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Lenah Abdul, 43, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.
GURU TASKA DIDENDA RM800 PUKUL BUDAK AUTISTIK GUNA ‘HANGER’

Gambar Kosmo!: Lenah (depan) dibawa anggota polis selepas prosiding di Mahkamah Majistret Klang.
Mengikut fakta kes, tertuduh memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika memandikan kanak-kanak berkenaan, kira-kira pukul 10 pagi pada 28 Ogos lalu di sebuah taska di Taman Sentosa.
Bapa mangsa kemudian tidak berpuas hati selepas melihat kesan lebam pada tubuh anaknya sebelum meminta penjelasan daripada tertuduh dan membuat laporan polis.
Selain hukuman denda RM800, Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda tersebut.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Di mana keadilan untuk anak saya?”
Bagi Muhamad Firdaus, jumlah denda tersebut terlalu ringan berbanding kecederaan yang dialami anaknya.
Kakitangan awam sebuah universiti awam itu berkata, keluarganya juga kesal apabila pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan.
“Pesalah didenda RM800 menyamai yuran bulanan yang saya bayar untuk anak kedua saya.
“Bagi kami, di mana keadilan untuk Fahiem apabila akta yang digunakan sangat lemah, sedangkan doktor yang merawat mengesahkan kesan kecederaan pada kedua-dua paha dan lengan anak saya adalah (disebabkan) kesan penderaan,” katanya kepada Kosmo!.

Gambar Kosmo!: Muhamad Fridaus menunjukan kesan kecederaan dialami anaknya dipukul menggunakan penyangkut baju.
Muhamad Firdaus berpandangan tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap kes tersebut, termasuk pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Peruntukan itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
“Kami juga mahu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan terhadap premis asuhan itu supaya tiada kanak-kanak lain mengalami nasib sama.
“Keluarga akan melantik peguam bagi menggesa Jabatan Peguam Negara menyemak dan menilai semula kes ini,” katanya.
Menurutnya, hukuman ringan itu dikhuatiri memberi gambaran seolah-olah perbuatan memukul atau mencederakan kanak-kanak boleh diambil ringan. Lebih memilukan, kejadian tersebut turut memberi kesan kepada emosi anaknya yang mengalami trauma.
Isterinya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta juga terpaksa mengambil cuti bagi menjaga anak kedua daripada tiga beradik itu.
“Sepatutnya dia tahu cara menjaga kanak-kanak autistik kerana taska itu memang untuk anak-anak autistik,” katanya.
Baca juga: Ustazah Arah 27 Murid Tak Hafal Asmaul Husna Cubit Sesama Sendiri, Ada Yang Kena Sampai 80 Kali!
Dalam prosiding mahkamah, peguam Adam Rosli memaklumkan Lenah merupakan ibu kepada lima anak termasuk seorang anak autistik dan hanya berpendapatan RM1,700 sebulan.
Menurutnya, pada hari kejadian, mangsa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buangnya sebelum mencalitkannya pada dinding taska sehingga kotor, selain bertindak agresif.
“Tertuduh perlu memantau tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya dan pada hari kejadian keadaan menjadi di luar kawalannya sehingga dia bertindak seperti dalam pertuduhan.
“Dia juga telah menyerah diri kepada polis, mengakui kesalahan, memohon maaf dan insaf. Oleh itu, kami memohon hukuman denda,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman menegaskan tertuduh sebagai guru dan penjaga mempunyai tanggungjawab terhadap mangsa yang merupakan kanak-kanak autistik.
“Kegagalan mengawal kemarahan dan emosi menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Justeru, hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam,” katanya.
