Suami Isteri

Jika Wanita Berkahwin Banyak Kali, Di Syurga Nanti Akan Bersama Suami Yang Mana?

1
SHARES
kahwin banyak kali

Ketentuan dan aturan Maha Pencipta tentang perkahwinan yang terjalin antara pasangan suami isteri itu berada di luar jangkaan kita. Bukan sahaja institusi rumah tangga boleh terhenti akibat penceraian malah turut berpunca dari kematian pasangan masing-masing. Buat wanita khususnya, ada yang telah melalui fasa kahwin banyak kali  dalam hidup dan tertanya di alam syurga nanti akan bersama dengan suami yang mana satu?

Ini berdasarkan soalan di laman X yang mendapat reaksi orang ramai yang turut tertanya-tanya, suami yang mana akan bersama mereka di alam syurga nanti.

Baca juga: Tular Isu Wanita Teringin Poligami, Ustaz Pesan Jangan Buat Main Hukum Hakam..Ada Hikmah!

WANITA KAHWIN BANYAK KALI, SUAMI YANG MANA AKAN BERSAMA DI ALAM SYURGA?

kahwin banyak kali

Menerusi laman portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat tiga pandangan yang menjawab kepada pertanyaan tersebut. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.anha iaitu:

الْمَرْأَةُ مِنَّا تَتَزَوَّجُ الزَّوْجَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ وَالْأَرْبَعَةَ، ثُمَّ تَمُوتُ فَتَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَيَدْخُلُونَ مَعَهَا، مَنْ يَكُونُ زَوْجَهَا مِنْهُمْ؟ فَقَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ، إِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَتَخْتَارُ أَحْسَنَهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.”

[Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3141) dan al-Mu’jam al-Akbar (870)]

Selain itu, terdapat satu lagi riwayat lain yang menceritakan tentang masalah ini iaitu menerusi kisah ketika Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا، فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.”

[Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3130)]

Namun begitu, ada satu lagi pandangan lain menurut kisah yang berlaku kepada Ummu Habibah. Menerusi riwayat oleh Anas bin Malik RA, Ummu Habibah berkata:

يَا رَسولَ اللهِ الْمَرْأَةُ يَكُونُ لَهَا الزَّوْجَانِ فِي الدُّنْيَا، يَعْنِي يَكُونُ زَوْجًا بَعْدَ زَوْجٍ فَيَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ فَلِأَيِّهِمَا تَكُونُ؟ قَالَ: لأَحْسَنِهِمَا خُلُقًا

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersama adalah yang paling baik akhlaknya.”

[Riwayat al-Bazzar (6631)]

Imam al-Iraqi walau bagaimanapun mendhaifkan sanad hadis tersebut. Sementara itu, Imam al-Bazzar mengatakan hadis berkenaan tidak diketahui bahawa Humaid meriwayatkan daripada Anas bin Malik.

ADA TIGA PANDANGAN ULAMA

kahwin banyak kali

Sebagai kesimpulannya, terdapat tiga pandangan ulama untuk menjawab pertanyaan tersebut iaitu:

-Si isteri akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
-Si isteri diberi ruang untuk memilih.
-Si isteri akan bersama suaminya yang terakhir.

Konklusinya, pihak Mufti cenderung untuk bertawaqquf kerana dalil yang menyatakan tentang masalah ini adalah tidak begitu kuat melainkan hadith yang menceritakan kisah Ummu al-Darda’ adalah yang paling kuat dari sudut kesahihannya. Tambahan pula, perkara ini termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan Syurga. Justeru itu, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT dan pendapat ini juga difatwakan oleh Syeikh ‘Athiyyah al-Saqar.

*Apa yang kita boleh lakukan adalah terus berusaha menjadi suami atau isteri yang terbaik buat pasangan masing-masing. Banyakkan berdoa supaya dapat masuk ke alam syurga dan dipertemukan bersama orang yang tersayang. Aamin..

Baca juga: Terpaut Hati Dengan Abang Duda? Jaga-Jaga, Semak 5 Perkara Ini Dahulu Sebelum Kahwin..

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×