Asuh

Ustazah ‘Asma Harun Kongsi 4 Waktu Terbaik Tegur Anak, No 1 Jarang Orang Buat

2
SHARES
WAKTU TERBAIK TEGUR ANAK

Ada orang lebih mengutamakan pandangan orang luar kerana rasa diri lebih dihormati dan dikagumi hingga lupa untuk menjadi yang terbaik pada pandangan anak-anak.

Kadang sebagai ibu yang sibuk menguruskan rumah, emosi akan mudah terjejas dengan kelakuan anak sehingga meninggikan suara kepada mereka. Sebenarnya, terdapat beberapa waktu terbaik tegur anak seperti yang dikongsikan oleh Ustazah ‘Asma Harun di laman Facebooknya.

Baca juga: Tak Ada ‘Drama Air Mata’ Setiap Pagi Bila Anak Pergi Sekolah, Mak Ayah Guna Teknik Berkesan Ini!

4 WAKTU TERBAIK TEGUR ANAK, IBU AYAH KENA AMALKAN!

WAKTU TERBAIK TEGUR ANAK

1. DI DALAM KENDERAAN 

Sebenarnya, waktu bersama anak di dalam kenderaan adalah waktu yang terbaik untuk berbicara dari hati ke hati. Hal ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas r.a. yang masih kecil ketika itu, daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:

أُهْدِيَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَغْلَةٌ أَهْدَاهَا لَهُ كِسْرَى ، فَرَكِبَهَا بِحَبْلٍ مِنْ شَعَرٍ، ثُمَّ أَرْدَفَنِي خَلْفَهُ، ثُمَّ سَارَ بِي مِيلًا، ثُمَّ الْتَفَتَ إِلَيَّ فَقَالَ: يَا غُلَامُ فَقُلْتُ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ: احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ

Maksudnya: “Nabi SAW diberi hadiah seekor baghal (sejenis haiwan hasil kacukan antara kuda dan keldai) oleh Kisra. Baginda menungganginya dengan tali kekang dari serabut.

“Baginda memboncengkanku di belakangnya. Kemudian Baginda berjalan. Tidak lama, Baginda menoleh dan memanggil, “Hai anak kecil.” Aku jawab “Labbaika, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Jagalah agama Allah nescaya Dia menjagamu…” (HR Hakim, hadis gharib)

Di dalam kenderaan, ibu bapa boleh perlahankan radio dan mula bercerita kisah-kisah yang mengandungi teladan kepada anak-anak.

Jika anak sudah remaja, banyakkan buka ruang untuk mereka berkongsi cerita atau perasaan, kerana pada usia ini mereka sangat teruja mempelajari tentang kehidupan, perasaan sedih, kecewa dan kagum.

2. KETIKA DI MEJA MAKAN 

Sewaktu di meja makan, kebiasaannya ahli keluarga akan mengambil peluang untuk bergilir berkongsi cerita masing-masing dengan teruja.

Sebenarnya ibu bapa boleh manfaatkan peluang untuk sampaikan nasihat dalam nada yang lebih santai. Namun, harus diingati agar tidak menegur sampai menjatuhkan air muka mereka.

WAKTU TERBAIK TEGUR ANAK

3. SELEPAS SOLAT 

Suasana selepas solat berjemaah bersama keluarga terasa sangat hening. Ibu ayah boleh gunakan saat bersalaman untuk berbicara dengan anak-anak tentang nasihat, teguran atau apa sahaja perkongsian untuk kehidupan anak-anak.

Sesekali pujilah anak-anak atas apa jua pencapaian mereka. Beritahu mereka bahawa kita bangga mempunyai anak yang baik, soleh, lemah lembut dan mendengar kata seperti mereka. Pujian yang diberikan oleh ibu bapa antara motivasi terbaik buat anak-anak. SubhanAllah.

4. SEBELUM TIDUR 

Sebelum tidur adalah waktu yang sangat tenang. Ketika itu otak anak sudah bersedia untuk rehat dan berada dalam keadaan separa sedar.

Ibu bapa boleh berbisik lembut ke telinga anak tentang nasihat-nasihat baik yang mereka ingin sampaikan. Ketika ini juga merupakan waktu yang sangat istimewa buat ibu ayah yang sibuk bekerja seharian kerana mereka dapat benar-benar menatap wajah anak tersayang.

Pesanan ini sebagai peringatan buat diri sendiri juga yang merupakan seorang ibu. Semoga bermanfaat!

Sumber: Facebook Ustazah ‘Asma Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×