Siapa sangka selepas 42 tahun bergelar ibu tunggal, nenek kahwin semula bersama jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Perkahwinan Rohani Mohd Kassim dan Yusup Embi tular di media sosial selepas dimuat naik oleh cucunya menerusi TikTok.
Perkongsian Natasya Najjla sudah pastinya menarik perhatian orang ramai kerana kedua-dua pasangan warga emas ini kelihatan begitu secocok dan comel.
Baca juga: Jangan Simpan Makanan Dalam Peti Ais Sampai Lebih Waktu Ini, Nanti Tak Sedap!
NENEK KAHWIN SELEPAS 42 HIDUP ‘SENDIRI’, SWEET SANGAT
Menerusi akaun media sosial Natasya, dia memuat naik beberapa foto dan video opahnya bersama suami ketika sedang melakukan sesi bergambar outdoor.
Pasangan tersebut dilihat memakai persalinan songket berwarna biru dan dilengkapi dengan semua aksesori bersesuaian. Kapsyen yang ditulis oleh Natasya membuatkan pengguna media sosial terhibur.
“Ketepi semua, nenek saya dah kahwin,” ujarnya.
Menurut laporan media, nenek berusia 78 tahun itu tidak menyangka akan bertemu jodoh pada usia begini. Dia turut memberitahu bahawa tidak pernah terfikir akan berkahwin semula.
“Kami diperkenalkan oleh kawan anak. Pertemuan pertama kami, dia pandang saya dia dah berkenan. Pada awalnya saya belum mahu lagi, tetapi siapa kita untuk menolak ketetapan Ilahi. Alhamdulillah akhirnya hari ini kami disatukan sebagai suami isteri,” ujarnya.
Rohani yang sememangnya aktif di masjid mahu melakukan lebih banyak ibadah bersama suami tercintanya. Dia memohon doa orang ramai agar hubungan mereka kekal ke syurga.
“Perjuangan kami sama. Mahu banyakkan beribadah pada hujung usia di masjid. Kalau sebelum ini ke masjid atau surau seorang, selepas ini dah ada teman. Doakan kami bahagia sampai ke Syurga. Insya-Allah,” jelasnya.
Rohani memiliki lapan orang cahaya mata, 46 cucu dan 15 cicit hasil perkahwinan pertama bersama Allahyarham Hamid Lomak.
Video perkongsian cucunya itu mendapat ribuan penonton dan sudah pastinya dibanjiri komen yang mendoakan pasangan tersebut.
Baca juga: “Bukan 2 Atau 3 Liter Air Sehari Diperlukan…” – Dr Malar Kongsi Cara Betul Kira Jumlah Sebenar
Sumber: TikTok Natasya Najjla & Astro AWANI