Famili

Encik Suami, Jangan Layan Isteri Macam Orang Gaji Di Rumah Sendiri

486
reads

“Banyaknya baju nak cuci lepas balik dari kampung ni. Rumah pun berhabuk juga sebab dah seminggu ditinggal. Kenapalah aku seorang saja yang ‘concern’ tentang benda macam ni. Beratnya peranan isteri di rumah. Dah rasa macam orang gaji pula, walaupun di rumah sendiri.”

Percaya atau tidak, ramai wanita akan melalui detik ini dari semasa ke semasa. Selagi kita tidak memperbetulkan mentaliti dan perspektif, peranan isteri seringkali tidak dihargai sehingga menimbulkan stres.

Jika dipendamkan perasaan ini , ia juga boleh menimbulkan pergaduhan suami isteri dan anak-beranak. Lebih teruk lagi, ada yang berasa tertekan hingga mengalami hypertension atau kemurungan yang serius.

Foto Kredit: kidspot.com.au

Foto Kredit: kidspot.com.au

7 Perkara Yang Buat Isteri Rasa Macam Orang Gaji Di Rumah Sendiri

Hakikatnya, amat sukar untuk kita mengubah persepsi orang lain walaupun mereka adalah ahli keluarga sendiri. Tetapi, kita boleh mengubah diri sendiri.

Apabila kita memahami peranan isteri dan situasi ini dengan jelas, mungkin kita akan dapat membuat perubahan yang positif dalam keluarga.

1. Isteri ‘Conquer’ Semua Kerja Rumah

Kerja rumah memang tak akan pernah habis. Walaupun isteri anda rasa dia BOLEH buat, tak semestinya dia PERLU buat semua kerja tersebut.

Solusinya, anda perlu bersabar dan tidak meletakkan ‘expectation’ yang terlalu tinggi kepada isi rumah tersebut.

Biasalah kalau rumah bersepah, ada baju-baju yang bertimbun dan permainan yang di sana sini. Tapi, anda perlu ingat bahawa anak kecil seawal 3 tahun pun dah boleh diminta untuk melakukan tugas mudah seperti memasukkan baju ke dalam bakul dan membuang sampah. Mereka cuma perlu dilatih dan dipantau dengan teknik yang betul.

ibu letih

2. Suami Kurang Bekerjasama

Suami memainkan peranan yang amat penting dalam menjadi contoh kepada anak-anak. Anda juga perlu melakukan sedikit kerja rumah juga walaupun isteri anda merupakan seorang surirumah sepenuh masa.

Mengapa? Suami akan menjadi contoh paling dekat dengan anak-anak. Bagaimana kita mahu mengarah anak-anak untuk melakukan kerja rumah sekiranya mereka boleh menjawab – “Alah, Papa tu relaks saja. Bukannya buat apa-apa. Aiman pun nak rehat macam Papa lah.” 

Anak-anak adalah sang peniru yang hebat. Kalau tidak dapat menolong banyak benda pun tak mengapa, tapi setidak-tidaknya suami perlu tahu menguruskan diri sendiri – bukankah ini tanggungjawab individu?

tanggungjawab suami

Foto Kredit: es.aleteia.org

3. Anak-anak Kurang Didikan

Seorang ibu bukan saja rasa seperti orang gaji apabila terpaksa menggalas kerja rumah seorang diri, tetapi juga apabila dilayan dengan buruk oleh anak-anak atau sesiapa saja di dalam rumah tersebut.

Tugas mendidik anak bukanlah mudah dan ia tak sewajarnya digalas oleh isteri seorang. Cakap saja tentang gejala sosial zaman moden ini, macam-macam yang terbayang di kepala. Sesibuk manapun, mereka amat memerlukan masa berkualiti bersama anda.

Melayan bayi menyusu badan seharian pun boleh memenatkan dan mengambil banyak masa isteri. Apatah lagi apabila anak sudah mula pandai berjalan, ke taska, dan sekolah. Mereka perlu dididik untuk berkomunikasi dengan baik, solat, mengaji, dan banyak lagi. Tugas ini amat berat, jadi janganlah melepaskan semua bahagiannya kepada isteri atau guru semata-mata.

persiapan ramadhan

Foto Kredit: postandcourier.com

4. Ruang Yang Tidak Terancang

Memang ‘sakit mata’ apabila tengok barang-barang bersepah dan berterabur. Tapi, anda perlu mencari punca mengapa barangan tersebut tidak teratur. Adakah kerana sikap individu ataupun ruang dalam rumah yang tidak dirancang dengan baik?

Salah satu cara praktikal adalah dengan mewujudkan ‘pride of place’ di mana mereka mempunyai ruang mereka sendiri. Ia tidak semestinya sebuah bilik sendiri, tetapi mungkin tempat tidur, ruang belajar, dan almari yang mudah dicapai atau dikendalikan. Dengan cara ini, mereka akan rasa lebih bertanggungjawab apabila diarahkan untuk mengemasnya.

5. Anak-anak Terlalu Dimanjakan

Sedari kecil, andalah yang merancang semua perkara untuk mereka dan menyediakan segala keperluan mereka. Perlahan-lahan, mereka perlu juga diajar untuk berdikari dan menguruskan tugas yang mudah. Kita patut ambil iktibar daripada kisah ‘Anakku Sazali’ lakonan Allahyarham lagenda P.Ramlee.

Dalam kebanyakan kes, ibu bapa sendiri tidak menyedari bahawa mereka telah memanjakan anak mereka. Permainan bersepah, tak pandai urus diri, dan berat tulang pula apabila diminta untuk menolong kerja rumah.

Dalam jangka masa panjang, ia akan memberi manfaat besar bukan saja kepada anda tetapi juga kepada anak tersebut.

Foto Kredit: nj.com

Foto Kredit: nj.com

6. Tak Dapat Menikmati Masa Makan

Keluarga anda perlu melihat anda berada di meja makan. Tabiat membawa makanan masuk ke bilik, melayan ‘handphone’ sambil makan, mengeluh melihat makanan, dan menjadi ‘picky eater’ mungkin saja bermula apabila anda mengabaikan masa makan yang berkualiti bersama keluarga.

Perasan tak, mungkin anda memberi persepsi yang ‘negatif’ terhadap masa makan. Anda selalu makan sisa makanan yang dah sejuk, makan sambil berdiri di dapur, dan kadang-kadang langsung tidak makan bersama mereka kerana terlalu sibuk melakukan kerja lain?

7. Anda Lupa Peranan Isteri Yang Sebenar

Bukanlah peranan isteri 100% memastikan semua orang dalam rumah gembira dan mendapat layanan ‘first class’. Sebaliknya, tugas ini turut dikongsi dengan suami yang bertindak sebagai pemimpin rumah tangga.

Yang penting, anda berdua perlu berfungsi sebagai satu unit yang saling menjaga maruah dan integriti masing-masing. Dengan jalinan kasih sayang dan persefahaman, anda akan rasa bahagia walaupun penat.

Foto Kredit : weheartit.com

Foto Kredit : weheartit.com

Hargai Isteri Dan Bermuafakat Dalam Pembahagian Tugas

Kuncinya, seorang isteri perlu menghargai diri anda terlebih dahulu jika anda mahu orang lain menghargai anda. Dari situ, akan lahirlah kepuasan daripada melakukan semua tugas dan peranan isteri dan juga ibu.

Si suami pula perlu menjadi ketua dan bersedia untuk berkongsi tugasan agar rumah tangga menjadi lebih efisyen. Semoga dengan memperbetulkan mentaliti ini, anda akan dapat merasakan perubahan yang lebih positif dan berasa kurang terbeban dengan semua kerja rumah.

Yang Popular

To Top