“Hujan lagi? Macam mana nak jemur pakaian ni…”
Telah masuk waktunya bagi kaum suri rumah runsing memikirkan cara menjemur pakaian dalam cuaca yang tidak menentu ini. Kadangkala hujan, tiba-tiba panas menjelma. Boleh sakit kepala dibuatnya. Nak menjemur pakaian pula mengambil masa yang lama untuk ia betul-betul kering.
Jika tidak kering, mulalah pakaian berbau masam dan hapak. Boleh keringkan di dobi, tapi takkanlah hari hari perlu ke dobi, terutama untuk keluarga besar yang pakaian selalu banyak ini. Kan dah membazir di situ.
Jom cuba perkongsian penulis cara menjemur pakaian ketika musim hujan!
Baca juga: Ajaib! Hanya Guna Sabun Ini Sahaja, Baju Putih Lusuh & Kotor Terus Putih Bersih!
TIPS JEMUR PAKAIAN KETIKA MUSIM HUJAN MENJELMA
1. GUNA PEWANGI ATAU PELEMBUT PAKAIAN KETIKA MENCUCI
Tujuan menggunakan pewangi atau pelembut pakaian adalah untuk memastikan baju tidak berbau busuk walaupun berada dalam keadaan lembab. Anda boleh tuang lebih sedikit daripada biasa supaya bau wangi melekat semerbak pada pakaian.
2. KIBAS PAKAIAN SUPAYA TIDAK RENYUK DAN BERLIPAT
Setelah selesai mencuci dan keluar daripada mesin basuh, kibas pakaian anda sehelai demi sehelai. Ini adalah bertujuan untuk memastikan tiada bahagian yang berlipat. Bahagian yang berlipat ini mungkin akan melambatkan proses pengeringan.
3. GUNAKAN PENYANGKUT BAJU
Lebih mudah dan cepat jika anda menggunakan penyangkut baju. Paling penting, anda perlu menjarakkan ruang antara kain jemuran supaya aliran udara dapat masuk dengan mudah untuk mengeringkan setiap jemuran.
4. JANGAN TINDAN PAKAIAN
Jangan sesekali menjemur pakaian dalam keadaan rapat atau bertindan. Tindakan menindan jemuran dapat menghalang aliran udara lantas melambatkan proses pengeringan.
Anda perlu berikan jarak untuk setiap jemuran termasuklah jika menggunakan penyangkut baju.
5. SUSUN BESAR ATAS, KECIL BAWAH
Ketika sedang menjemur pakaian, susun pakaian yang bersaiz kecil di bahagian bawah manakala yang lebar di atas. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap pakaian terkena aliran udara.
6. MANFAATKAN KIPAS ANGIN YANG ADA
Andai kata anda tiada tempat terbuka untuk menjemur pakaian, manfaatkan kipas angin yang ada. Anda boleh menggunakan kipas angin sebagai alat untuk membantu mengeringkan pakaian. Pastikan setiap jemuran mengenai udara daripada kipas angin itu.
Berikut merupakan 6 tips yang boleh anda praktikkan di rumah ketika musim hujan ini. Tips yang ringkas dan praktikal, sesuai demi menjaga kualiti pakaian anda. Kini, tiadalah rungutan cik isteri di rumah! Selamat mencuba!
Sumber: BuletinFM