“Keliru betul aku dengan kawan aku yang seorang ni. Tak tahulah kenapa angin dia pelik sangat. Nanti kalau aku tak layan mulalah dia emosional tak tentu pasal.”
Dalam hidup ini, kita berhadapan dengan ramai orang setiap hari. Kita sedia maklum bahawa setiap orang memiliki perwatakan yang berbeza dan unik. Tapi, tidak semuanya boleh membawa kita ke arah yang lebih baik.
Oleh itu, kita harus berhati-hati memilih teman untuk didampingi. Tapi, bagaimana cara memilih kawan sebenar dan apa ciri yang perlu dijauhkan?
7 Cara Mengenal Orang Toksik Dalam Hidup Anda
Antara cara memilih kawan dan teman adalah dengan mengenali tanda-tanda ‘toksik’ yang terdapat dalam diri mereka. Jika mereka mempunyai sifat ini, eloklah menjauhkan diri anda daripada mereka.
1. Selalu Buat Anda Rasa Bersalah
Dalam kebanyakan hal, anda selalu mengalah dan sentiasa kalah. Orang sebegini bersikap manipulatif dengan mengetahui kelemahan anda dan sentiasa mempergunakan anda untuk kepentingan mereka sendiri.
Namun, bukan mudah untuk anda menjauhkan diri daripada mereka kerana mereka bijak memutar-belit keadaan sehingga menampakkan anda yang bersalah dalam setiap hal.
2. Suka Bergosip
Orang toksik mempunyai banyak masa untuk fokus terhadap orang lain yang mungkin mereka sendiri tidak sukai. Mereka selalu bercakap tentang seseorang melalui kritikan atau kata-kata yang merendahkan seseorang. Jarang sekali mereka membicarakan tentang sesuatu yang berfaedah dan memotivasikan.
Benarlah bak kata Eleanor Roosevelt, “Great minds discuss ideas, average ones discuss events, and small minds discuss people.”
3. Asyik Bersedih
Ada antara mereka bukanlah seorang yang jahat atau kejam. Tetapi, mereka ini terlalu emosional dan negatif dalam kehidupan. ‘Mood’ negatif ini boleh tersebar dan anda mungkin saja selalu dipengaruhi oleh mereka. Ada saja masalah yang diperbesarkan sehingga anda sendiri boleh berasa letih dan tidak bersemangat apabila bersama mereka.
Walaupun berasa sedih itu normal, tetapi ianya tidak normal jika anda hanya nampak kegelapan dan kesengsaraan dalam setiap perkara.
4. ‘Drama Queen’
Orang yang sebegini biasanya hanya suka mengadukan hal yang membebani mereka, tetapi sebenarnya mereka bukanlah mahu menyelesaikan masalah tersebut.
Sebaliknya, mereka cuma mahu berdrama dan menarik perhatian dengan isu-isu yang remeh. Rimas, bukan?
5. Tak Punya Masa Untuk Anda
Kalau ada masalah mereka muncul, kalau anda ada masalah, mereka tak dapat dihubungi. Ada saja alasan tentang kesibukan mereka dan urusan di sana sini.
Kalau bercakap tentang diri mereka, panjang berjela-jela hingga susah untuk anda mencelah. Tapi, kalau diminta mendengar, amat sukar untuk mereka beri perhatian.
6. Cemburu Berlebihan
Orang toksik begitu susah untuk melahirkan rasa gembira terhadap orang lain yang berjaya atau bahagia. Mereka bukan saja cemburu, tapi dengki hingga sanggup menjatuhkan, menyakiti atau merencanakan sesuatu yang buruk terhadap orang tersebut.
Malah, mereka sering membandingkan diri mereka terhadap orang lain dan tidak mahu mengakui kelebihan orang lain.
7. Sering Buat Anda Rasa Tak Cukup Bagus
Apabila berdamping dengan orang toksik, anda selalu rasa seperti perlu membuktikan sesuatu. Mereka membuatkan anda rasa terlalu rendah diri dan tak cukup bagus untuk melakukan sesuatu.
Kadangkala, kata-kata motivasi daripada mereka juga berunsur sinis dan seperti mempertikaikan kemampuan anda.
Pentingnya Cara Memilih Kawan
Sepatutnya, seseorang rakan yang baik akan membuatkan anda selesa untuk menjadi diri sendiri dan boleh menerima pendapat yang berbeza. Pada masa yang sama, mereka juga akan menegur anda dan membawa anda ke arah kebaikan.
Justeru itu, jangan memandang rendah kebolehan orang toksik ini untuk mempengaruhi dan mencorakkan pemikiran kita. Bahkan, dalam Islam juga menekankan tentang kepentingan dan cara memilih kawan, seperti dalam sebuah hadis:
Dari Abu Musa al-Asy’ari, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Sedangkan jika berkawan dengan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap.” (Hadis al-Bukhari)