Tech

Teknologi Ini Bolehkan Anda Pantau Suhu Anak Demam Dari Mana Saja

243
SHARES

Bila anak kecil demam, mesti ramai ibu yang berjaga malam dek kerana risau. Manalah tahu kalau suhu demam anak tiba-tiba naik, kan? Kadang-kadang bila kita datang nak periksa suhu, anak pula terjaga. Akhirnya rehat kita turut terkorban, dan satu kerja pun tak dapat buat.

Untuk membantu ibu ayah menghadapi situasi ini, Blue Sparks Technology telah merevolusikan sebuah termometer digital yang praktikal dan boleh dipantau dari mana saja melalui smartphone. Ia pasti akan membuat anda berkata WOW.

5 Ciri TempTraq, Termometer Digital Pintar Yang Canggih & Praktikal

Berikut adalah 5 ciri khas termometer digital canggih keluaran TempTraq.

1. Memantau Suhu 24/7

TempTraq adalah termometer digital pintar pertama yang mampu mengesan, merekod, dan memberi notifikasi sekiranya berlaku kenaikan suhu mendadak pada tubuh.

Ia adalah sejenis alat berbentuk patch yang dipakaikan pada bahagian ketiak. Data yang diterima daripada tubuh akan direkodkan terus kepada smartphone anda melalui aplikasi TempTraq. Ia bukan saja akan memberi anda suhu terkini, tetapi juga menyimpan rekod ini supaya anda boleh melihat corak suhu tubuh secara keseluruhannya.

termometer digital

Foto Kredit: Reuters

2. Patch Yang Selesa

Patch yang lembut dan selesa seperti yang ditunjukkan ini menjadikannya sebuah termometer digital yang langsung tak nampak seperti termometer. Ianya sangat nipis dan tidak mudah tercabut seperti sesetengah patch biasa. Sungguhpun ia popular di kalangan bayi dan anak kecil, sebenarnya ia juga boleh digunakan oleh semua peringkat umur.

Dengan menggunakan TempTraq, suhu badan dapat dipantau tanpa melalui proses yang biasa kita lakukan. Ini kerana patch ini dapat bertahan sehingga 24 jam dalam sekali penggunaan. Oleh itu, jika dipakaikan pada waktu malam atau semasa anak tidur, kita tidak perlu lagi membuat anak terjaga untuk memeriksa suhunya dari semasa ke semasa.

termometer digital

Ianya begitu nipis dan selesa dipakai. / Foto Kredit: wearables.reviewed.com

3. Dilengkapi Dengan ‘Fever Alert’

Selain memindahkan data ke telefon bimbit, ia juga akan membantu anda memberi amaran sekiranya ia menjangkaui tahap suhu yang tinggi atau suhu yang ditetapkan oleh pengguna.

Menariknya, dalam satu aplikasi, anda boleh turut memantau beberapa pengguna dalam masa yang sama. Sedikit sebanyak, ciri ini membantu ibu bapa untuk meneruskan tugas harian dengan efisyen tanpa perlu risau akan keadaan anak. Kalau tertidur sekalipun, kita boleh dijagakan oleh bunyi notifikasi yang disampaikan melalui telefon bimbit!

termometer digital

Foto Kredit: temptraq.com

4. Boleh Digunakan Di Mana-mana

Salah satu ciri paling istimewa TempTraq adalah kebolehannya untuk menjadi ‘pembantu’ dan memudahkan tugas ibu bapa. Apabila ibu bapa atau penjaga berada dalam lingkungan Bluetooth (sekitar 12 m daripada pemakai patch), suhu akan dihantar secara berterusan kepada telefon bimbit.

Sekiranya anda tidak berada di samping si kecil, anda masih boleh mendapatkan data yang sama ini melalui aplikasi tersebut yang disokong oleh Google Cloud Platform. Ciri ini amat hebat kerana tentunya pasangan dapat bekerjasama memantau keadaan kesihatan anak walaupun mereka berada di pejabat mahupun outstation.

Di samping itu, anda boleh meninggalkan nota penting seperti waktu anak makan ubat, makan, dan tidur. Informasi ini juga dikongsikan terus kepada doktor sekiranya perlu.

5. Dijamin Selamat

TempTraq Connect adalah alatan yang selamat dan datanya dijamin oleh  Akta Akauntabiliti Insurans dan Kesihatan. Penggunaan patch ini juga tidak memberi kesan sampingan kepada bayi dan anak kecil.

Blue Sparks Technologies telah dianugerahkan Innovation FLEXI Award pada tahun 2016 di atas inovasi produk ini dan ia juga pernah dipaparkan dalam banyak media elektronik termasuklah Majalah TIME dan Wall Street Journal.

Harga Di Pasaran Malaysia

Bagi pasaran Malaysia, kami ada terlihat ianya dipasarkan secara online melalui 11street dengan harga RM183. Selain itu, ia juga boleh didapatkan terus melalui laman web mereka, TempTraq.com dan Amazon.

Alat ini sebenarnya telah mula dipasarkan sejak tahun 2015 dan telah melalui banyak proses penambahbaikan berdasarkan sambutan yang semakin meluas. Kini ia boleh didapati di farmasi dan pasaraya di Amerika seperti Target. Harga bagi model yang boleh digunakan selama 24 jam adalah 20USD manakala model yang boleh digunakan selama 48 jam berharga 25USD. Terdapat juga model klinikal yang berciri khusus dan mampu bertahan sehingga 72 jam.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×