Percutian

11 Tempat Menarik Di Johor Bahru. Macam-macam Ada!

918
SHARES

Terletak di lokasi paling selatan dalam Malaysia, kini makin banyak tempat menarik di Johor Bahru yang ditawarkan untuk pengunjung. Banyak tempat juga sudah diberi nafas baru dengan penambahan beberapa pusat pelancongan terbaru.

Pusat Bandar yang semakin berkembang pesatseiring dengan Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor atau Iskandar Malaysia ini ternyata memiliki keunikan tersendiri yang sesuai dilawati oleh semua peringkat umur.

11 Tempat Menarik Di Johor Bahru. Macam-macam Ada!

Berikut adalah antara tempat menarik di Johor Bahru yang boleh dilawati bersama keluarga.

1. Puteri Harbour

Tanjung Puteri atau Puteri Harbour adalah salah satu tarikan terbaru di Johor yang boleh anda lawati bersama seisi keluarga. Dengan keindahan pantai yang bersih dan luas, kawasan pelabuhan ini tentunya akan memberi ketenangan kepada warga kota yang ingin bersantai bersama keluarga.

Ada bermacam-macam rekaan arca yang diperbuat daripada buluh. Bila dah puas berjalan dan mengambil gambar, ada banyak pilihan restoran dan tempat makan yang best di sekitarnya. Tempat letak kereta pun banyak, tak perlu pening kepala lagi. Pemandangannya semasa matahari terbenam memang cantik!

tempat menarik di johor bahru

Foto Kredit: nusajayacity.com

2. Puteri Harbour Indoor Theme Park

Dalam kawasan Tanjung Puteri ini, terdapat juga tarikan lain yang pastinya menghiburkan seperti Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town. Penggemar Hello Kitty pasti teruja dengan rumah lengkap berkonsepkan Hello Kitty dengan bilik tidur, dapur dan ruang tamu di Hello Kitty Town. Bagi peminat kereta api Thomas, Thomas Town menanti dengan replika kereta api serta Windmill Ride, Colin Crane Drop Ride, Harold Helicopter ride, dan pastinya kereta api Thomas untuk dinaiki. Terdapat juga karakter kartun popular yang lain seperti Angry Bird, Barney, Bob The Builder, dan Pingu.

Pusat membeli belah, restoran serta kafe turut disediakan untuk kemudahan pengunjung. Bukan sekadar untuk anak kecil, orang dewasa pun tentu ramai yang minat dengan karakter kartun ini, bukan?

Foto Kredit: puteriharbour.com

3. Kilang Bateri

Kalau sudah berada di JB, jangan lupa untuk singgah ke Kilang Bateri. Bazaar ala hipster yang asalnya merupakan kilang bateri ini sering menjadi sebutan warga Johor kerana suasananya yang santai dan bersahaja. Pelbagai jenis makanan yang popular di Instagram ada di sini seperti makanan berkonsepkan western oleh LabbyBros dan kacang pool oleh Cupchai.

Pengunjung juga boleh membeli-belah di butik terkemuka di instagram antaranya jenama dari Costuro, SuperSunday dan JohoBaru. Bagi si ulat buku, di sini terdapat kedai buku istimewa iaitu Projek Buku. Kedai gunting rambut 1855 berkonsepkan moden juga ada di sini bagi lelaki yang inginkan gaya rambut yang paling terkini dan trending. Projek usahasama pelbagai jenama dan keluaran tempatan ini begitu membanggakan dan mendapat perhatian hingga pernah dilawati oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Foto Kredit: najibrazak.com

4. Kuso 3D Art Gallery

KUSO 3D Gallery ini adalah yang pertama di Johor. Di sini, anda boleh masuk ke dalam dunia lukisan 3D dan menjadi superhero berlawan dengan dinasour, memanjat dinding dengan mudah, masuk penjara dengan rela hati atau sumbat kawan-kawan anda ke dalam penjara!

Terdapatnya mesin simulasi 9DVR (Virtual Reality), di mana anda boleh berlawan dengan zombie, dinosaur dan raksasa yang sangat menggerunkan. Kalau nak rasakan sendiri pengalamannya, ajaklah rakan dan keluarga untuk menyertai misi yang penuh keseronokan dan cabaran!

Foto Kredit: Kuso 3D Art Gallery

5. Danga Bay

Danga Bay yang dahulunya sebahagian daripada Pantai Lido yang ditambak kini menjadi pusat pelancongan yang terkemuka kerana pembaharuannya yang menarik perhatian pengunjung. Terdapat 4 tarikan utama di Danga iaitu pusat membeli belah Danga City Mall, Danga World Mini Theme Park yang menempatkan permainan karnival sesuai untuk seisi keluarga seperti ferris wheel, merry-go-round dan pirate ship ride. 

Anda sekeluarga juga boleh menaiki tram atau basikal untuk mengelilingi sekitar Danga Bay. Akhir sekali, tak sahlah kalau tak makan-makan restoran serta kafe istimewa yang terdapat di sekitarnya.

Foto Kredit: the malaysiantimes.my

6. Johor Premium Outlet

Pada yang kaki shopping, jangan lupa untuk singgah di Johor Premium Outlet. Pusat membeli-belah ini sering membeli pilihan pelancong kerana variasi kedai berjenama yang menjual pelbagai pilihan pakaian, beg tangan, kasut dengan potongan harga 25% ke 65% setiap hari.

Selain itu, ia senibina kawasan ini yang berkonsepkan kolonial dan landskap taman tentunya menjadi kawasan yang unik untuk mengambil gambar kenang-kenangan.

7. Hutan Bandar

Sesuai dengan namanya, kawasan hijau yang terletak di tengah bandaraya Johor Bahru ini adalah pusat rekreasi yang mengekalkan fauna semulajadinya dengan modifikasi minimum bagi tujuan pembangunan kawasan ini. Terdapatnya taman permainan ‘Children Adventurous Park’ dan kolam mandi khusus untuk kanak-kanak.

Selain itu aktiviti lain juga disediakan seperti jungle trekking dan kawasan beriadah yang terbuka untuk seisi keluarga. Di lokasi ini juga disediakan untuk aktiviti perkhemahan dan BBQ. Pengunjung juga boleh menjamu selera di Medan Selera Atap Belian sambil menikmati pemandangan semulajadi.

Foto Kredit: johornow.com

8. Legoland

Rasa tak lengkap percutian seisi keluarga ke Johor Bahru tanpa berkunjung ke taman tema ikonik Legoland. Anda pasti terpesona dengan binaan replika mercu tanda kebanggan Malaysia seperti Menara Kembar KLCC, Masjid Putrajaya serta mercu tanda Negara lain seperti Angkor Wat dan Taj Mahal yang dibina sepenuhnya daripada blok Lego di Miniland.

Di bahagian Imagination, anda boleh melihat Legoland secara menyeluruh dari Observation Tower. Anak-anak boleh membina Lego sendiri, menaiki pelbagai ride yang tersedia dan menonton wayang 4D.

Taman temanya terbahagi kepada beberapa bahagian untuk pengunjung terokai iaitu Lego Technic, Lego Kingdoms, The Land of Adventure, Lego City dan Taman Tema Air. Selain bersuka-ria, para pengunjung boleh membeli belah dan menjamu selera di Mall Of Medini serta menginap di Hotel Legoland yang berkonsepkan Pirate, Adventure, Kingdom atau Ninjago.

Foto Kredit: legoland.com.my

9. Austin Heights Adventure Park

Mungkin ramai tak tahu, Johor Bahru juga ada taman tema airnya sendiri. Gelongsor tiubnya yang mencabar serta gelongsor air yang popular serta Yellow Wall, Supersurf serta Rainbow Hood pasti menghiburkan bagi seisi keluarga.

Selain taman tema air, kawasan ini juga menawarkan aktiviti menarik lain kepada pengunjung seperti Adventure Park yang tidak kurang hebatnya, ski, go kart drift, dan Jump Street trampoline park.

Foto Kredit: funtime.my

10. Pasar Karat JB

Pasar Karat JB semaki mendapat tempat di hati pengunjung kerana kepelbagaian barangan yang dijual. Selain barangan terpakai seperti pakaian bundle dan barangan antik, pasar ini semakin berkembang dan mula menjual barangan baru dan kraftangan. Makanan juga turut dijual buat pengunjung seperti juadah Thailand oleh The Hijau Thailand dan jenama kopi dan teh terkemuka iaitu Chaiwalla & Co.

11. Galeri Glulam

Johor Bahru juga menawarkan tempat menarik bagi pencinta senibina inovatif. Galeri ini mempamerkan penggunaan kayu berlamina glu atau bersalut perekat atau Glulam (Glued Laminated Timber) sebagai bahan asas pembinaan struktur daripada kayu.

Bangunan tersebut sendiri diperbuat daripada 80% kayu serta mengaplikasikan penggunaan glulam dalam pembinaannya bagi mencapai senibina yang ikonik dan moden. Selain untuk penggemar senibina, ia juga bertujuan untuk menjadi pusat rujukan bagi pakar profesional seperti arkitek, jurutera, kontraktor serta semua lapisan pengguna termasuk agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan  Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan yang lain.

Foto Kredit: plu.google.com

Destinasi Yang Tepat Untuk Keluarga

Johor Bahru menawarkan lebih daripada yang anda jangka. Daripada yang menggemari aktiviti lasak, aktiviti santai sehingga ke membeli-belah, ia wajar dijadikan destinasi percutian seisi keluarga atau bersama rakan untuk pengalaman yang menakjubkan!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×