Didik

‘Akhirnya Persoalan Terjawab’, Ibu Ini Kongsi 10 Tanda Autisme Pada Anak Sebelum Umur 2 Tahun

5.4K
SHARES
tanda autisme

Mungkin sebelum ini ada yang pernah membaca mengenai perkongsian Puan Norakma Jamlos mengenai anaknya, Humaira yang mempunyai masalah lambat bercakap ketika berusia 2 tahun.

Menurutnya, mereka mula perasan Humaira bukan macam kanak-kanak lain dan nampak sangat berbeza. Jadi, masa pergi klinik untuk imunisasi 2 tahun, sambil itu si ibu bercerita kisah anak dan kebimbangannya. Jururawat di Klinik Kesihatan pun buat surat untuk Humaira mendapatkan appointment di hospital.

Jom ikuti perkongsian beliau selanjutnya.

Humaira Disahkan Alami Autism Spectrum Disorder (ASD)

Setelah merujuk kepada doktor, jumpa pakar ENT, menjalani ujian saringan dan mengikuti beberapa sesi terapi yang telah disarankan oleh pakar kanak-kanak di Hospital Selayang, pada 27/4/2018 Humaira akhirnya telah diagnosis AUTISM SPECTRUM DISORDER. Pada ketika itu Humaira berumur 2 tahun 10 bulan.

Alhamdulillah, akhirnya segala persoalan sudah ada jawapan. Memang agak sukar untuk menerima, tapi kami kena kuat. Semua itu tidak penting bagi kami, yang paling utama ialah untuk disegerakan adalah mendapatkan rawatan dengan cara intervensi dan cuba memahami sedalamnya bagaimana kami dapat membantu anak kami untuk mempersiapkan diri dia untuk menempuhi cabaran dunia luar sana.

Mungkin ramai yang bertanya dan nak tahu apa yang menyebabkan saya sebagai ibunya rasa tak sedap hati dan tergerak nak bawa Humaira berjumpa doktor. Di sini saya kongsikan tanda awal atau ciri-ciri autisme yang saya perasan sebelum Humaira didiagnosis.

10 Tanda Awal Autisme Pada Humaira Yang Dilihat Sebelum Umur 2 Tahun

1. Lewat Bercakap

Pada usia Humaira 2 tahun, dia masih tak boleh bercakap. Sebaliknya, dia hanya mengeluarkan bunyi aaaaaa.

2. Mengelak Eye Contact

Eye contact tidak ada. Bila kita bercakap dengan dia, dia akan pandang ke arah lain.

Dia memang tak suka melihat orang yang sedang bercakap dengan dia.

3. Lambat Respon Bila Dipanggil

Bila kita panggil, Humaira tidak menoleh. Dia selalunya buat tak tahu saja.

4. Lebih Suka Bersendirian

Humaira tak suka berkawan. Walaupun ada 2 orang kakak, Humaira lagi suka bermain seorang. Dia tak suka dengan keadaan yang ramai orang.

5. Ketawa Atau Menangis Tanpa Sebab

Humaira seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Susah nak fahami perasaannya. Dia boleh ketawa atau menangis tanpa sebab tertentu.

6. Macam Tak Kenal Orang

Humaira juga tiada preference pada orang tertentu. Dia seolah-olah tidak mengenal orang, walaupun yang terdekat dengannya.

Pada dia, semua orang sama.

7. Suka Mengepak Tangan (Flipping Hands)

Salah satu tanda autisme yang paling ketara adalah perbuatan mengepak-ngepakkan tangan atau flipping hands.

Humaira selalu buat macam ni ketika dia terlalu gembira atau teruja dengan sesuatu.

8. Tak Faham Arahan

Tidak faham dengan arahan, walaupun arahan yang mudah.

9. Tidak Berkomunikasi Secara Bukan Lisan

Selain tidak bersuara, Humaira juga tidak melambai, mengangguk atau menggeleng kepala.

10. Minat Yang Terhad Atau Melampau

Apa yang saya nampak, Humaira tak bermain permainan dengan cara yang betul. Contohnya dia bermain dengan tayar kereta.

Ada juga benda yang mungkin tak menarik minat kanak-kanak biasa, tapi Humaira boleh obses dengannya.

Tindakan Awal

Sebaik sahaja Humaira diagnosis kami telah diberi borang pemohonan kad OKU, kami tidak teragak-agak untuk mengisi borang tersebut. Kami tahu banyak kebaikan yang akan dapat sekiranya Humaira sudah mempunyai kad tersebut.

Langkah seterusnya, kami terus mencari sekolah yang bersesuaian dengan Humaira. Daripada playschool biasa kami tukarkan kepada EIP (Early intervention Program / Program Intervensi Awal).

Menghantar Humaira ke EIP sangat penting kerana di sana nanti ada guru-guru terlatih dan pakar-pakar terapi bertauliah. Simptom autism tak akan sembuh tapi boleh optimumkan kemahiran mereka melalui kaedah intervensi yang ada sekarang; contohnya dengan menjalani terapi carakerja (occupational therapy) dan terapi pertuturan (speech therapy).

Tahun ini sudah tahun ke-2 Humaira pergi ke EIP tersebut. Alhamdulillah banyak perubahan yang kami nampak pada dia. Walaupun tidak seperti kanak-kanak sebaya tapi secara tidak langsung ada perubahan dari hari ke hari.

Gambar Humaira ketika menyertai Early Intervention Program (EIP).

Tanda autisme

Cuma yang kami bimbangkan sekarang Humaira masih belum boleh bercakap lagi. Tapi kami tetap berdoa semoga satu hari nanti kami akan dapat mendengar suaranya.

Guru di EIP sentiasa membantu kami memberi tips-tips yang berguna untuk kami pelajari. Walaupun Humaira pergi ke EIP, terapi di Hospital masih kami pergi.

Di Mana Boleh Daftarkan Program Intervensi Awal?

Bagi ibu bapa yang mungkin tertanya-tanya di mana mereka boleh menjalani program khas atau Early Intervention Program, berikut adalah antara Pusat Intervensi Awal yang menyediakan khidmat tersebut.

Klik di sini bagi link terus ke laman web untuk mendapatkan maklumat lanjut:

Selain daripada ini, terdapat juga banyak lagi pusat intervensi awal sektor swasta yang dapat membantu anak-anak autisme.

Insha Allah dalam artikel akan datang kami akan cuba untuk menyenaraikan sebanyak mungkin pusat intervensi tersebut di seluruh Malaysia.

Anak Istimewa Sumber Kekuatan

Akhir kata, Puan Norakma amat bersyukur kerana tergerak hati untuk berjumpa doktor dan ambil keputusan yang tepat untuk membawa Humaira berjumpa dengan pakar kanak-kanak ketika usianya 2 tahun. Tiada lain yang mereka harapkan, cukuplah sekadar dapat membantu Humaira boleh mengurus diri sendiri dan bercakap seperti kanak-kanak lain.

Yang penting, ibu ayah perlu banyak bersabar dan dapatkanlah sokongan daripada sumber yang tepat.

Semoga perkongsian Puan Norakma sedikit sebanyak dapat memberi maklumat tentang kesedaran autisme serta turut menjadi inspirasi pada ibu ayah untuk mendidik anak istimewa ini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×