Sejak akhir-akhir ini, makin ramai wanita yang menunjukkan minat untuk memilih kaedah ‘water birth’ atau kelahiran dalam air. Ia dianggap menenangkan dan dapat mengurangkan kesakitan semasa bersalin.
Di Malaysia, kaedah ini adalah sesuatu yang agak baru dan hanya dikendalikan oleh sebilangan kecil hospital atau pusat perbidanan swasta. Malah, ada juga selebriti seperti Diana Danielle dan Dr Harlina (isteri Dr Syeikh Muszaphar, angkasawan negara) yang telah memilih kaedah ini untuk bersalin.
Walaubagaimanapun, semalam, (13 Julai 2016) Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan bahawa sebuah pekeliling telah dikeluarkan kepada sebuah hospital swasta dalam negara supaya menghentikan perkhidmatan bersalin dalam air ini.
Bagaimanakah Prosedur Kelahiran Dalam Air?
Proses bersalin dalam air akan dikendalikan di sebuah kolam plastik atau tab berisi air hangat yang disesuaikan dengan suhu badan dan telah disterilkan terlebih dahulu.
Berbanding proses bersalin normal proses bersalin dalam air dikatakan boleh selesai dalam masa yang lebih singkat.
Antara kelebihannya lainnya, posisi ibu adalah lebih fleksibel untuk bergerak dan dapat mengawal kesakitan kontraksi. Ada juga dakwaan yang mengatakan koyakan perineum dapat dikurangkan kerana kulit dapat meregang dengan lebih baik di dalam air.
Sungguhpun begitu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (perubatan) Dr S Jeyaindran berkata bahawa sehingga kini, tiada bukti saintifik yang menunjukkan kaedah bersalin ini adalah selamat.

Foto Kredit: heredg.com
5 Bahaya Bersalin Dalam Air, Bakal Ibu Perlu Tahu
Berikut adalah 5 risiko yang perlu anda ketahui jika memilih untuk bersalin dalam air.
1. Bayi Terdedah Kepada Jangkitan
Menurut sumber melalui Parents.com, Dr Francis menegaskan bahawa sungguhpun air di dalam tab telah disterilkan, sememangnya tiada jaminan untuk mengekalkannya dalam keadaan bebas jangkitan.
Ini kerana, sebaik sahaja si ibu mula duduk di dalam air tersebut, ia akan mula terdedah kepada pelbagai kuman daripada tubuh si ibu. Malah, tidak menghairankan jika kadangkala najis boleh terkeluar sama dalam proses meneran tersebut.
Bayi yang tertelan air ini berisiko terkena jangkitan kuman.

Foto Kredit: efenem
2. Lemas
Semasa berada dalam air bayi berisiko untuk tenggelam hingga mengalami asphyxiation, iaitu kekurangan oksigen untuk tubuh.
Hal ini mampu mengancam nyawa bayi.
3. Radang Paru-paru (Pneumonia)
Selain berpunca daripada bakteria dalam kolam, suhu dalam air yang terlalu sejuk boleh menyebabkan berlakunya risiko ini.
Bayi juga harus diangkat dengan cepat setelah lahir dan langkah selanjutnya perlu dikendalikan oleh mereka yang berkemahiran serta berpengalaman.

Foto Kredit: expectingbaby.ru
4. Kerosakan Tali Pusat
Oleh kerana bayi perlu diangkat dengan cepat sebaik saja dilahirkan, bayi berkemungkinan berisiko mengalami sedikit kerosakan pada tali pusat.
Bayi atau ibu boleh mengalami pendarahan dan kes yang lebih buruk akan menyebabkan anemia.

Foto Kredit: thenewhousefamily.co.uk
5. Sindrom Aspirasi Mekonium
Menurut laman web Medical Daily, proses kelahiran dalam air ini meningkatkan risiko sindrom aspirasi mekonium, iaitu sejenis kondisi di mana bayi tertelan najis sebelum dilahirkan.
Dalam keadaan normal, mekonium (iaitu najis pertama bayi) hanya akan dikeluarkan setelah bayi dilahirkan dan mula menyusu.
Mekonium yang terhirup ini dapat menyumbat saluran udara hingga menghalang pernafasan akibat paru-paru tidak dapat mengembang.

Foto Kredit: waterbirthbaby.com
Pastikan Proses Kelahiran Dalam Air Dikendalikan Oleh Pakar
Jika anda telah mempertimbangkan risiko di atas dan masih berhajat untuk memilih kaedah kelahiran dalam air, tiada masalah.
Namun, ianya memerlukan konsultasi daripada pihak perubatan berdaftar dan ahli kesihatan profesional yang mengetahui selok-beloknya.
Demi keselamatan ibu dan bayi, anda juga perlu mempunyai perancangan yang teliti sekiranya terjadinya komplikasi ketika melahirkan bayi nanti.