40 Minggu

Cara Bersalin Paling Mudah Dan Seronok! Pengalaman Sendiri.

3.5K
reads
Cara Bersalin Paling Mudah Dan Seronok! Pengalaman Sendiri.

Cara Bersalin Paling Mudah Dan Seronok!

Perhatian: Ini pengalaman peribadi penulis. Baru dua kali melalui pengalaman bersalin. Bukan dua puluh kali. Ternyata ia bukan trauma.

Untuk baca dan belajar lebih banyak pengalaman bersalin tahun 2014, juga pengalaman bersalin di hospital kerajaan, boleh ke sini.

Pengalaman Pertama

Izinkan saya menceritakan pengalaman bersalin. Ternyata perjuangan sebenar bagi seorang perempuan adalah setelah dia berkahwin.

Pengalaman ketika menunggu waktu untuk melahirkan anak pertama sangat mendebarkan. Orang kata sakit sangat. Ada orang lain kata seperti sakit senggugut tapi 10 kali ganda lebih dasyat. Aduhai, berdebar sangat rasa apatah lagi masa tu kandungan dah mencecah 38 minggu.

Selepas keluar tanda bersalin iaitu tompokan darah yang sedikit, suami bawa ke hospital. Malangnya hospital di XXX (terpaksa ‘censor’ nama hospital) dan sekitarnya tidak terima masuk sekiranya bukaan serviks di bawah 3cm.

“Bagaimana nak tahu bukaan serviks itu sudah 3cm dan lebih?”

Begitulah soalan saya kepada doktor. Kira-kira sudah 3 kali saya asyik berulang alik ke hospital kerana menyangkakan sudah hampir bersalin. Pada masa tu, dah mula rasa perut kejang dan sakit.

Justeru kami terus ambil keputusan mahu pulang ke kampung. Jaraknya lebih kurang 300++ km. Dalam perjalanan, saya elok sahaja. Tidak pula sakit. Pada tengahari keesokan harinya, saya pergi ke hospital dan diterima masuk ke sana. Jururawat suruh masuk sahaja lagipun di dalam wad lengang sahaja. Duduk-duduk rehat katanya.

Memang betul saya duduk-duduk rehat sahaja. 2 hari 2 malam bercuti di hospital. Makan, tidur, baca Al-Quran dan solat apabila tiba waktu solat. Sekali sekala saya dukung bayi yang baru dilahirkan. Cium kuat-kuat. Comel! Subhanallah…

Kesakitan yang Tenang

Kisah semangat ini bermula apabila rakan sebilik saya yang juga seorang ustazah mahu melahirkan anaknya yang ketiga. Pada malam kedua saya di sana, beliau memberitahu saya akan gerak hatinya mahu melahirkan anaknya pada malam ini. Hati ibunya gelisah kerana sudah 2 hari meninggalkan rumah. Apa cerita pada 2 anaknya yang lain itu.

Saya melihatnya hanya terbaring mengiring sahaja. Kadang-kadang duduk mahu minum air. Beliau mengiring ke arah saya. Saya melihat wajahnya dengan jelas. Beliau selalu menutup matanya. Tapi bukan tidur. Beliau sedang bercerita pada saya akan nikmatnya menjadi seorang ibu. Saya sedang mendengar ceramah agama ‘live’ daripada seorang ibu yang bertarung kesakitan mahu melahirkan anak!

Saya teringat-ingat wajahnya yang manis itu. Banyak tersenyum apabila berkata-kata. Tiba-tiba beliau turun dari katil dan segera betulkan kainnya. Kainnya basah! Baru saya tahu itulah air ketuban. Banyak hingga menitik ke lantai. Saya tawarkan diri mahu memanggil jururawat. Ketika itu sudah pukul 4 pagi. Kami tak tidur malam itu. Beliau menolak kerana mahu berjalan sendiri. Beliau jalan perlahan-lahan.

Saya hanya melihatnya berjalan sehingga beliau masuk ke bilik bersalin. Tak sampai 15 minit, saya terdengar suara bayi menangis.

Allahuakbar!

Selepas subuh, apabila beliau masuk sahaja ke bilik, saya dengan tak sabarnya bertanya padanya dengan soalan bertalu-talu.

“Akak, senangnya bersalin! Tak sakit ke?”

Beliau tersenyum sahaja. Beliau berdoa semoga saya bersalin sebelum beliau dibenarkan keluar. Beliau mahu membimbing saya.

Tengahari itu juga saya sudah terasa sakit. Sakit yang tak pernah dialami sebelum ini. Menggeletar gigi dan seluruh tulang mahu menahan rasa sakit ini. Air mata keluar tanpa sedar.

Kakak sebilik tadi terus menerus memperdengarkan saya dengan alunan zikir. Beliau menyuruh saya berzikir bersama-sama. Kata-kata nasihat terus menerus masuk ke telinga saya. Masyaallah, sampai sekarang masih terngiang-ngiang nasihatnya sepanjang tempoh paling getir dalam hidup saya.

Pada masa inilah, kurma masuk ke mulut saya terus menerus. Sentiasa mengunyah kurma sepanjang masa. Apabila dahaga, minum air masak sahaja. Begitulah pesannya.

Bersalin

Alhamdulillah, suami dapat menemani saya ketika di dalam bilik bersalin. Rupa-rupanya bayi saya berada pada kedudukan mendongak. Maka, saya mengambil masa 1 jam ketika proses mahu meneran. Sangat lama. Alhamdulillah, jururawat bagi saya masa dan tidak paksa ketika proses mengeluarkan bayi.

Saya rasa bertenaga pada waktu tersebut. Malah, sehingga waktu selepas melahirkan. Saya aplikasikan juga teknik memakan kurma semasa mahu melahirkan anak kedua. MasyaAllah, kali ini rasa lebih bertenaga.

Rasa bersalin kali kedua, perasaannya sama sahaja seperti selepas membuang air besar. Tak sakit dan rasa lega sangat kat perut!

Subhanallah. Segala pujian hanya milik Allah SWT.

Kurma

Menjadikan diri sendiri sebagai testimoni kerana memakan kurma sepanjang proses melahirkan anak. Dalam perkataan yang lebih mudah, penawar ketika sakit kontraksi adalah kurma. Badan yang letih menahan kesakitan demi kesakitan sepanjang proses kelahiran bayi dapat diatasi dengan makan kurma.

Kurma menyumbang tenaga dengan serta merta. Tubuh terus kekal bertenaga dan terasa segar menempuh kesakitan demi kesakitan. Sejurus selepas bayi dilahirkan, lebihan kurma di dalam mulut ibu boleh terus dioleskan sedikit ke dalam mulut bayi, ia dinamakan tahnik. Sebaik-baiknya dilakukan sebelum bayi menyusu ibu buat pertama kali. Rujukan daripada buku Tarbiatul Aulad Fil Islam karangan Syeikh Nasih Ulwan.

Bagi bakal ibu yang pertama kali akan merasakan nikmat sakit bersalin, kesakitan itu akan datang dan pergi seperti ombak laut. Malah ombak kontraksi yang datang seterusnya adalah lebih kuat dan menyakitkan. Tidak perlu lawan. Cukup hanya tenangkan diri. Bertuahlah wanita kerana setiap kesakitan itu menghapuskan dosa kita yang lalu. Diakui memang sangat menyakitkan. Namun, ia dapat diatasi dengan persediaan fizikal, mental dan rohani yang cukup.

Tiada yang mustahil bagi Allah. Allahuakbar!

Selepas baca pengalaman saya, jangan lupa baca petua mudah bersalin. Ingin kongsi pengalaman bersalin anda? Kongsikan ke luahan@siraplimau.com.

 

Yang Popular

To Top