“Kalau cuti sekolah ni budak-budak memang asyik nak mintak maaakaan memanjang. Aku pun dah takde idea nak masak apa. Asyik ulang menu sama je.”
Biasanya cuti sekolah mak-mak makin sibuk di rumah. Kadang-kadang nak cepat tu kita pun gorenglah nugget atau sosej. Tapi balik-balik makan benda tu kita pun bosan juga.
Apa kata cuba olah sedikit dan buat corndog yang mudah ni. Sosej goreng yang dibalut tepung gebu memang sedap dimakan panas-panas. Tambahan pula kalau ada cheese yang cair di dalam. Bila tarik tu… Fuhh, terasa nikmatnya.
Disebabkan corndog ni dicucuk dengan lidi macam sate, budak-budak mesti lagi suka sebab ia mudah dipegang.
Jom kita tengok resepi yang dikongsikan oleh Puan Mahfuzah Amin ini. Katanya kejap je dah kena serbu dengan anak-anak. Mesti sedap tu!
Resepi Cheesy Sausage Corndog Yang Mudah & Super Lazat
Bahan-bahan
Bahan-bahan yang digunakan adalah macam dalam gambar di bawah:
- Pancake mix
- Susu full cream
- Chilli flakes / serbuk lada putih / hitam
- Sosej Jumbo berperisa
- Keju sebarang jenis (saya guna Mozzarella)
- Telur
- Breadcrumb (seeloknya yang putih)
Cara-cara
1. Sediakan Doh
Mula-mula gaulkan pancake mix dengan sedikit susu full cream dan gula kastor hingga menjadi doh. Kemudian asingkan kepada beberapa bahagian ikut berapa banyak corn dog yang kita nak buat.
Kalau tak gunakan susu dan gula, boleh juga bancuh dengan air biasa. Cuma rasanya sedikit plainlah.
2. Cucuk Sosej & Cheese
Seterusnya saya potongkan sosej kepada 2 bahagian. Cucukkan pada lidi sate. Bahagian atasnya saya cucuk dengan keju mozarella yang digumpal.
Kalau nak letak keju cheddar sekeping keliling sosej pun boleh. Tapi saya buat macam ni sebab anak nak feel tarik-tarik cheese tu.
3. Balutkan Dengan Doh
Lepas tu balutkan dengan doh yang kita dah uli menggunakan pancake mix tadi. Taburkan sedikit chilli flakes untuk bagi rasa sedap. Boleh juga gunakan herbs lain atau serbuk lada putih / hitam ikut suka.
4. Salut Breadcrumbs
Kemudian untuk tambah kerangupan di luar, kita salutkan dengan breadcrumbs sebelum digoreng.
Celupkan telur untuk jadikan pelekat.
Kemudian kita salutkan dengan breadcrumbs.
Siap untuk digoreng.
5. Goreng
Macam biasa, panaskan minyak dalam kuali. Kemudian bolehlah kita goreng macam biasa.
TIPS: Boleh rebuskan sosej terlebih dahulu kalau nak dapatkan tekstur corndog yang cantik. Masa menggoreng pun sekejap saja sekadar nak dapatkan kerangupan daripada doh di luarnya. Putar-putarkan corndog ketika menggoreng untuk dapatkan warna perang yang sekata.
Makan panas-panas, dengan keju yang cair di dalam memang sedap….!
Cheese Leleh Tu Yang Power!
Mudah kan nak buat corndog ni. Sesekali tu boring juga makan sosej macam biasa aja. Kalau buat macam ni mesti anak-anak seronok makan ramai-ramai. Mak ayah dia pun dapat tumpang sekaki. Sedap tu…
Kalau nak lagi sedap boleh bubuh mayonis, cheezy sauce, atau sos cili biasa. Barulah bertambah naik lagi rasa dia macam dalam gambar di bawah ni. Ni saya tak sempat nak deko apa, anak-anak dah ‘serang’.
Sesuai sangatlah buat corndog ni di rumah, terutamanya musim-musim cuti begini. Biasalah anak-anak kan memang cepat lapar.
Selamat mencuba!
*Resepi corn dog ala Korea ini disumbangkan oleh Puan Mahfuzah Amin menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.