“Alahai sedapnya ayam bakar ni. Lagi sedap kalau ada sos yang power sampai menjilat jari. Boringlah asyik makan dengan sos biasa tu.”
Kalau ada pencicah serbaguna, mesti kita ada banyak idea untuk pelbagaikan hidangan harian kita. Tak kiralah nak buat hidangan ala Western, ala Thai, Chinese style atau masakan Melayu, boleh adjust ikut citarasa sendiri dan lebihkan lagi bahan yang kita suka. Kalau asyik guna sos dalam botol tu, bosan juga kan?
Dalam segmen Dapur kali ini, kami ingin berkongsi sebuah resepi sos pencicah Thai yang sangat mudah dan lazat oleh Cik Nadia. Sos ini sangat lazat untuk dinikmati bersama macam-macam makanan seperti seafood, daging, ayam, sosej, kerabu dan sebagainya.
Kalau yang biasa dengan makanan Thai, sesuai sangatlah dimakan dengan Miang Pla Pao (ikan bakar yang digabungkan dengan sayuran segar dan dibungkus dalam daun ulam).
Ada 3 jenis sos Thai yang boleh anda cuba resepinya di bawah ini.
Resepi Sos Pencicah Thai Yang Lazat & Mudah
1. Sos Hitam
Bahan-bahan
- 1/2 sb beras pulut – disangai & ditumbuk halus
- 1/2 sb udg kepai / geragai – disangai
- 1 sb thai chilli flake -kalau tak ada, sangai sekejap cili kering & tumbuk
- 3-4 biji cili api- dihiris
- 1 biji bawang merah – dihiris
- sedikit daun ketumbar – dihiris
- 2 sb sos nam pla (sos ikan – cari yang ada gambar sotong dengan sticker hijau)
- 1/4 cwn gula putih + gula perang / nisan kerek / gula kabung
- 1/2 cwn air + pes asam jawa secukup rasa
- sedikit tepung jagung
Cara-cara
Masakkan semua bahan dengan sedikit tepung jagung KECUALI beras pulut, cili, bawang, daun ketumbar & udang kepai.
Bila dah pekat dan sejuk baru campur semua bahan sangai dan hiris tadi. Sos hitam ni rasanya masin, manis dan pedas.
Sos ini pun boleh dimakan bersama Miang Kham, cuma tak payah letak beras pulut.
2. Sos Hijau
Bahan-bahan
- 3-4 biji cili api hijau
- 6 biji lada hijau
- segenggam daun ketumbar (sekali dengan akar)
- 6 ulas bawang putih
- 3 sb sos nam pla
- 1/2 kiub ayam
- 1/4 cwn gula putih / gula kabung
- 1/4 cwn air limau nipis
- 1/4 cawan air
- garam secukup rasa
- sedikit tepung jagung
Cara-cara
Kisar semua bahan, kemudian masak dengan tepung jagung sampai pekat.
Sos hijau ni rasanya masam manis. Tak payah bubuh garam banyak sangat atau tak payah bubuh pun tak apa sebab dah ada rasa masin sedikit dari kiub ayam tadi.
3. Sos Merah / Thai Sweet Sauce
Bahan-bahan
- 3-4 biji cili api
- 6 biji cili merah
- 6 ulas bawang putih
- 1/2 kiub ayam
- 3 sb sos nam pla
- gula putih / gula kabung secukup rasa
- perahan air limau nipis @ cuka
- sedikit air
- sedikit tepung jagung
Cara-cara
Kisar semua bahan. Kemudian masak sampai pekat atas api dengan menambahkan sedikit tepung jagung.
Sos merah ni rasanya manis pedas macam sos maggi.
Boleh Ubahsuai Ikut Citarasa
Memang menaikkan selera bila ada sos pencicah yang pelbagai macam ni. Makan dengan nasi putih, bakar-bakar, goreng-goreng, atau dengan ulam dan sayuran segar pun dah cukup ‘terangkat’. Tengok gambar-gambar makanan di atas ni pun boleh kecur air liur dibuatnya.
Anda boleh ubahsuai sos ini mengikut citarasa masing-masing. Nak lebihkan manis, masin, pedas atau apa-apa bahan lain yang berkenan di hati.
Selamat mencuba!
*Resepi sos pencicah Thai ini dikongsikan oleh Cik Nadia menerusi Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN). Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk lebih banyak perkongsian, boleh follow Cik Nadia di SINI.