Dapur

Step-by-step: Cara Buat Bebola Ayam Homemade. Sedap Digoreng & Buat Sup!

2.2K
SHARES

“Budak-budak ni suka betul makan bebola ayam tu. Kalau sekali goreng atau buat sup, kejap je licin. Tapi asyik makan bebola frozen tu je tak elok pulak kan. Agaknya susah tak nak buat resepi bebola ayam sendiri dekat rumah?”

Bukan anak-anak saja, mesti ramai yang suka makan bebola ayam ni termasuklah mak ayahnya sekali.

Selalunya kita mesti ada stok makanan jenis jejari atau bebola sebab ia memang mudah dimasak dan digemari anak-anak.

Sebenarnya tak susah pun nak buat sendiri bebola ayam homemade menggunakan bahan segar yang lebih sihat dan sedap. Apa kata kita tengok caranya seperti yang dikongsikan oleh Puan Reen ini.

Ringkas dan mudah. Tak kisahlah nak buat sup boleh, goreng atau stim pun sedap!

Resepi Bebola Ayam Homemade Yang Mudah & Sedap

Tak payah buang masa lagi, jom tengok senarai bahannya seperti di bawah ini.

Bahan-bahan

  • *4 ketul bahagian isi dada ayam
  • *1 sudu kecil garam
  • *1 sudu kecil serbuk perasa
  • *1 sudu kecil lada putih
  • *1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • *1 sudu minyak masak
  • *1 biji telur (ambil putih saja)
  • *2 sudu besar tepung ubi / tepung jagung
  • 1 biji lobak merah diparut (boleh juga tambahkan daun sup jika suka)

Cara-cara

1. Kisar

Mula-mula, kisar semua bahan yang bertanda * hingga hancur.

2. Gaulkan Dengan Lobak Merah

Kemudian, kita gaulkan bahan kisar tadi dengan lobak merah yang dah diparut.

Resepi bebola ayam

3. Bentukkan

Seterusnya, bulat-bulatkan menjadi bebola.

Boleh buat ikut saiz yang disukai. Tak kisahlah ada yang suka besar, ada yang suka kecil.

4. Rebus

Bila dah dibentuk bulat-bulat, panaskan air dalam periuk dan rebuskan dalam air mendidih.

Resepi bebola ayam homemade

5. Angkat & Toskan

Nak rebus berapa lama tu, agak-agak sampai dah timbul bolehlah diangkat.

Macam biasa, toskan airnya. Siap!

Beginilah hasilnya…

Boleh Simpan Stok, Hidang Ikut Kesesuaian Menu

Mudah kan? Bebola ayam ni bolehlah dihidang untuk menu-menu pilihan contohnya sup, bakso, mee kari, tomyam dan sebagainya.

Macam saya hari ni buat sup je senang. Makan pulak dengan sambal kicap. Fuh, sedap terangkat!

Boleh juga digoreng bersama nasi goreng, mee goreng, bihun goreng, kuey teow.

Nak makan ala stimbot pun best, cuma perlu digoreng begitu saja dan dihidang bersama sos dan mayonis.

Simple tapi sedap! Boleh buat stok frozen di rumah. Tak payah beli yang segera lagi dekat pasaraya tu. Dapat jimat lagi tu kan? Bahan-bahan pun boleh disesuaikan ikut mana yang kita suka.

Jadi, apa lagi. Jomlah kita cuba resepi bebola ayam homemade ini. Mesti anak-anak suka. Satu keluarga boleh makan sama-sama.

Selamat mencuba!

 

** Resepi bebola ayam homemade ini disumbangkan oleh Puan Reen menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Kalau nak tengok resepi sup bebola ayam sekali, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

Most Popular

To Top