Sihat

Bukan ‘Jilatan Jin’, Ini Sebenarnya Penyakit Gegata Yang Buat Anda Gatal Satu Badan!

18
SHARES

Sudah pasti anda pernah mengalami gejala gatal-gatal di badan seolah-olah mempunyai tompokan yang timbul bukan? Bukan sahaja untuk orang dewasa, malah kanak-kanak juga pernah mengalami gejala seperti ini dan dipanggil ‘jilatan jin’. Dengar macam menyeramkan tetapi penting untuk kita tahu langkah pencegahan kepada penyakit gatal yang dipanggil ‘urticaria’ dari segi istilah saintifik.

Gegata: Gatal Yang Tidak Terkata

Siapa pernah kena tompok-tompok besar yang sangat gatal? Sekiranya pernah, semestinya anda maklum betapa resahnya mengalami keadaan sedemikian, sebab gatalnya bukan boleh bawa bincang!

Nama penyakit ini ‘urticaria’. Dalam Bahasa Malaysia, dipanggil ‘gegata’. Ada yang panggil ‘sopak garam’. Kenapa sopak garam? Ada orang beritahu saya kerana kepercayaan kalau kena penyakit ini sapukan garam di atasnya, gatal-gatal itu akan reda. Sekarang gegata disebut penyakit kena jilat jin. Haaa…begitu pula? Mistik sungguh.

Jadi, apa itu gegata?

Gegata terjadi apabila tubuh kita merembeskan histamin dan beberapa bahan lain menyebabkan cecair dibocorkan dari saluran darah ke lapisan dermis kulit. Faktor ini membawa kepada kebengkakan kulit dan kegatalan yang melampau. Sekiranya gegata berlaku dalam tempoh kurang daripada enam minggu, keadaan itu dipanggil ‘acute urticaria’. Sekiranya lebih daripada enam minggu, ia dikenali sebagai ‘chronic urticaria’.

Gegata mungkin terjadi akibat beberapa faktor pencetus seperti haba, makanan atau ubatan, jangkitan virus atau stress. Keadaan ini lebih menjurus kepada ‘acute urticaria’. Sekiranya gegata berlaku akibat tekanan/calaran pada kulit dan mengikut corak calar tersebut, keadaan itu dipanggil ‘dermographism’. Anda boleh ‘lukis’ di badan pesakit dan corak gegata akan ikut lukisan tersebut!
Ada juga gegata yang merupakan simptom kepada penyakit lain seperti penyakit thyroid, penyakit autoimmune, serta penyakit-penyakit kronik yang lain.

Untuk penyakit gegata yang kronik, hampir 90% tidak diketahui pencetusnya. Situasi tersebut kita gelarkan ‘spontaneous urticaria’. Gegata bersifat ‘migratory’; yakni bermaksud tompok-tompok gatal tersebut berpindah randah dari satu bahagian tubuh ke satu bahagian lain. Dan tidak diam di satu bahagian lebih daripada 24 jam, serta hilang tanpa sebarang parut.

Sekiranya gegata yang pesakit alami tidak memenuhi kriteria-kriteria di atas (tidak berpindah, lebih 24 jam di satu-satu tempat, berparut) maka penyakit lain seperti ‘urticarial vasculitis’ akan disyaki dan kemungkinan penyiasatan lanjut termasuk biopsy kulit perlu dilakukan.

Jadi, apa yang harus kita lakukan sekiranya menghidap gegata?

Gegata dirawat menggunakan ubat ‘antihistamine’. Ada banyak jenis ubat antihistamine di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan seperti Loratadine, Pitiron, Cetirizine (zyrtec), Desloratadine (Aerius). Kunci kepada rawatan gegata- sabar. Slow and steady. Ubat-ubat ini perlu dimakan secara konsisten untuk menampakkan kesan. Dan penampakkan kesan itu akan berlaku dengan perlahan; tompok-tompok akan lebih kecil, gegata akan muncul dalam tempoh yang lebih singkat, kegatalan akan berkurangan tetapi semua itu mungkin mengambil masa beberapa hari.

1.Sekiranya perlu; doktor akan menaikkan dos atau menambah ubat jenis lain untuk mencapai hasil yang dikehendaki. Jangan memandai menambah dos sendiri! Sila bertemu doktor untuk rawatan dan pemantauan yang betul.

2.Sekiranya anda mengesyaki gegata itu disebabkan faktor-faktor tertentu terutamanya apabila ianya berlaku berulangkali, anda mungkin disuruh oleh doktor untuk menyimpan diari. Sekiranya yang disyaki adalah makanan, catat apa yang anda makan setiap hari, dan bila anda terkena gegata. Diari itu akan disemak untuk melihat samada ada kaitan antara episod gegata dengan faktor yang disyaki tersebut.

3.Sekiranya anda terkena gegata yang kronik, doktor akan mengambil ujian darah untuk memastikan tiada penyakit lain yang menyebabkan gegata tersebut. Ubat antihistamine akan diberikan selagimana gegata itu masih ada, dan akan dikurangkan atau ditambah dos sesuai dengan keadaan penyakit pada setiap temujanji.

4.Sekiranya gegata disusuli dengan pembengkakan mulut atau mata, sesak nafas atau perubahan suara, segera ke hospital kerana itu menunjukkan bahawa pembengkakan juga berlaku di bahagian dalam badan dan mungkin juga menutup salur pernafasan!
Tiada yang mistik mengenai gegata. Gegata adalah satu penyakit yang ada rawatannya. Yang penting, ikut arahan pemakanan ubat dan jangan sapu benda pelik-pelik di tubuh.

Gambar: tular di Facebook

Sumber: Dr Huda Kamarudin, Pegawai Perubatan Dermatologi Medical Mythbuster Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×