“Eh, semalam ‘check’ macam dah tak ada darah. Ni dah tengahari ada pula kesan kuning-kuning. Dah boleh puasa ke?”
Ternyata memang ramai lagi dalam kalangan wanita yang masih keliru tentang tempoh berakhirnya haid. Terutama sekali apabila berada dalam bulan Ramadan, sudah pasti ramai dalam kalangan wanita yang tidak mahu meninggalkan hari puasa terlampau banyak bukan? Jadi, bagaimana anda nak mengenalpasti sama ada darah haid sudah betul-betul ‘kering’ atau pun tidak?
1. Kering & Bersih
Tanda habis haid yang paling utama adalah faraj anda sudah benar-benar kering dan bersih. Ini bermaksud, tiada sebarang kesan kekuningan, kecoklatan, atau kemerahan apabila anda mengesat bahagian faraj dengan kain atau tisu putih.
Jika warna putih kapas tidak berubah, dia wajib mandi hadas dan mengerjakan solat. Namun jika di kapas ada bekas merah, kuning, keruh, atau coklat, maka tunggulah sehingga ia benar-benar bersih.
Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa wanita-wanita sahabat menghantarnya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid.
Lalu ‘Aisyah menjawab;
لا تَعْجَلَنَّ حتى ترين القَصَّة البيضاء
“Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari).
2. Keluarnya Cecair Putih
Satu lagi tanda habis haid adalah keluarnya cecair berwarna putih daripada faraj. Setelah keluarnya cecair berwarna putih ini, jika masih terdapat kesan merah, kuning, atau coklat pada farajnya, ia tidak lagi dikira sebagai haid. Namun, sesetengah wanita mungkin tidak mengalami hal ini ataupun tidak perasan berlakunya tanda ini.
Tempoh Kebiasaan Haid
Jika masih ragu-ragu, rujuklah pada tempoh kebiasaan haid anda setiap bulan. Menurut sumber menerusi halaqah.net, warna kuning dan keruh yang dilihat dalam tempoh kebiasaan haid atau tempoh kemungkinan haid (iaitu 15 hari menurut mazhab Syafi’ie) adalah dikira haid. Ini bermakna, jika masih ada kesan kecoklatan atau kekuningan dalam tempoh 15 hari, ia dikira sebagai haid.
Bagaimana Jika Tidak Tetap Haid?
Sesetengah wanita mungkin mempunyai masalah yang lebih rumit untuk menentukan tanda habis haid jika tidak tetap tempoh haidnya setiap bulan. Oleh itu, mereka bolehlah mengambil inisiatif untuk membezakan darah haid dengan darah istihadhah seperti di bawah ini.
4 Cara Membezakan Darah Haid Dengan Darah Istihadhah
Terdapat 4 ciri yang membezakan darah haid dengan istihadhah yang perlu diketahui oleh wanita.
1. Warna
Darah haid berwarna merah gelap, sedangkan darah istihadhah berwarna merah segar (merah darah).
2. Kekentalan
Darah haid lebih kental manakala darah istihadhah lebih cair.
3. Bau
Darah haid berbau hanyir, sedangkan darah istihadhah biasanya tidak berbau
4. Keadaan Darah
Darah haid masih kekal lembab setelah ianya keluar manakala darah istihadhah akan mengering karena ia adalah darah dari pembuluh.
Nota: Jika seorang wanita mengalami haid, dia tidak boleh solat dan puasa. Tetapi, jika dia mengalami istihadhah, dia tetap wajib solat dan puasa. Hanya perlu berwuduk adan menyucikan darah istihadhah tersebut apabila hendak solat.
*Sumber rujukan: Fiqh Wanita, Quranic Reminders