Asuh

Begini Cara Solat Sambil Dukung Bayi, Panduan Dari JAKIM

19.4K
SHARES
http://www.e-fatwa.gov.my/blog/bersolat-sambil-mendukung-bayi

“Haish.. Setiap kali nak solat mesti nak kena tunggu anak kecil tidur dulu. Kalau dibiarkan takut merayap dan mencapai yang bukan-bukan. Yalah, sejak dapat kaki ni memang aktif sangat sampai risau nak ditinggal.”

Pernahkah anda berhadapan dengan masalah di atas? Lumrah apabila ada anak kecil, memang macam-macam karenahnya.

Kadang-kadang, dipanjatnya badan kita, ditariknya telekung kita, dicucuknya lubang hidung kita, dicabutnya kopiah ayahnya. Saya sendiri pernah dipaksa minum air sewaktu duduk tahiyat, sampai tumpah ke telekung. Mujurlah cuma air kosong yang dapat dicapainya… Kalau air sirap atau kopi, tak tahulah..!

Namun, perkara ini tidak sepatutnya menjadi alasan bagi sesetengah ibu bapa sehingga melengahkan solat.

Ini kerana Islam itu sebenarnya agama yang teramat indah dan memudahkan. Antara perkara yang dapat dilakukan dalam situasi di atas ialah mendukung bayi sambil bersolat.

Hukum Solat Sambil Dukung Bayi

Menurut JAKIM, sama ada untuk imam, makmum, atau solat bersendirian kita dibenarkan mendukung bayi lelaki mahupun perempuan. Ia juga dibenarkan untuk solat fardhu atau sunat, dengan syarat-syarat berikut:

1. Bayi tersebut mestilah bebas daripada najis. Pastikan anda sudah menukar lampin bayi sebelum mula solat.

2. Mengawal pergerakan supaya tidak melakukan pergerakan anggota besar sebanyak tiga kali berturut-turut. Pergerakan lain juga perlu diminimakan sebaik mungkin supaya tidak menghilangkan khusyu’.

3. Memastikan dada sentiasa menghadap kiblat.

4. Melakukannya hanya dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. JAKIM menegaskan bahawa adalah lebih baik sekiranya dapat memberi seseorang menjagakan anak semasa kita sedang solat.

Cara Solat Sambil Dukung Bayi

1. Seelok-eloknya, bersihkan bayi yang akan didukung daripada sebarang najis terlebih dahulu. Tukar lampinnya dan carilah pakaian yang bersih supaya ia tidak menjadikan kita was-was ketika sedang solat nanti.

2. Memulakan niat solat seperti biasa sambil mendukung bayi.

3. Sewaktu takbiratul ihram, kedua-dua tangan tidak perlu diangkat dan tidak perlu diletak di atas pusat sekiranya kedua-dua tangan sedang mendukung bayi. Ini kerana, takbiratul ihram termasuk dalam rukun qauli (bacaan/lafaz) dan bukannya fi’li (perbuatan).

4. Baca Al-Fatihah seperti biasa dan surah pilihan jika keadaan mengizinkan.

5. Rukuk dengan tangan memegang erat bayi tersebut. Tidak perlu meletakkan kedua-dua tangan di atas lutut sekiranya ia di luar kemampuan anda yang sedang mendukung bayi.

6. Ketika mahu sujud, letakkan bayi di sebelah dan sujud seperti biasa. Selesai sujud kedua, dukunglah bayi semula sebelum memulakan rakaat seterusnya.

7. Ulangi langkah yang sama sehingga selesai kesemua rakaat.

 

Apakah yang perlu dibuat sekiranya bayi berada jauh dari tempat solat?

Syarat dibolehkan melakukan pergerakan anggota yang besar ialah tiga kali. Sekiranya bayi berada jauh daripada tempat solat, anda dibolehkan melangkah ke hadapan, ke sisi, atau ke belakang dengan syarat pergerakan besar tidak melebihi tiga kali berturut-turut.

Sekiranya bayi melakukan sesuatu yang bahaya, kita boleh menghentikannya selagi ianya tidak melibatkan pergerakan yang ekstrim atau bercakap. Pastikan juga dada masih lagi dalam keadaan menghadap kiblat.

Bolehkah mempercepatkan solat ketika bayi sedang menangis?

Kita boleh mempercepatkan solat ketika bayi sedang menangis. Terdapat hadis yang membuktikan Rasulullah turut memendekkan solat apabila terdengar tangisan bayi.

Dalilnya terdapat sebuah hadis Qatadah bahawa Anas Bin Malik menceritakan kepadanya:

Bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku berminat untuk memperpanjangkan solat itu. Tiba-tiba aku mendengar tangisan seorang anak lalu aku memendekkan solat itu kerana aku mengetahui besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisannya.” 

Solat sambil dukung bayi

Foto Kredit: qadin.az/

Jika begitu, bilakah keadaan yang patut membatalkan solat?

Pada asasnya, apabila seseorang Muslim memulakan solatnya, dia tidak boleh membatalkannya kecuali disebabkan keuzuran.

Para ulama pula ada menyebutkan beberapa keadaan yang membolehkan seseorang membatalkan solatnya seperti kekhuatiran terhadap keselamatan diri sendiri (contohnya berlaku gempa atau serangan binatang buas), harta (contohnya ada orang mengambil barang kita), atau menyelamatkan orang lain (doktor yang terpaksa melakukan pembedahan darurat melibatkan nyawa pesakit).

Selain itu, kita dianjurkan untuk membatalkan solat dalam keadaan ingin buang angin atau buang air.

Ini menunjukkan bahawa solat masih boleh diteruskan dengan beberapa keringanan tanpa gangguan besar yang menyebabkan kita perlu membatalkan solat.

Solat Perlu Diutamakan

Pelbagai keringanan telah diizinkan dalam memastikan umat Islam dapat menunaikan solat dengan sempurna. Sumber lengkap yang dapat dirujuk ialah ‘Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi Pesakit’ yang diterbitkan oleh JAKIM.

Oleh itu, kita haruslah menimba ilmu supaya dapat mengutamakan solat dalam apa jua keadaan. Bayi juga akan mendapat kesan positif apabila sentiasa didedahkan dengan solat.

Semoga usaha kita mendapat keberkatan daripadaNya.

Insya Allah…

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×