Buat individu yang bergelar sebagai bapa pasti akan sanggup melakukan apa sahaja demi anak tercinta. Begitu juga dalam kisah yang mendapat perhatian di laman media sosial ini apabila seorang bapa menemaninya anaknya berjalan pergi sekolah sejauh 6km setiap hari!
Perkongsian ini meruntun hati dalam kalangan netizen kerana memikirkan realiti bahawa ramai lagi orang di luar sana yang lebih susah dari diri sendiri…
Baca juga: Rupanya Lebih 120,000 Murid Tahun 1 Dikesan TAK BOLEH Membaca, Menulis & Mengira
BAPA DAN ANAK JALAN KAKI 6KM SEHARI PERGI SEKOLAH
Terbaharu dalam satu perkongsian di laman Facebook milik aktivis amal Abbe Han, memaparkan kegigihan dan usaha seorang ayah yang sanggup berjalan bersama anaknya sejauh 6km sehari untuk pergi ke sekolah. Perjalanan selama 6km antara seorang bapa dan anaknya bernama Izara itu merupakan perjalan pergi dan pulang.
Begitulah kasih sayang seorang bapa yang tidak akan membiarkan anaknya pergi menuntut ilmu sendirian. Adakalanya Izara akan menumpang penduduk yang kebetulan berselisih dengan dua beranak berkenaan.
Keluarga kecil telah bertemu dengan pihak aktivis amal ini di Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.
“Sekolah Izara agak jauh jika dibandingkan dengan sekolah kakaknya, kakaknya di sekolah menengah dalam tingkatan 2. Jarak sekolah kakaknya hanya 1.5km dari rumah. Jarak sekolah Izara pula 3km dari rumah dan Izara berada di darjah 6,” ujar si bapa.
Motosikal bapa rosak dan ada masalah kewangan untuk baiki
Benarlah ujian itu tanpa diduga kerana sebelum ini si bapa menggunakan motosikal untuk menghantar anak-anak namun kenderaan tersebut rosak dan ekoran masalah kewangan yang dihadapi, si bapa tidak dapat untuk membaikinya.
Namun bapa mengambil tanggungjawab tersebut apabila sanggup berjalan kaki dengan anak kerana tidak mahu si kecil itu tercicir dari pelajarannya.
Abbe Hae turut menyifatkan Izara seorang pelajar yang rajin belajar dalam perkongsiannya itu. Malah sebaik sahaja sampai di rumah selepas pulang dari sekolah dia akan terus mengulang kaji pelajaran. Lantas, disebabkan komitmen Izara dalam pelajaran maka Abbe akan sediakan biasiswa bulanan buat Izara bermula Oktober 2024.
“Abbe telah minta bantuan pemberi maklumat tentang keluarga ini agar hantar motosikal bapa Izara untuk dibaiki secepat mungkin agar mereka tidak lagi berjalan kaki ke sekolah dan segala kos ditanggung oleh pihak kami.
“Semoga Izara menjadi anak yang berjaya satu ketika nanti. Terima kasih buat pemberi maklumat Jep dan Imam Masjid Kampung Bukit Abal, Kelantan.”
*Menjengah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen meluahkan rasa simpati dan bertanyakan maklumat lebih lanjut bagi menyalurkan bantuan. Semoga si bapa ini dan anaknya, Izara terus cekal dan dipermudahkan dalam apa jua situasi ya!
Sumber: Abbe Han