Sekali lagi, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes kanak-kanak hilang dan ditemui mati. Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini pada Sabtu.
Lebih meruntun hati adalah, mangsa merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan lembam.
Baca juga: Tak Digalakkan Beriadah Selepas 7.30 Malam Di Stadium Sultan Suleiman Klang, Ada Notis!
KES KANAK-KANAK HILANG, NURAINA HUMAIRA DIROGOL SEBELUM DIBUNUH
Menurut laporan Sinar Harian, mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.
“Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan ke atas tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah”
Beliau berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi. Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan dalam radius 2 kilometer dengan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang awam yang turut menyertai operasi ini berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan itu.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput bagi proses bedah siasat,” katanya.
HANYA KERANA NAK PERGI BELI AYAM GORENG…
Berdasarkan maklumat diterima, mangsa telah pergi ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang pada hari kehilangannya bagi membeli ayam goreng.
Mangsa bagaimanapun pulang dengan tangan kosong kerana ayam goreng sudah kehabisan di kedai, sebelum bapa saudara menyuruhnya menunggu seketika untuk mengajaknya ke kedai lain.
“Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap sementara dia menghabiskan kerja.
“Sepanjang tempoh menunggu itu, mangsa didapati sedang bermain buaian di kawasan itu, namun bila bapa saudara keluar dari rumah didapati mangsa sudah tiada,” katanya.
Menurut laporan terkini dari Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata susulan itu kes yang pada mulanya diklasifikasikan mati mengejut (SDR), diklasifikasi semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.
Katanya, ia susulan keputusan hasil bedah siasat yang selesai dijalankan jam 4 petang semalam ke atas mayat mangsa yang mendapati terdapat kecederaan/luka akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyakan di kemaluan mangsa.
“Susulan itu seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa ditahan polis sekitar jam 5.30 petang tadi bagi membantu siasatan,” katanya.
Terbaharu, remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan, disyaki terbabit kes kematian kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan di kawasan paya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput berkata, suspek yang ditahan pada 5.30 petang tadi di perkampungan sama dengan mangsa akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman. Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati dia tiada rekod kesalahan lampau.
*Semoga dalam laporan seterusnya, dalang di sebalik kejadian yang mengundang amarah serta sedih dalam kalangan ramai ini ditemui dan mendapat hukuman setimpal. Damailah engkau di syurga, adik Nuraina Humaira…
Baca juga: Bapa Rogol Anak OKU Sehingga Hamil & Lahirkan Bayi, Kini Ditahan!
Sumber: Buletin TV3, Sinar Harian, Harian Metro