Sekali lagi Malaysia dikejutkan dengan kes orang hilang sehingga mengundang maut. Kali ini kejadian menyayat hati ini berlaku di Stadium Sultan Suleiman, Klang yang dikatakan merupakan ‘black area’. Mengikut laporan, mangsa, Nidza Afham mengunjungi stadium itu sebelum gagal dihubungi dan dilaporkan hilang.
Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie keluar dari rumah menggunakan perkhidmatan kereta tumpang (indrive) ke stadium itu untuk berjoging, kira-kira jam 7.45 malam, Selasa lalu.
Baca juga: 10 Peringatan PENTING Sebelum Anda Keluar Rumah, Selit 3 Barang Ini Dalam Beg Juga…
TAK DIGALAKKAN BERIADAH DI STADIUM SULTAN SULEIMAN SELEPAS 7.30 MALAM
Stadium Sultan Suleiman adalah tempat tumpuan penduduk sekitar Klang dan kawasan berhampiran sejak sekian lama. Bukan hanya aktiviti riadah seperti joging malah stadium itu menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai program berskala kecil dan besar termasuk kejohanan sukan serta pelbagai aktiviti lain.
Namun, berdasarkan kes terbaharu yang berlaku, Nidza Afham mengunjungi Stadium Sultan Suleiman sebelum gagal dihubungi dan dilaporkan hilang. Terletak di Jalan Padang, lokasi stadium ini berhampiran Pusat Bandar Klang, tidak tersorok atau terlindung daripada pandangan umum.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan Berita Harian, jam 10.30 malam semalam, mendapati masih ada beberapa orang awam berjoging di luar perkarangan stadium dan semakan pada notis di pintu masuk stadium sudah memaklumkan waktu ditetapkan iaitu waktu joging 6-9 pagi, 4 petang-7.30 malam.
Menurut notis berkenaan, waktu orang awam dibenarkan untuk joging adalah setiap hari Isnin hingga Ahad termasuk cuti minggu dan cuti umum mulai 6 pagi hingga 9 pagi dan sesi petang 4 petang hingga 7.30 malam.
Bersesuaian dengan notis yang telah diletakkan, tinjauan mendapati, keadaan stadium ketika itu dan trek joging ketika itu sudah gelap dan hanya lampu di luar kawasan stadium memberikan simbahan cahaya ke lokasi berkenaan.
Selain individu yang sedang joging dan bersenam, terdapat gelanggang tenis dan litar kereta kawalan jauh di hadapan stadium berkenaan. Keadaan gelanggang tenis gelap namun litar berkenaan bercahaya dan kelihatan lebih 10 individu sedang bermain kereta menggunakan alat kawalan jauh.
“KLANG COLUMBIA”
Menjengah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen yang menyuarakan pendapat bahawa bukan sahaja kawasan stadium ini agak berbahaya, namun seluruh bandar Klang juga. Hal ini kerana, ramai yang berpendapat bahawa daerah dalam negeri Selangor ini begitu padat dengan warga asing.
Para netizen yang tinggal di Klang juga turut memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang datang ke sini atau baru sahaja berpindah ke Klang untuk tidak keluar bersendirian selepas jam 7 malam. Terlampau banyak ‘hot spot’ jenayah di kawasan sekitar dan kita perlu berjaga-jaga sebelum ada tindakan seterusnya dari pihak berkuasa.
Malam tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang memakai baju bernombor 56 ditemui di berhampiran Jalan Tepi Sungai, solok sungai, Taman Telok Pulai Indah adalah Nidza Afham.
Mayat mangsa yang dibawa naik oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 10 malam dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat dan telah selamat dikebumikan.
*Semoga kita sentiasa dilindungi Allah SWT dan pastikan diri sentiasa peka dengan keadaan sekeliling ya.
Baca juga: Kaki Adik Hidayat Tiba-Tiba Membengkak Selepas Merentas Desa, Terpaksa Dipotong…
Sumber: Berita Harian Online