Menjalani kehidupan secara bersederhana tidak bermakna anda tidak boleh pergi bercuti dan mencipta memori manis bersama keluarga. Hal ini kerana, terdapat pelbagai alternatif boleh diusahakan seperti percutian bajet. Bak kata peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”
“Kami hargai setiap detik bersama keluarga,” antara perasaan yang diluahkan oleh pemenang minggu ketiga bagi peraduan kempen Masam Masam Manis yang dianjurkan Sirap Limau. Di mana, tema pada minggu itu berkenaan cara paling efektif merancang ekonomi keluarga apabila pergi bercuti.
Baca juga: Berdebarnya Nak Lalu Sekatan Imigresen! Hafal 8 Tips ‘Rare’ Ini Kalau Nak Lepas Masuki Negara Orang
PERCUTIAN BAJET KELUARGA SEDERHANA CIPTA MEMORI MANIS BERSAMA
Nor Azura Abd Rahim menyatakan dia dan suami Hilmi Hamzah, masing-masing berusia 38 tahun, merupakan sebahagian kecil daripada marhaen yang suka membawa anak-anak pergi berjalan-jalan dengan kaedah percutian bajet.
Biarpun mereka berdua perlu memikir berulang kali sekiranya ingin bercuti ke luar negara, termasuk Sabah dan Sarawak, namun ia tidak mematahkan niat membawa tiga anak lelaki mereka bersama untuk mencipta memori manis di pusat percutian seperti di Semenanjung Malaysia.
“Sejujurnya kami ini rakyat marhaen. Nak pergi berjalan luar negara hatta pergi Sabah Sarawak pun fikir berulang kali, tapi itu tak mematahkan niat untuk membawa anak-anak pergi berjalan-jalan. Banyak sahaja kawasan menarik di semenanjung ini,” ujar Azura.
Baca juga: Lelaki Ini Kata Maldives ‘Trip’ Paling Murah Dia Pernah Pergi, Nafi Mahal & Kongsi Tips Berguna!
Baca juga: Trip Sehari Menarik Di Sekinchan, Bila Tengok Gambar Rasa Nak Pergi Sekarang Je!
Bahkan, terdapat banyak tips dan pelajaran yang boleh dimanfaatkan melalui pengalaman mereka bercuti secara bajet untuk dikongsikan bersama pembaca Sirap Limau. Antara yang dikongsikan Azura adalah:
- Selalu jika pergi ke tempat menarik kami akan ambil bilik biasa sahaja bukan bilik keluarga dan kami akan bawa bantal, tuala dan selimut lebih untuk anak-anak.
- Tak ambil makan pagi di hotel sebab lebih berbaloi jalan kaki di sekitar bilik penginapan mencari jualan makanan di tepi jalan sambil tengok keadaan sekeliling, boleh menyegarkan badan dan mencuba kuih-muih yang kadang-kadang susah nak jumpa.
- Bawa roti dan biskut untuk anak isi perut jika lapar waktu tengah malam atau waktu-waktu tertentu.
- Tempat-tempat yang kena beli tiket mahal memang dielakkan.
- Beberapa hari sebelum pergi ke tempat bercuti saya akan mencari tempat-tempat menarik di kawasan situ, makanan murah dan viral untuk dikunjungi.
- Membuat pembandingan harga tempat penginapan yang mesra bajet.
Tambahnya lagi, percutian mereka sekeluarga turut didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menjimatkan kos seperti pergi berkelah di tepi pantai, melawat muzium, mengunjungi taman-taman menarik negeri dan sebagainya.
Percutian bukan sahaja dapat mencipta kenangan indah, malah kedua-dua pasangan ini yang sudah pun berkahwin selama 13 tahun turut mengingatkan anak-anak mereka untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang telah disediakan di sepanjang percutian.
Menutup perbualan bersama penulis, Azura berharap agar ahli keluarganya dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan seharian. Selain itu, agar mereka sekeluarga dikelilingi orang-orang yang baik dan mendapat keberkatan hidup.
Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
Baca juga: Terbongkar! ‘Hidden Gems’ Di Setiap 14 Negeri Yang Orang Ramai Belum Habis Teroka
FT Image: Nor Azura Abd Rahim