Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan pelbagai lokasi menarik untuk pergi bercuti seperti di perkampungan nelayan, pulau, hutan rimba dan sebagainya. Maka, kali ini penulis kongsikan kepada pembaca 14 ‘hidden gems’ destinasi pelancongan di Malaysia yang ada setiap negeri.
Jom terokai bersama!
Baca juga: Trip Sehari Menarik Di Sekinchan, Bila Tengok Gambar Rasa Nak Pergi Sekarang Je!
DESTINASI PELANCONGAN DI MALAYSIA
1. Pulau Ketam, Selangor
Pulau Ketam dikenali sebagai perkampungan nelayan seperti yang wujud di negara Kemboja dan Vietnam. Kalau anda nak lari dari kesibukan kota dan menyukai suasana yang tenang, inilah tempatnya.
Anda boleh buat aktiviti river cruise, memancing dan berbasikal bersama anak-anak. Sungguh mendamaikan~ Udaranya juga segar kerana bebas dari asap kenderaan yang menyesakkan.
2. Lata Kashmir, Kelantan
Jangan salah faham, Lata Kashmir ini bukan berada di negara Pakistan tetapi di Jeli, Kelantan. Anda bakal terpesona melihat pemandangan lata yang cukup memukau.
Mata anda akan disajikan dengan pemandangan bukit yang indah, lapangan rumput yang menghijau, jeram berbatu dan empangan. Orang yang gemar outfit of the day (OOTD) dan jurugambar pasti akan jatuh cinta dengan tempat ini!
3. Tasik Timah Tasoh, Perlis
Di Tasik Timah Tasoh mempunyai pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti berkelah tepi tasik, berkayak, boat-ride, stand-up-paddle dan berkhemah di Santuari Ikan Air Tawar.
Selain itu, singgahlah kawasan ‘Lonely Tree’ untuk mengambil gambar kerana pokok yang tumbuh di tasik ini berlatar belakang Banjaran Nakawan. Memang wow!
4. Lata Penyel, Perak
Kalau nak tahu, Lata Penyel merupakan tempat yang popular dalam kalangan ‘hikers‘. Maka, tidak hairanlah ia kurang dikenali oleh pelancong.
Air terjun setinggi 60 meter merupakan tarikan utama dari alam semula jadi yang menakjubkan. Pengunjung perlu mendaki kira-kira 15-20 minit dan laluannya cukup mudah serta landai.
5. Pulau Sungai Ular, Pahang
Tidak seperti namanya, pulau tersembunyi ini bukanlah tempat habitat haiwan tersebut. Ia hanyalah nama bagi kawasan Sungai Ular.
Pulau Sungai Ular merupakan tempat ideal untuk percutian yang santai, selain mempunyai pantai yang bersih serta air yang jernih. Malah, pengunjung juga boleh day trip camping atau bermalam di resort berdekatan pantai.
6. Tasik Pepsi Blue – Terengganu
Sekali pandang, sudah buat orang jatuh cinta dengan keindahan warna air tasik ini yang biru kehijauan. Kalau nak tahu, tasik ini terhasil daripada aktiviti melombong emas pada suatu masa dahulu.
Khabarnya, ia akan dibangunkan kerajaan negeri dan diperkenalkan kepada pelancong luar nanti. Bagi anda yang mahu menikmati panorama indah ini, hanya perlu melakukan aktiviti jungle tracking kira-kira lima hingga 10 minit sahaja.
7. Rock Village, Kedah
Rock Village merupakan tempat perkhemahan terbaru di negeri Kedah yang mempunyai batu-batu besar di kawasan tersebut. Ia dikatakan mempunyai vibes seperti di Chiang Rai, Thailand.
Jadi, memang syok habis jika ada berkhemah di sini! Bila bangun pagi, anda akan melihat kabus-kabus cantik menghiasi langit.
8. Gua Silabur (Jade Cave), Sarawak
Gua Silabur bukan sekadar gua yang anda sangkakan. Ia mempunyai keindahan alam semula jadi yang memukau dan mengasyikkan kerana gua ini bersinar kehijauan seperti baju jed.
Berbaloi anda mendaki jauh yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit!
9. Pulau Lankayan, Sabah
Jerung paus merupakan hidupan laut yang kerap memunculkan diri dan berhabitat di Pulau Lankayan ini. Sekiranya anda seorang penggemar hidupan laut, wajarlah berkungjung di pulau ini.
Bukan sahaja anda berkemungkinan dapat melihat jerung paus, tetapi juga berpeluang melihat penyu-penyu laut yang terletak di Koridor Penyu Laut.
10. Jelita Ostrich Farm, Negeri Sembilan
Malaysian Book of Records telah memperakui Jelita Ostrich Farm sebagai ladang burung unta yang pertama di Malaysia dengan berkeluasan 4.2 hektar.
Bukan sahaja dapat melihat dan memberi makan kepada burung besar ini, tetapi anda juga boleh menunggangnya.
11. Taman Herba & Rempah Nasuha, Johor
Ramai beranggapan lokasi seperti ladang dan kebun kurang menarik untuk dijadikan lokasi jalan-jalan bersama keluarga. Namun, persepsi anda mungkin berubah setelah berkunjung ke Ladang Herba & Rempah Nasuha ini.
Ladang ini menempatkan kira-kira 150 spesis rempah dan herba dari seluruh dunia serta hampir separuh daripanya berasal dari Eropah, Afrika dan serata Asia. Fakta lain, ia juga merupakan ladang herba terbesar di Asia Tenggara.
12. Penang Bird Park, Pulau Pinang
Penang Bird Park dihuni oleh 3,000 spesis burung dari seluruh dunia. Malah, anda juga berpeluang melihat spesis burung terancam seperti burung enggang Tebang Mentua.
Lokasi ini merupakan sebuah taman burung yang paling terbesar di Malaysia. Sesuai untuk penggemar burung dan pelbagai golongan usia untuk ke sini.
13. KL Forest Eco Park, Kuala Lumpur
Di tengah kota raya Kuala Lumpur, terdapat juga tempat yang dipenuhi dengan kehijauan hutan semula jadi seperti Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (KL Forest Eco Park).
Ia merupakan tempat healing terbaik bagi warga kota di sini yang dapat membantu untuk menyegarkan mata. Tarikan utama di sini adalah jambatan tergantung yang boleh dilalui sambil melihat hutan tropika di sekelilingnya.
14. A’Famosa Safari Wonderland, Melaka
Jika anda seorang pencinta haiwan, mari singgah A’Famosa Safari Wonderland yang terletak di dalam Resort A’Famosa. Pelbagai aktiviti bersama keluarga boleh dilakukan selain melihat haiwan-haiwan yang terdapat di zoo gaya safari yang luas ini.
Bagi mereka yang bercuti dengan keluarga dan anak-anak, anda wajib kunjungi zoo ini.
Baca juga: Berbaloi Baca! Orang Ini Dedah ‘Rahsia’ Bercuti Di Cameron Highlands, Yang Ramai Tersilap