Pernahkah faraj terasa gatal yang teruk? Mungkin juga lendir yang berbau? Kemungkinan besar ialah anda mengalami keputihan. Keputihan tidak mengenal usia dan status perkahwinan. Walaupun ramai mengadu mengalami keputihan ketika hamil, ramai juga wanita muda yang dijangkiti penyakit ini. Keputihan yang berlebihan bakal mengundang banyak masalah.
Topik kita pada hari ini adalah berkenaan keputihan dan penyebab keputihan itu berlaku. Tetapi sebelum itu, kita harus ketahui cara untuk membezakan apa yang normal dengan yang bermasalah.
Keadaan normal
Pada kebiasaannya, lendir faraj adalah jernih atau berwarna putih. Jika keputihan tidak berubah menjadi warna kekuningan atau kehijauan menandakan tiada jangkitan berlaku. Keputihan yang berlendir dan tidak berbeku adalah normal, tetapi apabila ia mula berbau hanyir, berbeku, terdapat keradangan atau kegatalan menandakan keputihan yang bermasalah.
Faktor utama penyebab keputihan berlaku adalah disebabkan bakteria yang berlebihan yang terdapat di dalam faraj. Pertumbuhan bakteria tersebut dikawal dan dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk tahap keasidan (pH) dan hormon-hormon. Sebarang perkara yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan jangkitan atau pertumbuhan pesat bakteria normal yang menyebabkan keputihan.
Penyebab keputihan
Antara penyebab keputihan yang dikenalpasti adalah seperti berikut:
- Kanser serviks atau kanser pangkal rahim
- Pengambilan antibiotik atau steroid
- Bakteria vaginosis, sejenis jangkitan bakteria yang biasanya berlaku kepada wanita mengandung atau wanita yang mempunyai beberapa pasangan
- Pil perancang keluarga
- Klamidia atau gonorea (penyakit kelamin)
- Diabetes
- Sabun wangi, losyen atau mandian buih
- Penyakit radang pelvik
- Trikomoniasis, sejenis jangkitan parasit yang kebiasaanya disebabkan oleh seks tanpa perlindungan
- Atrofi faraj, penipisan dan pengeringan dinding-dinding faraj sewaktu menopaus
- Jangkitan kulat
Ikut nasihat doktor
Seterusnya, anda perlu dapatkan nasihat doktor bagi mengenalpasti apakah punca sebenar penyebab keputihan tersebut dan apakah rawatan susulan bagi mengatasinya. Doktor anda akan bertanyakan pelbagai soalan untuk mengenalpasti penyebab keputihan termasuk soalan tentang pengambilan antibiotik, simptom-simptom menopaus, simptom-simptom diabetes atau sebarang perubahan di dalam tahap kesihatan atau gaya hidup anda.
Kemudian doktor tersebut akan melakukan pemeriksaan pelvik dengan menggunakan alat yang dipanggil speculum. Semasa pemeriksaan pelvik ini, sampel keputihan akan diambil untuk ujian. Dengan melihat sampel tersebut di bawah mikroskop, doktor akan dapat mengenalpasti penyebab keputihan tersebut dan mengesyorkan rawatan yang sesuai.
Rawatan keputihan di klinik dan hospital
Bagaimanakah cara mengatasi keputihan? Biasanya, setelah sudah dikenalpasti, jenis rawatan akan berbeza bergantung kepada diagnosis doktor mengenai penyebab keputihan itu tadi. Jika ianya adalah jangkitan, kebiasaannya ia akan dirawat dengan mengambil antibiotik. Samada memakan antibiotik atau menggunakan antibiotik di dalam bentuk krim atau gel.
Jika doktor mengesyaki anda dijangkiti bakteria, doktor mungkin memberi preskripsi untuk sejenis antibiotik yang dipanggil metronidazole. Manakala jika ia dikenalpasti sebagai penyakit kelamin, biasanya anda diberi suntikan antibiotik sebelum keputusan ujian di makmal boleh mengesahkannya. Ingat, jangan dapatkan rawatan sesuka hati tanpa merujuk pada yang pakar. Sebagai alternatif, untuk bacaan sahaja, dapatkan maklumat di hujung jari di portal Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ubat tanpa preskripsi
Jika anda mempunyai jangkitan kulat yang berulang dan anda kenal dengan simptom-simptom jangkitan kulat tersebut, anda boleh gunakan krim anti-kular yang boleh didapati tanpa sebarang preskripsi. Jika masih tidak dapat lihat sebarang perubahan, doktor boleh menukar rawatan berdasarkan pemeriksaan terkini.
Perubahan hormon
Bagi atrofi faraj pula, ia disebabkan perubahan hormon yang kebiasaannya berlaku sewaktu kehamilan, semasa mengambil pil perancang atau selepas menopaus. Jika anda sedang mengambil pil perancang kehamilan, ia dapat diatasi dengan menggunakan dos yang lebih kuat untuk mengatasi keputihan. Manakala jika anda menopaus pula, terapi penggantian hormon adalah rawatan yang sesuai.
Sekarang anda telah ketahui penyebab keputihan, bagaimana untuk mengenalpasinya dan rawatan yang sepatutnya. Diharapkan ilmu ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk hidup lebih sihat.