Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), difahamkan bahawa penduduk Selangor dijangka hidup paling lama.
Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2022-2024 menunjukkan Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh sama.
PENDUDUK SELANGOR DIJANGKA HIDUP LEBIH LAMA
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sebanyak tiga negeri mempunyai jangkaan hayat melebihi paras nasional pada 2024 iaitu Selangor, Labuan dan Kuala Lumpur.
“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran pada 2024 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.2 tahun), manakala Samarahan, Sarawak, tertinggi bagi 2023 (79.6 tahun) dan 2022 (79.5 tahun),” jelasnya.
Kuala Penyu yang terletak di Sabah pula mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh 2022-2024, di mana secara keseluruhannya sebanyak 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional.
Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki di Samarahan, Sarawak (79.6 tahun), manakala perempuan di Petaling (82.1 tahun).
Bagi tempoh 2014 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 tahun dengan lelaki meningkat 0.1 tahun manakala perempuan pula 0.4 tahun.
Pada tahun 2020 hingga 2022, jangkaan hayat ketika lahir menurun 0.9 tahun dengan lelaki menurun 1.0 tahun, manakala perempuan pula 0.8 tahun.
“Bagi tahun 2023 hingga 2024, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 tahun.Peningkatan ini disebabkan jumlah kematian pada tahun 2023 dan 2024 telah berkurangan berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Baca juga: Itinerari 5H4M Bercuti Di Labuan Bajo Versi Mesra Kanak-Kanak, Indah Tak Terkata!
Sumber: Kosmo Online