Ada yang kata, “budak belum tumbuh gigi jangan guna sikat rambut, nanti gigi anak jadi jarang.” Benarkah begitu? Gigi jarang pada anak kecil sering menimbulkan kerisauan ibu bapa.
Ada yang percaya mitos kononnya gigi akan jadi jarang kerana ibu menyikat rambut anak semasa bayi. Namun, menurut Doktor Pergigian, Dr. Iqbal Rosli, keadaan gigi susu yang kelihatan jarang adalah sesuatu yang normal dalam proses tumbesaran.
Baca juga: Nama Panjang Boleh Menyusahkan Anak, Ini 6 Kesan Yang Ramai Ibu Bapa Tak Sedar!
MITOS ANAK GIGI JARANG SEBAB RAMBUT DISIKAT MASA BAYI

Beliau berkongsi lagi, seorang ibu datang membuat pemeriksaan gigi. Selesai rawatan, dia meluahkan kebimbangan tentang gigi anaknya yang kelihatan jarang-jarang.
Katanya, gigi tumbuh seketul-seketul, nampak tidak cantik, lalu tertanya-tanya sama ada rawatan seperti braces boleh dilakukan untuk merapatkan gigi.
Dr. Iqbal menjelaskan, memang ada rawatan seperti braces untuk merapatkan gigi jarang. Jika hanya gigi depan yang jarang, veneer juga boleh dipertimbangkan.
Namun, semua itu bergantung pada umur dan keadaan gigi. Apabila beliau bertanya umur anak tersebut, rupa-rupanya baru 4 tahun.
Baca juga: Ibu Bimbang Anak Gesel Alat Sulit Pada Sofa, Rupanya Dalam Fasa Phallic. Sila Beri Perhatian!
KENAPA GIGI SUSU ANAK KELIHATAN JARANG?
1. Saiz gigi susu kecil
Gigi susu saiznya tidak berubah, sedangkan rahang anak terus membesar. Sebab itu bila anak makin besar, gigi susu nampak makin jarang.
2. Gigi susu hanya 20 batang
Apabila gigi kekal tumbuh nanti, jumlahnya sekurang-kurangnya 28 batang. Saiznya juga lebih besar. Ruang jarang antara gigi susu sebenarnya adalah persediaan untuk gigi kekal.
3. Umur sesuai untuk konsultasi ortodontik
Pakar mencadangkan pemeriksaan susunan gigi dibuat sekitar umur 7 tahun, ketika gigi geraham dan gigi kacip mula tumbuh menggantikan gigi susu.
4. Fasa tumbuh dan tanggal
Gigi anak kecil memang tidak kemas. Ada yang baru tumbuh, ada yang sedang tanggal. Itu proses biasa.
5. Fokus utama sekarang
Bukan susunan gigi, tapi penjagaan kebersihan gigi. Ajar anak gosok gigi dengan betul, elakkan kerosakan, dan lakukan pemeriksaan gigi berkala sejak gigi pertama tumbuh.
Kesimpulan
Menurut Dr. Iqbal, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang jika gigi susu anak nampak jarang. Itu tanda normal pertumbuhan rahang dan persediaan untuk gigi kekal yang lebih besar.
Paling penting, jagalah kebersihan gigi sejak kecil, biasakan anak dengan klinik gigi dan dapatkan nasihat doktor gigi bila sampai usia sesuai.
Baca juga: Hebat! Seawal 6 Bulan Bayi Sebenarnya Dah Pandai Tiru Gerakan & Mampu ‘Master’ 16 Jenis Isyarat
Sumber: Facebook Iqbal Rosli
FT Image: AI
