Musim cuti sekolah sudah bermula dan rata-rata ibu bapa mengambil peluang untuk berkhatan anak lelaki. Jadi, sekiranya ibu pening dan tidak ada idea mengenai menu pantang anak bersunat, boleh baca artikel ini sebagai rujukan.
Pemakanan perlu dijaga agar luka berkhatan tidak bentan dan cepat elok. Jangan ambil ringan perkara ini kerana ia boleh memberi mudarat seperti jangkitan kuman.
Baca juga: Doktor Kongsi 10 Tips Penjagaan Luka Berkhatan, Baru Tak Bentan & Cepat Elok
MENU PANTANG ANAK BERSUNAT IBU BOLEH MASAK
1. Ayam bakar kunyit
– Kisar kasar 2 labu bawang putih, bawang besar, 3 inci halia dan 3 inci kunyit.
– Tumiskan bahan tadi selama 10 minit bersama lada hitam, garam dan sedikit gula merah.
– Gaulkan pes dengan ayam dan bakar. Simpan baki pes di peti sejuk untuk kegunaan esok lusa.
– Dihidangkan bersama nasi putih, sayur dan buah-buahan.
2. Bayam goreng bawang putih
– Cincang 3 ulas bawang putih dan tumis bersama minyak kelapa.
– Masukkan kiub pati ayam dan bayam.
– Kacau danhidangkan bersama bubur.
3. Telur hancur bawang putih
– Tumis bawang putih dengan api kecil selama 5-7 minit.
– Masukkan telur dan sedikit tomato cincang.
– Tambahkan sedikit garam dan hidangkan bersama bubur nasi.
4. Keledek ala hashbrown
– Cincang kasar 1 biji bawang merah dan 1 keping kecil isi ayam.
– Campurkan bersama keledek yang telah dikukus dan dilenyek.
– Tambahkan sedikit garam dan serbuk lada putih. Adun sebati.
– Sudukan adunan ke dalam acuan muffin, buat leper.
– Semburkan sedikit minyak dan bakar selama 20 minit pada suhu 160°C
4. Nasi goreng kunyit
– Cincang 2 ulas bawang putih dan 1 inci kunyit hidup. Tumis menggunakan api kecil.
– Masukkan lada hitam, garam, kiub pati ayam, bayam, nasi dan telur.
– Kacau 5 minit dan hidangkan.
5. Keledek ayam dadu bakar
– Potong keledek madu dan tomato dalam bentuk dadu besar.
– Dadukan dada ayam dan gaul dengan lebihan pes kunyit yang sudah dibuat sebelum ini.
– Bakar dalam air-fryer atau oven sehingga masak (saya bakar 30 minit, suhu 160°c dalam air fryer.)
6. Ikan stim halia
– Tumis bawang putih, halia dan satu batang serai.
– Masukkan garam himalaya, perahan lemon, tomato cincang, sedikit gula kelapa dan air.
– Kelar ikan, tuangkan bahan tumis tadi dan kukus selama 20 minit.
– Sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih.
Jadi, ibu-ibu jangan pening. Sediakan makanan berpantang untuk anak sunat dengan menggunakan 6 idea di atas.
Baca juga: Jangan Sesekali Bawa Anak Kecil Pergi Melawat Pesakit Di Hospital, Bahaya!
Sumber: Facebook Ainini Zainal