Euforia Bola 2026
Famili

Dikejar Anjing Liar Hingga Motor Terbabas, Mekanik Koma Lebih Seminggu Kini Berisiko Alami Kecederaan Otak Kekal

anjing liar

Lambakan anjing liar di kawasan perumahan bukan sekadar mengganggu penduduk, malah boleh mengundang tragedi. Seorang mekanik kini berdepan risiko mengalami kecederaan otak kekal selepas motosikal yang ditungganginya terbabas, dipercayai akibat dikejar sekumpulan anjing liar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Baca juga: Tiga Beradik Perlukan Bantuan, JKM Rayu Waris Tampil Selepas 3 Tahun Di Bawah Perlindungan

DIKEJAR ANJING LIAR, PEMUDA KOMA LEBIH SEMINGGU

ANJING LIAR

Sekadar gambar hiasan – Gemini AI

Mangsa dikenali sebagai Muhamad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, sebelum ini berada dalam keadaan koma lebih seminggu akibat kecederaan serius di kepala.

Selepas menjalani pembedahan dan menerima rawatan di hospital, dia kini sudah dibenarkan pulang ke rumah. Namun, keadaannya masih memerlukan perhatian rapi kerana mengalami masalah ingatan dan perlu dipantau ahli keluarga setiap masa.

Kakaknya, Rozaini Che Ahmad berkata, doktor memaklumkan adiknya berkemungkinan mengalami kecederaan otak yang bersifat kekal dan tidak dapat pulih seperti sediakala.

“Alhamdulillah dia kini sudah boleh berjalan, bercakap dan makan sendiri, tetapi ingatannya masih terganggu. Kadang-kadang dia ingat, lupa dan ada masanya bercakap perkara yang merapu,” katanya.

Menurut Rozaini, kejadian berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi pada 13 Julai lalu ketika adiknya menunggang motosikal selepas keluar dari sebuah kedai.

Difahamkan, mangsa dipercayai dikejar beberapa ekor anjing liar sebelum hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan. Akibat kemalangan itu, dia mengalami pendarahan yang teruk di bahagian kepala sehingga memerlukan pembedahan kecemasan.

“Doktor beritahu pendarahan di kepala terlalu banyak dan peluangnya ketika itu hanyalah 50 peratus, namun keluarga kemudian diminta membuat keputusan segera untuk membenarkan pembedahan dilakukan. Selepas pembedahan, dia ditidurkan dan hanya sedar kira-kira seminggu kemudian,” jelasnya.

Emosi keluarga turut terjejas

ANJING LIAR

Sepanjang tempoh rawatan, keluarga bergilir-gilir menjaga Muhamad Shahrul di hospital. Ibunya yang sudah berusia juga sukar menahan kesedihan melihat keadaan anak bongsunya itu.

“Mak selalu menangis dan termenung di sisi katilnya. Kami adik-beradik bergilir-gilir menjaga dan membantu sepanjang dia dirawat. Bila perkara ini berlaku, bukan saja mental keluarga terjejas, malah kewangan dan kesihatan kami turut terkesan,” luahnya.

Rozaini turut berharap pihak berkaitan segera mengambil tindakan terhadap masalah lambakan anjing liar di kawasan perumahan tersebut supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Saya sendiri pernah dikejar empat ekor anjing ketika menunggang motosikal bersama anak kecil dan anak kawan yang baru berusia lima tahun. 

“Jiran kami juga ada yang pernah dikejar. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi mangsa lain,” ujarnya.

Walaupun masih berdepan proses pemulihan yang panjang, keluarga bersyukur kerana Muhamad Shahrul berjaya diselamatkan dan menunjukkan perkembangan positif.

Baca juga: Harga PERODUA Axia Turun Sehingga RM4,700! Kini Lebih Mampu Milik Untuk Rakyat Malaysia

Sumber: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×