Malang tidak berbau, seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas dipercayai tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di rumahnya di Taman Seri Putera, Nibong Tebal hari ini (2 Januari 2025).
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah dikatakan sedang bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya. Sedihnya..
BUDAK 6 TAHUN MAUT TERSEPIT MEJA LIPAT
Menurut laporan, difahamkan ketika kejadian berlaku, ibu serta adik-beradik mangsa yang lain berada di dalam rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu selepas tidak mendengar sebarang bunyi dari belakang rumah.
Namun selepas melihat berlakunya insiden tersebut, mereka cuba mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital. Meskipun sempat dibawa ke pusat rawatan dengan bantuan jiran, namun Allah nampaknya lebih menyayangi kanak-kanak ini. Adik Aqifah disahkan menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan daripada petugas kesihatan di Hospital Parit Buntar, Perak.
Difahamkan, polis menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan berhubung kematian mangsa sebelum bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.
Susulan itu, pasukan forensik dan pegawai penyiasat melakukan siasatan di rumah mangsa selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Polis sudah memulakan siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Prosedur autopsi juga bakal dilaksanakan hari ini di pusat perubatan yang sama.
INI BUKAN KEJADIAN PERTAMA BERKAITAN MEJA
Lebih mengejutkan apabila berdasarkan tinjauan ke beberapa berita lama, kejadian pilu serta mengejutkan seperti ini bukanlah kali pertama dilaporkan di Malaysia.
Hal ini kerana pada tahun 2010 dan 2017, insiden leher tersepit kaki meja juga pernah mengorbankan 2 orang kanak-kanak di Ipoh serta Tumpat.
*Diharapkan kejadian sebegini dapat dielakkan dan ibu bapa berhati-hati dengan alat mainan yang diberikan kepada anak-anak kecil.
Baca juga: PU Salman Kongsi 6 Langkah Amalan ‘Mahal’ Calon Peperiksaan Boleh Buat, Elak Lupa
Sumber: Sinar