Yatim piatu sekelip mata, itulah yang terjadi kepada dua beradik mangsa kemalangan tragis di di antara laluan Simpang Ampat ke Ayer Keroh iaitu di Kilometer 204.0 Lebuh Raya Utara Selatan baru-baru ini.
Dua beradik bernama Muhammad Uwais Al-Qarni, 7 tahun dan Nur Sofea Humaira, 4 tahun ini dilapor masih bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Baca juga: 10 Info Tragis & Menyayat Hati Nahas Bas Persiaran Langgar Tayar Lori Tercabut, Bayi Pun Maut…
NAHAS AYER KEROH, DUA BERADIK MASIH TAK TAHU MAK AYAH & ADIK BONGSU DAH TIADA
Apa yang meruntun hati ramai adalah kedua-dua beradik ini masih belum dimaklumkan tentang pemergiaan ibu bapa, Khairul Ikhwan Mazupi, 32 tahun bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 tahun anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2 tahun.
“Mereka tidak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah dan adiknya juga baru sahaja selesai pembedahan dan pastinya masih dalam kesakitan,” kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem yang menziarahi kanak-kanak tersebut.
Sementara itu menurut laporan, bapa Allahyarham Khairul Ikhwan iaitu Datuk Mazupi Abdul Rahman berjanji akan menggalas tanggungjawab menjaga cucu-cucunya yang kini yatim piatu.
“Arwah masih meninggalkan dua orang anak berumur empat dan tujuh tahun yang kini menerima rawatan di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka. Insya-ALLAH saya perlu ambil tanggungjawab sebab mereka cucu saya, besan pun meninggal juga,” ujarnya.
Pesara Polis DiRaja Malaysia itu sempat mengenang keperibadian Allahyarham sebagai anak yang taat dan tinggi budi pekerti selain suka membantu orang lain. Malah, dia masih terkejut dengan kehilangan anak, menantu, cucu dan besan kerana sebelum kejadian, arwah anaknya datang ke rumah untuk meminjam kenderaan MPV namun tidak sempat berjumpa.
LAMBAIAN TERAKHIR ANAK SAUDARA
Adik Allahyarham Khairul Ikhwan, Nur Aqilah Mazupi, 30, berkata majlis perjumpaan keluarga yang diatur abang dan kakak iparnya di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini merupakan kali terakhir beliau bertemu Allahyarham Muhammad Umar.
Kata Nur Aqilah, anak saudaranya yang berusia dua tahun teruja dapat bersama ibu saudara dan datuk nenek pada majlis perjumpaan keluarga itu dan tidak berhenti melambai selamat tinggal ketika mereka berlepas pulang di Bandar Baru Bangi.
“Dia melambai laju ketika mereka hendak beredar. Dia tidak berhenti melambai kepada saya sehinggalah kereta itu hilang daripada pandangan,” katanya.
Lebih memilukan, mereka sekeluarga juga baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ketiga-tiga cahaya mata, kira-kira seminggu lalu. Nuraqilah berkata, beliau tidak pernah menyangka perhimpunan di Melaka itu adalah kali terakhir bertemu keluarga abangnya.
Jenazah Khairul Ikhwan, Fadzlenna Ramli, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, dan Fauziah Jaafar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi Kampung Sungai Tangkas.
Imbas kembali, lima sekeluarga itu maut selepas bas persiaran dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tayar yang tercabut dari sebuah lori treler, namun terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan termasuk MPV yang dinaiki.
Kemalangan tragis itu juga turut mengorbankan pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.
*Semoga anak-anak Allahyarham kuat dan tabah serta cepat sembuh. Al-Fatihah buat mangsa-mangsa yang sudah tiada.
Baca juga: Kronologi Nahas Pelajar UiTM Dungun, Motor Terseret 60 Meter & Pelakunya Didakwa Kurang Siuman
Sumber: Majoriti, Sinar Plus