Penama KWSP sering menjadi punca salah faham dalam kalangan ahli keluarga apabila pencarum meninggal dunia. Ada kes suami memilih ibu sebagai penama, namun selepas wang diterima, ia dibahagikan sesama adik-beradik sehingga isteri dan anak-anak langsung tidak menerima bahagian.
Tanpa disedari, tindakan itu boleh menyebabkan hak waris terabai sekiranya pembahagian tidak dibuat mengikut ketetapan yang sepatutnya.
IBU JADI PENAMA KWSP , ISTERI & ANAK TAK DAPAT DUIT?

Kekeliruan ini boleh menyebabkan hak waris sebenar terabai, termasuk isteri dan anak-anak yang masih kecil. Bayangkan seorang suami meninggal dunia dan sebelum itu beliau menamakan ibunya sebagai penama KWSP.
Disebabkan ibu sudah uzur, urusan tuntutan diuruskan oleh adik-beradik si mati. Selepas wang diterima, ia dibahagikan sesama mereka dengan anggapan wang tersebut adalah milik ibu atau keluarga asal si mati.
Dalam keadaan ini, isteri dan anak-anak langsung tidak menerima sebarang bahagian. Jika perkara tersebut berlaku tanpa mengambil kira hak waris sebenar mengikut hukum yang berkuat kuasa, ia boleh menyebabkan harta yang sepatutnya menjadi hak waris tidak disalurkan kepada mereka.
Bagi ahli KWSP beragama Islam, penama lazimnya bertindak sebagai pentadbir atau wasi yang bertanggungjawab menerima wang tersebut sebelum mengagihkannya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Ini bermakna wang tersebut bukan semestinya menjadi hak mutlak penama untuk dibelanjakan atau dibahagikan mengikut kehendak sendiri.
Oleh itu, semua waris perlu memahami hak masing-masing sebelum sebarang pembahagian dibuat.

Hak isteri & anak-anak perlu dijaga
Dalam kebanyakan keadaan, isteri dan anak-anak merupakan antara waris yang mempunyai hak terhadap harta pusaka si mati.
Sekiranya wang peninggalan dibahagikan tanpa mengambil kira hak mereka, ia boleh menyebabkan berlaku pengambilan harta yang bukan hak sendiri.
Lebih membimbangkan jika terdapat anak-anak yang masih di bawah umur kerana hak mereka perlu dipelihara sehingga pembahagian dibuat mengikut saluran yang betul.
Bagi mengelakkan pertikaian selepas berlaku kematian, setiap pencarum KWSP disarankan menyemak semula penamaan yang dibuat dan memastikan waris memahami fungsi sebenar penama.
Ahli keluarga juga digalakkan mendapatkan penjelasan daripada pihak KWSP atau pakar dalam urusan faraid dan pentadbiran harta pusaka sebelum membuat sebarang pembahagian.
Baca juga: Jangan Terkejut Kalau Gambar Lama Muncul Di Facebook, Rupanya Ada ‘Setting’ Yang Ramai Tak Tutup!
