Tindakan buang kucing peliharaan di kawasan awam kembali mendapat perhatian selepas satu perkongsian mengenai nasib kucing terbiar di sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor tular dalam komuniti setempat.
Menerusi perkongsian oleh kumpulan komuniti Bandar Baru Bangi Community (BBBC) – Senja Merah, orang ramai diminta supaya menghentikan perbuatan membuang kucing di kawasan laman komuniti Seksyen 7, Surau Al Abrar dan kawasan sekitarnya.
Baca juga: Tragedi 2 Remaja Perempuan Maut Dalam Nahas Teluk Intan, Pemandu Kereta Positif Dadah
BUANG KUCING MERATA, JADI MANGSA ANJING LIAR

Menurut hantaran tersebut, kucing-kucing yang dibuang di lokasi berkenaan berdepan risiko diserang anjing liar yang banyak berkeliaran di kawasan tersebut.
Dalam perkongsian itu, penduduk mendakwa kejadian pembuangan kucing masih berlaku hampir setiap hari sehingga menyebabkan haiwan berkenaan menjadi mangsa.
Malah, beberapa gambar turut dikongsikan menunjukkan keadaan kucing-kucing yang dipercayai menjadi mangsa akibat tindakan manusia yang meninggalkan mereka tanpa penjagaan.
Penduduk turut menyeru pemilik haiwan supaya lebih bertanggungjawab sekiranya tidak lagi mampu menjaga kucing peliharaan.
Seru pemilik lebih bertanggungjawab

Menurut hantaran berkenaan, sekiranya seseorang memilih untuk membela kucing, haiwan tersebut perlu dijaga sebaiknya sehingga akhir hayat dan bukannya dibuang apabila menghadapi kesukaran.
Tindakan meninggalkan kucing di kawasan yang tidak selamat bukan sahaja mendedahkan haiwan itu kepada bahaya, malah boleh menyebabkan masalah kepada komuniti setempat.
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang meluahkan rasa sedih terhadap nasib kucing terbiar serta berharap lebih ramai masyarakat mempunyai kesedaran mengenai kebajikan haiwan.
Ramai berharap pemilik kucing mencari jalan lain seperti mendapatkan bantuan pihak tertentu atau mencari penjaga baharu sekiranya tidak lagi mampu memelihara haiwan tersebut.
Sumber: Facebook Senja Merah
