Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pemberian Vaksin Measles Rubella (MR) akan diteruskan sepanjang tahun 2026 bagi memberi perlindungan tambahan kepada kanak-kanak daripada jangkitan demam campak (measles) dan rubella.
Baca juga: Pelajar 16 Tahun & Bapa Dibelasah Rakan Di Hadapan Sekolah, Beberapa Individu Ditahan Polis
VAKSIN MEASLES RUBELLA PERCUMA SEHINGGA 31 DISEMBER 2026

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu bapa yang mempunyai anak layak disaran mendapatkan suntikan tersebut sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Menurut KKM, suntikan Imunisasi MR sepanjang tahun 2026 diberikan kepada kanak-kanak yang memenuhi syarat berikut:
– Belum pernah menerima suntikan MR dalam tempoh 4 Ogos 2025 hingga 1 Disember 2025.
– Berumur tidak melebihi tujuh tahun ketika menerima suntikan vaksin MR.
– Mendapatkan suntikan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026.
Cara mendapatkan suntikan Imunisasi MR
Ibu bapa boleh mendapatkan suntikan vaksin MR untuk anak melalui salah satu kaedah berikut:
- Janji temu menerusi aplikasi MySejahtera
- Janji temu di Klinik Kesihatan KKM
- Hadir secara walk-in ke Klinik Kesihatan KKM
Mengapa imunisasi MR penting?

Vaksin Measles Rubella berfungsi melindungi kanak-kanak daripada dua penyakit berjangkit iaitu demam campak (measles) dan rubella.
Demam campak merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit melalui titisan pernafasan apabila individu dijangkiti batuk atau bersin. Selain menyebabkan demam, ruam dan batuk, penyakit ini juga boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti:
- Radang paru-paru (pneumonia)
- Jangkitan otak (ensefalitis)
- Kerosakan otak kekal
- Kematian
Sementara itu, rubella pula biasanya menyebabkan gejala ringan kepada kanak-kanak. Namun, penyakit ini boleh mendatangkan risiko besar kepada wanita hamil kerana boleh menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang atau Sindrom Rubella Kongenital (Congenital Rubella Syndrome, CRS) pada bayi.
Bayi yang dilahirkan dengan CRS berisiko mengalami masalah seperti kecacatan jantung, kehilangan pendengaran, gangguan penglihatan dan kelewatan perkembangan.
Apa jadi jika anak tidak menerima vaksin MR?
Kanak-kanak yang tidak menerima vaksin MR mempunyai risiko lebih tinggi dijangkiti demam campak dan rubella apabila terdedah kepada individu yang dijangkiti.
Selain membahayakan diri sendiri, mereka juga berpotensi menyebarkan jangkitan kepada bayi yang masih belum layak menerima vaksin, warga emas serta individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Atas sebab itu, imunisasi bukan sahaja melindungi individu yang menerima vaksin, malah membantu mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity) bagi mengurangkan penularan penyakit dalam komuniti.
Sehubungan itu, ibu bapa yang mempunyai anak layak disaran mendapatkan suntikan vaksin MR sebelum tarikh akhir pada 31 Disember 2026 bagi memastikan anak mendapat perlindungan yang optimum daripada kedua-dua penyakit tersebut.
Baca juga: Lagi 3 Hari Nak Bertunang, Wanita Reda Majlis Bertukar Jadi Tahlil… “Semua Persiapan Sudah Siap”
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
