Famili

Mak Ayah, Jangan Main Handphone Sebelum Buat 7 Perkara Ini Dengan Anak

0
reads

“Ayah, jom main kereta ni. Hari tu ayah kata nak buatkan Aiman trek untuk kereta ni. Jomlah ayah…!”

Orang kata, ibu bapa cuma manusia biasa yang perlu bersosial. Bila nampak mereka main handphone, tak semestinya anak-anak terabai. Mungkin ada perkara penting seperti mesej dari tempat kerja, email dari klien, dan sebagainya.

Tapi, hakikatnya handphone ini dah menjadi semacam satu ‘pesaing’ yang paling hebat. Ia mengalihkan pandangan kita, mengganggu perhatian kita, dan menghalang kita daripada memfokus terhadap mereka yang berada di hadapan kita – terutamanya anak-anak kita sendiri. Bila mereka memanggil-manggil, kita pula yang cepat marah dan anggap mereka mengganggu.

Berbanding televisyen atau peranti lain, bahayanya handphone ini sebab ia sentiasa ada dengan kita. Bahkan, ia penuh pula dengan pelbagai jenis alerts – email, media sosial, alarm, apps, game, dan macam-macam lagi. Walaupun kita cuba mendisiplinkan diri, sukar untuk diakui bahawa kita sedikit pun tak terganggu dengan semua ini.

Mak Ayah, Jangan Main Handphone Sebelum Buat 7 Perkara Ini Dengan Anak

Bila sampai di rumah, jangan pegang handphone dulu. Sebaliknya, utamakan 7 perkara ini.

1. Peluk & Cium Anak

Berapa kali anda peluk anak setiap hari?Tak perlu tunggu nak berpisah atau sebab-sebab istimewa, peluklah anak anda sebanyak-banyaknya. Kajian menunjukkan anak-anak memerlukan sekurang-kurangnya 8-12 pelukan setiap hari bagi menggalakkan lagi perkembangan mental emosi mereka.

Pelukan bukan saja membuat mereka berasa tenang, tetapi ia juga dapat memberi manfaat kepada anda. Tanpa memerlukan sebarang perkataan, ia juga menjadi pengikat hubungan antara ibu bapa dan anak.

2. Makan Bersama

Masa makan mungkin dilihat sesuatu yang remeh, tetapi sebenarnya waktu makan ini kita dapat mengenal ragam masing-masing dengan lebih dekat. Ia juga waktu yang amat sesuai untuk ibu ayah berinteraksi dengan anak dan bertanyakan perkembangan mereka di sekolah.

Sesibuk manapun, seeloknya makanlah bersama keluarga di rumah kerana proses menyediakan makanan dan mengemas meja makan juga memberi peluang kepada anak-anak untuk turut sama membantu ibu bapa. Ini adalah salah satu cara untuk bonding secara spontan di samping mendisiplinkan seluruh ahli keluarga.

3. Berbual Dari Hati Ke Hati

Jika di meja makan anda ada berbual perkara yang kasual, waktu 5 minit ini pula diperuntukkan untuk anda berbual perkara yang lebih dekat dengan anak. Siapa tahu, mereka ingin meluahkan perasaan dan sedang berasa tertekan dalam hubungan dengan kawan atau cikgu.

Ada anak yang pandai berkongsi cerita, tapi ada juga anak yang lebih suka menyembunyikannya. Jadi, cubalah manfaatkan waktu terluang untuk perbualan secara one-to-one dengan anak, tak kiralah tentang apa-apa. Tentu anak anda amat menghargainya!

Foto Kredit : mojok.co

4. Bermain

“Bayangkan seharian tak nampak ibu dan ayah, dijemput pulang ketika matahari hampir terbenam dan kini tiba-tiba,2-3 jam selepas berjumpa sudah digesa-gesa anak itu untuk tidur. Sudahlah sejak berjumpa si ibu asyik ke hulu ke hilir membereskan hal diri dan rumah yang macam-macam, belum puas anak melepas rindu tiba-tiba sudah digesa tidur?

Bila anak ‘melawan’ tidur: masih mahu berlari-lari keliling rumah yang dirindui, masih mahu panjat-panjat di badan ibu atau menangis enggan ditidurkan, ibu tak faham dan mula ingat anak saja buat perangai. Fahamkah ibu emosi anak belum selesai? Fahamkan ibu rindu anak belum lerai? Berlari-lari,panjat memanjat, bergolek keliling tilam, main sembur-sembur air liur sendiri malah menangis adalah cara anak yang belum ‘selesai’ emosinya untuk melepas ‘stress’ atau me’rileks’kan diri sebelum tidur.” Begitulah ulasan panjang lebar seorang konsultan Baby Language tentang pentingnya anak-anak bermain dengan ibu ayah sebelum tidur.

Tahukah anda, bermain adalah begitu penting dalam kehidupan anak sehingga ia digariskan sebagai salah satu hak kemanusiaan kanak-kanak oleh United Nations High Comission (UN). Jika anak anda dah terlalu besar untuk bermain, lakukanlah sekurang-kurangnya 1 aktiviti bersama mereka.

Foto kredit: drsaraheaton.wordpress.com

5. Bacakan Buku Cerita

Selalu kita tengok filem-filem Barat, mereka akan bacakan buku cerita untuk anak sebelum tidur. Sebenarnya, ia adalah amalan yang baik dan patut dipraktikkan juga dalam budaya kita.

Cuba ubah tabiat memegang handphone sebelum tidur dengan membaca buku. Walaupun anda mulanya mungkin berasa kekok, tapi lama-kelamaan anda pasti akan nampak perubahannya dari segi kualiti tidur dan kesan hubungan yang luarbiasa bersama anak atau keluarga.

Foto Kredit: rebelcircus.com

6. Ucapkan ‘I Love You’

Ini antara perkara yang paling mudah, tapi paling selalu kita lupa. Walaupun hanya 3 perkataan ringkas, ia boleh meninggalkan kesan yang luarbiasa kepada anak.

Dek kerana leka melayan handphone, emosi anak semakin terabai. Tapi apakan daya, anak-anak tak tahu macam mana nak cakap. Ibu bapa pula anggap mereka buat ‘perangai’. Kasihan, bukan?

Sambil itu, ucapkanlah juga kata-kata semangat kepada mereka. Yakinkan mereka bahawa anda sayangkan mereka. Beritahu mereka yang anda selalu berasa bangga dengan mereka. Semua ini akan membina sifat positif dalam diri anak.

Foto kredit: http://www.huffingtonpost.co.uk/

7. Solat Jemaah

Bagi yang Muslim, bila dengar saja azan, tinggalkanlah handphone dan ajaklah anak solat berjemaah bersama, tak kiralah sama ada di surau atau di rumah. Inilah asas yang semakin dilupakan dalam rumah tangga kita.

Bagi kaum ibu, solatlah berdekatan mereka. Biar mereka ikut mana yang mampu. Awal-awal mungkin mereka banyak mengganggu, tapi lama-kelamaan, mereka inilah yang akan menjadi imam kita.

Bacaan yang ringkas pun cukup. Berdoa dalam bahasa Melayu pun dah cukup bagus. Mudah-mudahan dengan pendedahan awal, solat akan menjadi sesuatu yang lazim buat mereka.

Foto Kredit : tazkirah.net

Handphone Adalah ‘Pesaing’ Bagi Anak-anak

Walaupun anak masih kecil, mereka amat sensitif dan tahu bila masanya anda memberi perhatian kepada mereka atau sebaliknya.

Bukan nak jadi judgemental, malah tak dinafikan memang banyak kegunaan handphone zaman sekarang. Tapi kita sebagai ibu bapa kena sedar bahawa dunia kita adalah di alam realiti ini. Semua gerak-geri kita sentiasa diperhatikan oleh mata-mata kecil yang bergelar anak. Apa yang kita buat, mereka akan ikut.

Oleh itu, berpada-padalah apabila menggunakan handphone di hadapan mereka. Jangan jadikan ia keutamaan berbanding anak-anak anda. Sekurang-kurangnya, lakukanlah 7 perkara ini bersama anak sebelum menyentuh handphone di rumah ya!

Yang Popular

To Top