Asuh

4 Jenis Personaliti Anak Menurut Pakar. Anak Anda Yang Mana?

1.9K
SHARES

“Hmm… Tak faham betullah dengan Naim ni. Mahal sungguh senyumannya. Sedangkan tengok budak lain seronok sungguh bermain bersama di tadika. Normalkah kalau anak-anak kecil berperangai begini?”

Kadang-kadang kita sendiri sukar memahami personaliti anak. Bukanlah bertujuan untuk membandingkan dengan kanak-kanak lain, tetapi risau juga kalau dia mengalami sebarang masalah dari segi perkembangannya.

Apa Pentingnya Mengenal Personaliti Anak?

Walaupun kita sering mendengar bahawa ‘setiap anak adalah berbeza’, tetapi setiap ibu mesti akan berasa sedikit curiga apabila melihat si anak tidak menunjukkan ciri-ciri yang ‘normal’. Kadangkala ada anak yang suka menangis, suka mendiamkan diri, banyak berangan, atau ada juga yang terlampau aktif.

Menurut penulis buku keibubapaan paling laris dan popular berjudul ‘The Child Whisperer’, sepanjang penglibatannya dengan kanak-kanak selama lebih 20 tahun, beliau mendapati bahawa anak-anak akan mengekspresikan salah satu daripada 4 jenis personaliti yang bakal diterangkan di bawah. Personaliti anak ini dapat diperhatikan melalui kelakuan, pemikiran, perasaan mereka, dan juga ciri-ciri fizikal.

Oleh itu, dengan memahami personaliti anak, kita akan lebih terbuka dalam menerima sikapnya dan dapat mengatur strategi untuk mendidik mereka dari akar umbinya.

Mari lihat sama ada anak anda mempunyai personaliti jenis 1, 2, 3, atau 4.

Fahami 4 Jenis Personaliti Anak. Mana Satu Anak Anda?

Jenis 1: Ceria

cerai susu badan

Foto Kredit: themominmemd.com

  • Hubungan Dengan Alam: Sosial
  • Cara Pergerakan: Riang dan rawak
  • Keperluan Utama: Untuk memiliki ibu bapa yang menyeronokkan
  • Terkenal Dengan Sifat: Suka berkawan, cergas, periang, tidak mudah mengambil hati, gembira
  • Ada Yang Menganggapnya: Banyak cakap, sukar dipercayai, tidak tegas dalam keputusan
  • Punca Mengamuk (Atau ‘Tantrum’): Mungkin anak anda tidak suka dikawal ketat, terlalu lama bersendiri, atau tidak selesa dengan keadaan yang terlampau serius.
  • Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Buat kejutan untuk anak anda, jalinkan hubungan seperti kawan, dan ‘enjoy’ masa bersama mereka.

Anak-anak Jenis 1 mengekspresikan aliran tenaga yang paling tinggi, pantas pergerakannya, dan nampak bergembira dengan hidupnya. Mereka mempunyai keistimewaan semulajadi dalam memerhatikan keseronokan dari setiap sudut. Malah, semua benda boleh dijadikan permainan!

Mereka selalunya mempunyai pelbagai idea yang tidak putus-putus dan mereka amat menghargai sesuatu yang baru. Mereka juga tidak kekok untuk berjumpa dengan sesiapa.Jadi, apa kata daftarkan mereka ke sekolah tadika lebih awal kerana umumnya anak jenis ini memang suka dikeliling kawan-kawan.

Selalunya ibu bapa kepada anak jenis ini akan cepat kehausan tenaga dan keletihan kerana anak Jenis 1 perlu selalu ‘berhubungan’ dengan seseorang, walaupun semasa bermain. Walaubagaimanapun, cubalah mencari idea supaya mereka dapat menyalurkan tenaga melalui permainan yang menjana kreativiti mereka.

Jenis 2: Sensitif

cara bercakap dengan anak

Foto Kredit: eumom.ie

  • Hubungan Dengan Alam: Emosional
  • Cara Pergerakan: Lemah lembut
  • Keperluan Utama: Untuk memiliki ibu bapa dan keluarga yang saling menyayangi
  • Terkenal Dengan Sifat: Halus, baik hati, mengambil berat, dan berhati-hati
  • Ada Yang Menganggapnya: Pemalu, suka menangis, dan pengecut
  • Punca Mengamuk (Atau ‘Tantrum’): Mungkin anak anda merasakan pendapatnya tidak didengari, kurang perhatian, atau keadaan tidak berjalan mengikut perancangannya.
  • Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Berlemah-lembut dengan mereka, beri masa untuk relaks, dan cuba ambil masa untuk mendengar luahan perasaan anak.

Keistimewaan anak Jenis 2 ini adalah tenaganya yang mengalir seperti air, bergerak secara stabil dalam kehidupan. Mereka berkebolehan untuk memerhatikan keadaan sekeliling dengan penuh terperinci dan suka membuat perancangan. Personaliti anak ini juga memberikan kesan yang menenangkan buat mereka yang mendampinginya.

Mereka suka belajar dan bertanyakan soalan, tetapi kadangkala turut mempersoalkan kekurangan diri sendiri.

Ibu bapa yang memiliki anak jenis ini biasanya beranggapan bahawa anak mereka perlu menjadi lebih agresif dan sosial. Jika ibu bapa terlalu mendesak mereka untuk berkelakuan sedemikian, anak-anak berasa tidak selesa dan tidak yakin diri. Ini kerana mungkin mereka akan mempersoalkan apakah kesilapan lain lagi yang dilakukan oleh mereka.

Maka, hormatilah keperluan mereka untuk menyendiri dan berilah sokongan terhadap ‘perancangan’ yang mereka miliki. Kedua-dua sifat ini adalah penentu dalam kejayaan mereka.

Jenis 3: Lincah

superhero anak 1

Foto Kredit: coolprogeny.com

  • Hubungan Dengan Alam: Fizikal
  • Cara Pergerakan: Lincah, gigih
  • Keperluan Utama: Untuk menyahut cabaran dan pengalaman baru dengan sokongan ibu bapa
  • Terkenal Dengan Sifat: Kuat, aktif, tidak mudah putus asa, energetik
  • Ada Yang Menganggapnya: Suka mengarah, bising, riuh, suka memaksa
  • Punca Mengamuk (Atau ‘Tantrum’): Mungkin anak anda terasa pergerakannya terlalu disekat, kekurangan ruang untuk menyalurkan tenaga fizikalnya, dan asyik mendengar perkataan “Tidak” atau “Jangan”.
  • Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Beri galakan terhadap aktiviti fizikal mereka, biarkan mereka bergerak lincah dan meneroka persekitaran selagi tidak memudaratkan.

Anak-anak ini mempunyai jenis tenaga yang dinamik dan biasanya mudah beradaptasi. Keistimewaan mereka adalah sifat keazaman yang utuh dan biasanya aura ini dapat mempengaruhi mereka yang rapat dengannya untuk turut mencapai kejayaan.

Kalau boleh, anak-anak Jenis 3 lebih suka meneroka alam ini secara fizikal dan mereka mahu mencuba segalanya! Mereka amat sesuai diangkat sebagai pemimpin kerana mereka sangat mementingkan keputusan yang baik dalam segala hal.

Ibu bapa bagi anak jenis ini mungkin menganggap bahawa anak mereka ini bersikap hiperaktif dan perlu belajar untuk bertenang dan mengawal tingkah laku mereka. Namun hakikatnya, personaliti anak ini dipenuhi dengan tenaga yang perlu dialirkan ke arah yang betul. Jika tidak, anak akan menjadi murung dan merosakkan semangat mereka.

Biasakan berkunjung ke tempat-tempat riadah seperti taman permainan dan padang supaya mereka dapat menghabiskan tenaga secara positif.

Jenis 4: Serius

biarkan anak bermain sendiri 2

Jangan diganggu jika anak sedang ‘berfikir’ atau berimaginasi. / Foto Kredit: haikudeck.com

  • Hubungan Dengan Alam: Intelektual
  • Cara Pergerakan: Tepat dan tidak berselindung
  • Keperluan Utama: Untuk memiliki ibu bapa dan ahli keluarga yang saling menghormati
  • Terkenal Dengan Sifat: Efisyen, bertanggungjawab, analitikal, tersusun rapi
  • Ada Yang Menganggapnya: Suka mengkritik dan menilai seseorang, berlagak pandai
  • Punca Mengamuk (Atau ‘Tantrum’): Mungkin anak anda tidak suka diperlakukan seperti anak kecil, dimalukan dalam sesuatu hal, dan memerlukan masa untuk bersendirian dan fokus.
  • Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Hormati pendirian mereka, beri sokongan terhadap minat mereka, dan dengarkan pendapat atau idea mereka dengan teliti.

Personaliti anak yang satu ini mencerminkan jenis tenaga yang tersimpan rapi, tetapi reflektif. Keistimewaan mereka adalah sikap teliti yang menjadikan mereka dapat melihat secara logik. Sehinggakan, mungkin ada yang merasakan bahawa anak-anak ini terlalu matang berbanding usia mereka.

Anak-anak ini juga biasanya tidak begitu sosial kerana mereka tidak nampak sebarang keperluan terhadapnya, melainkan pada masa-masa tertentu. Namun anda tidak perlu risau kerana anak Jenis 4 ini biasanya mempunyai hubungan yang mendalam dengan beberapa orang yang mereka percayai.

Ibu bapa kepada anak-anak jenis ini biasanya beranggapan bahawa anak mereka tidak menikmati zaman kanak-kanak secukupnya kerana mereka kurang bermain dan lebih suka menyendiri. Tetapi sebenarnya, itulah yang diperlukan oleh mereka untuk membina jati diri. Dengan membenarkan mereka mempunyai ruang untuk diri sendiri, anak-anak akan lebih yakin untuk mencari keseimbangan dalam kehidupan harian mereka.

Setiap Personaliti Anak Punya Potensi Untuk Berjaya

kenali personaliti anak

Foto Kredit: pqs.pe

Kita harus percaya bahawa setiap anak mempunyai keistimewaan dan masing-masing mempunyai ruang untuk berjaya di dunia ini.

Oleh itu, kita sebagai ibu bapa perlulah sentiasa memberi sokongan walaupun mereka mungkin tidak mengikut jejak langkah kita dari segi karakter, hobi, minat, dan kecenderungan.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×