“Setiap hari kita baca surah al Fatihah, maknanya pun kita dah hafal. Apa kelebihan surah al Fatihah ni ya?”
Setiap umat Islam tentu dah hafal surah al Fatihah. Surah al-Fatihah merupakan salah satu surah yang amat penting yang kita baca sekurang-kurangnya 17 kali setiap hari, iaitu di dalam setiap rakaat solat 5 waktu.
Terletak di halaman pertama al-Quran, surah al-Fatihah ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan membacanya merupakan salah satu daripada rukun solat.
Pernahkah kita terfikir apakah rahsia atau kelebihan surah al Fatihah yang kita baca hari demi hari ini?
Jom kita singkap keagungan Surah al Fatihah dengan lebih mendalam lagi.
7 Kelebihan Surah Al Fatihah Yang Kita Baca Setiap Hari
Berikut adalah antara kelebihan surah al Fatihah yang wajar kita ambil tahu.
1. Surah Pertama Yang Diturunkan Secara Lengkap
Mungkin ramai antara kita yang tahu bahawa wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW adalah ayat 1-6 surah al-Alaq.
Begitu juga dengan beberapa lagi keratan ayat yang menyusulinya iaitu daripada surah al Muzammil, al Muddathir dan lain-lain.
Namun mungkin tak ramai yang mengetahui bahawa surah al Fatihah adalah surah yang pertama diturunkan secara lengkap.
Maka disebabkan itulah ianya antara keistimewaan surah al Fatihah yang membezakannya dengan surah-surah lain dalam al Quran.
2. Surah Pembuka Al Quran Dan Solat
Kita semua tahu di mana kedudukan surah ini di dalam al Quran.
Ya, di mukasurat yang paling awal!
Surah ini dinamakan dengan al-Fatihah kerana surah ini merupakan surah pembuka bagi al-Quran.
Ia turut dinamakan dengan al-Fatihah kerana surah ini juga menjadi pembukaan bacaan dalam solat dan menjadi rukun dalam solat.
[Baca juga: Hukum Membaca Al Quran Ketika Haid & Memegang Tafsir Dalam Keadaan Berhadas. Ini Wanita Perlu Tahu]
3. Surah Yang Paling Agung Dalam Al Quran
Selain menjadi surah permulaan, surah al-Fatihah turut dianggap sebagai wahyu al-Quran yang terbesar.
Ia adalah berdasarkan sebuah hadith yang menyatakan seperti berikut:
“Ketahuilah aku ingin mengajarmu satu surah yang sangat agung dalam al-Quran sebelum aku keluar masjid. Lalu Nabi SAW pergi supaya dia boleh keluar daripada masjid.
Aku mengingatkan baginda tentang apa yang ingin disebutkan, lalu Baginda SAW bersabda, surah ini ialah al-Sab‘ al-Mathani [tujuh ayat yang penuh dengan pujian] dan merupakan surah al-Quran yang teragung yang pernah diberikan kepadaku.”
(Riwayat Al Bukhari)
4. Surah Al Fatihah Sebagai Penawar / Penyembuh Penyakit
Menurut Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menerusi AL-KAFI #1024, surah al Fatihah adalah antara ayat al Quran yang digunakan sebagai penawar, syifa, ruqyah atau penyembuh.
Imam al-Nawawi berkata:
Sunat membaca kepada orang yang sakit dengan al-Fatihah berdasarkan hadith Nabi SAW:
وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ؟
Maksudnya: Tidakkah kamu ketahui bahawa surah Fatihah bersifat ruqyah.
(Riwayat al-Bukhari (5736) dan Muslim (2201))
Kelebihan surah al-Fatihah sebagai ruqyah atau penyembuh juga dapat dirujuk kepada peristiwa bagaimana seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Sa’id al-Khudri R.A yang telah menjampi seorang ketua kabilah yang terkena sengatan binatang berbisa.
Beliau membaca al-Fatihah untuk merawat dan dengan izin Allah SWT, ketua kabilah itu sembuh seperti sediakala*.
*Hadith Riwayat Muslim (5863)
5. Surah Yang Ekslusif, Diturunkan Hanya Untuk Nabi SAW
Menurut Ustaz Don Daniyal, surah al Fatihah adalah satu surah yang diturunkan secara ekslusif untuk Nabi Muhammad SAW sahaja dan tidak pernah diturunkan surah yang seumpamanya melalui kitab Taurat, Injil dan Zabur.
Maksud: Abu Hurayrah dan Ka ‘ab RA berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Tidak pernah Allah SWT menurunkan dalam Taurat atau Injil seperti Umm al-Quran, iaitu surah yang mempunyai tujuh ayat yang bersifat al-Mathani dan surah ini terbahagi antara-Ku dan hambaku dua bahagian, dan bagi hamba-Ku yang separuh itu apa yang mereka pinta.
(Riwayat Al-Tirmidhi, al-Nasa’i, dan Ahmad)
Ciri surah al Fatihah itu sendiri juga amat istimewa dan yang tidak pernah ada surah yang seumpamanya sama dalam al-Quran itu sendiri.
6. Surah Yang Menjadi Rukun Solat
Berbeza dengan surah-surah lain dalam al Quran, surah al-Fatihah merupakan satu-satunya surah yang menjadi rukun bacaan dalam solat.
Ini bermaksud, tanpa bacaan surah ini, maka solat seseorang tidak sah.
Hadith Muslim ini membuktikan bahawa Allah SWT sangat prihatin terhadap pembacaan surah al-Fatihah hamba-Nya yang sedang solat.
Setiap ayat dibaca oleh hamba-Nya dijawab oleh Allah SWT sehinggalah ketika hamba-Nya sampai ayat untuk meminta hidayah, Allah SWT sudah memperkenankan doa dan permintaan hamba-Nya tersebut*.
(*Hadith Riwayat Muslim)
7. Surah Yang Diberi Banyak Gelaran Kerana Keistimewaannya
Disebabkan pelbagai keistimewaan surah al Fatihah ini, ia diberi banyak gelaran dan mempunyai lebih daripada satu nama, antaranya:
- Ummul Kitab – bermaksud ibu / induk al-Quran
- al-Sab’al-Mathani – bermaksud 7 ayat yang sentiasa diulang-ulang
- Fatihah – bermaksud pembuka al Quran
- as Syifa – bermaksud penawar atau penyembuh
- ar Ruqyah – bermaksud doa
- al Hamd – bermaksud puji-pujian
Kesimpulan
Surah al Fatihah menjadi aspek terpenting untuk tujuan ibadah, rawatan, perlindungan, dan mendapat keberkatan; di mana terdapat zikir dan tahmid yang terbaik buat manusia; pengajaran Allah SWT kepada para hamba adab berdoa dan meminta pertolongan.
Daripada kelebihan al Fatihah yang disenaraikan di atas, wajarlah kita sebagai Muslim untuk menghayati kehebatan surah al-Fatihah dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
[Baca juga : 5 Kelebihan Surah Al-Kahfi & Kenapa Kita Membacanya Setiap Jumaat]