Nur

5 Kelebihan Surah Al-Kahfi & Kenapa Kita Membacanya Setiap Jumaat

402
SHARES

Surah Al-Kahfi diturunkan di Makkah (kecuali ayat 28, 83 dan 101 yang diturunkan di Madinah) dan merupakan salah satu dari lima surah Mekah yang dimulai dengan “Alhamdu lilah” (Segala puji bagi Allah).

Surah ini mempunyai 110 ayat, dan namanya diambil dari ayat ke-9 apabila disebut tentang orang orang yang berada di dalam gua (Kahfi).

Mungkin ramai yang sedia maklum bahawa surah al-Kahfi sangat digalakkan untuk dibaca pada setiap hari Jumaat.

Tapi tahukah kita apakah kelebihan surah Al-Kahfi yang sering diulang-ulang ini?

Foto Kredit : furkannesli.com

5 Kelebihan Surah Al-Kahfi

1. Dipancarkan Cahaya Untuknya Antara 2 Jumaat

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA:

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”

(HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi)

Dalam sebuah lagi hadis, dari Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya: Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.

(Sunan Ad-Darimi: 3273)

2. Terselamat Dari Fitnah Dajjal

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.

Hadith riwayat Muslim: 1342

3. Turunnya Ketenangan Dan Rahmat Yang Disertai Dengan Para Malaikat

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya,

“Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”,

Baginda pun bersabda,

“Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Qur’an”.

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Menceritakan Realiti Kehidupan Sebenar

Menurut petikan buku Tafsir dan Tadabbur Surah Al-Kahfi tulisan Datuk Dr Haji Zahazan Mohamed, surah ini bukan sahaja menceritakan realiti kehidupan sebenar, tetapi membuktikan bahawa setiap yang dicatat dalam al-Quran itu bukanlah suatu kebetulan sebaliknya menjelaskan lagi setiap kebenaran.

Jika diteliti, surah ini mempunyai satu tema iaitu pertembungan antara iman dengan keduniaan.

5. Iktibar Untuk Menghadapi Ujian & Fitnah Akhir Zaman

Secara ringkasnya, terdapat 4 kisah yang dsebutkan melalui surah Al-Kahfi iaitu:

i) Kisah penghuni gua – Mengisahkan tentang sekumpulan pemuda (Ashabul Kahfi) yang diuji keimanan sehingga berlindung dalam gua. Kisah ini menuntut kita agar bersahabat dengan orang soleh dan saling membimbing antara satu sama lain dalam memelihara akidah serta iman kepada Allah.

ii) Kisah 2 pemilik kebun – Mengisahkan tentang ujian dan fitnah harta benda yang menimpa mereka. Ia mengingatkan kita kepada kehidupan dunia yang akan musnah dan hari akhirat yang kekal selamanya.

iii) Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir – Mengisahkan tentang ujian serta fitnah ilmu. Ia mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dan rendah diri walaupun dikurniakan ilmu yang tinggi.

iv) Kisah Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj – Mengisahkan tentang Zulqarnain yang berhadapan ujian dan fitnah berkaitan kuasa. Ia mengingatkan kita kepentingan sikap tawaduk dan mengakui kekuasaan hanyalah daripada Allah.

Setiap kisah ini mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar untuk kita semua.

Benarkah Surah Al-Kahfi Dianjurkan Untuk Dibaca Setiap Jumaat?

Berdasarkan sebuah artikel oleh Ust Abdul Rahman Iskandar melalui Majlis Ulama ISMA (MUIS), sememangnya terdapat hadis yang mensyariatkan membaca surah Al-Kahfi pada malam dan siang hari Jumaat.

Semua hadis berikut adalah HADIS SAHIH dan hadis tersebut juga menyatakan kelebihan membacanya pada hari Jumaat secara spesifik.

[1] Dari Abu Said Al-Khudri ra, dari Nabi saw bersabda :

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

[Sunan Ad-Darimi 3273. An-Nasaei dan Al-Hakim]

[2] Dalam riwayat lain dari Abu Sa’id Al-Khudri ra :

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”

[HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘ Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi].

[3] Dari Ibnu Umar ra berkata : Rasulullah saw bersabda ;

“Siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan menerangkan kelak pada hari kiamat dan diampuni dosanya antara dua Jumaat.”

[Al-Mundzir berkata : hadis ini diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawih dalam tafsirnya dengan Isnad yang tidak cacat].

(Dari kitab at-Targhib Wa al-Tarhib 1/298)

Kesimpulan

Ternyata ada banyak kelebihan surah Al-Kahfi yang disampaikan melalui mesej yang amat berguna kepada manusia untuk dijadikan panduan dan peringatan.

Disebabkan itu, umat Islam ditanjurkan untuk mengamalkan bacaan surah ini pada setiap hari Jumaat, sepertimana yang dinyatakan dalam hadis sahih.

Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada surah ini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×