Asuh

5 Sebab Anak Anda Tak Bosan Ulang Kartun Yang Sama Berjuta Kali

1.1K
SHARES
video untuk anak

“Wafiy ni, asyik tengok Upin Ipin setiap hari. Tak bosan ke? Ulang episod yang sama pula tu. Si kakak pulak asyik tengok Frozen. Apa yang seronok sangat entahlah… Sampai kita pulak yang naik jemu.”

Anak kecil memang suka melakukan aktiviti yang sama berulang kali. Salah satunya yang ibu bapa mesti perasan adalah ketika tengok TV atau video.

Boleh dikatakan setiap anak kecil tentu ada rancangan atau lagu tertentu yang mereka suka kita pasang berulang kali. Ada yang begitu obses sampai mereka boleh hafal sepatah-sepatah skrip atau liriknya. Kita pun tertanya-tanya bilalah dia nak bosan dengan rancangan tu. Walaupun kita tunjuk cerita lain, mereka tetap tak peduli dan tak begitu berminat menontonnya.

5 Sebab Anak Kecil Suka Tonton Cerita Yang Sama Berulang Kali

1. Mereka Belajar Melalui Pengulangan

Anak kecil memang sukakan proses pengulangan. Sebenarnya, ia adalah cara terbaik untuk mereka mempelajari sesuatu dan memahirinya.

Apabila anak kecil mengulang tonton sesuatu video atau rancangan, mereka akan memahaminya dengan lebih baik tanpa mereka sedari. Mungkin ada bahagian tertentu yang ingin mereka tiru seperti percakapan, nyanyian, pergerakan, atau tarian. Dengan mengulangnya, mereka akan berasa seronok kerana mampu mengikutinya.

Foto Kredit: imujer.com

2. Mereka Nak Praktikkan Semula Apa Yang Dipelajari

Bila dah mampu mengikut apa yang dipelajari, contohnya lagu dalam video, mereka akan berasa lebih teruja untuk menontonnya lagi. Samalah macam kita bila dah hafal lirik sesebuah lagu, bukan main excited bila lagu yang kita hafal dimainkan di radio!

Bagi anak kecil, keterujaan mereka juga tidak sekadar berhenti di situ. Mereka menjadi lebih konfiden kerana berjaya menghafal lagu, meniru perbuatan atau gaya dalam cerita yang ditonton.

Selain itu, ia juga mengajar anak untuk memahami bahawa sesuatu perkara tidak mustahil untuk dipelajari dengan pengulangan – iaitu praktis demi praktis.

Foto Kredit: Getty Images

3. Mereka Suka Meneka Apa Yang Bakal Berlaku

Selalunya anak anda akan ‘mengumumkan’ apa yang bakal berlaku dalam cerita tersebut kepada anda atau sesiapa yang berada di sekelilingnya. Mungkin mereka akan menyuruh anda melihat scene kegemaran mereka berulang kali.

Menurut BabyCenter, membuat tekaan yang tepat merupakan satu kepuasan bagi anak-anak kecil. Mereka berasa in control dan mampu mengawal keadaan dengan meneka apa yang bakal berlaku, walaupun hanya dalam sebuah cerita kartun.

Secara tidak langsung, tindakan ini juga mengajar mereka kebolehan memikirkan sebab-akibat dengan mengagak apa yang bakal berlaku apabila melakukan sesuatu perkara.

kartun anak

Foto Kredit: m.edziecko.pl

4. Mereka Nak Fahamkan Cerita Dengan Lebih Mendalam

Sebenarnya, sebuah cerita dalam video atau TV merupakan kombinasi pelbagai perkara seperti karakter, emosi, reaksi, jalan cerita, dan sebagainya. Semua ini berlaku dalam masa yang sama dan ia memerlukan pemahaman tertentu untuk menilai semua perkara tersebut.

Bagi anak kecil, setiap kali menontonnya mereka akan melihat perincian yang tidak diperhatikan sebelumnya. Ini membantu mereka untuk menonton cerita tersebut dengan perspektif yang baru. Sebab itulah mereka tak berasa bosan dan tetap mahu mengulangnya setiap hari.

Foto Kredit: Getty Images

5. Mereka Belum Memahami Konsep Masa Seperti Dewasa

Menurut ScienceABC, ada juga beberapa hipotesis dari sudut saintifik di mana pakar berpendapat bahawa anak-anak kecil masih belum memiliki kesedaran masa atau sense of time seperti seorang dewasa.

Maka, mereka seolah-olah belum mempunyai memori jangka masa panjang yang membuat mereka merasakan “Oh, aku dah tengok dah cerita ni. Banyak lagi benda boleh buat, tak naklah tengok lagi.” 

Jadi, ini menjadikan mereka tetap teruja menonton kartun yang sama walaupun ia adalah kali ke-159 menontonnya!

Foto Kredit: momjunction.com

Yang Penting, Perlu Hadkan ‘Screen Time’

Sekarang anda dah tahu banyak kelebihan yang anak anda perolehi daripada mengulang cerita yang sama setiap hari. Jadi, janganlah stres sangat bila mereka asyik tengok episod Boboiboy yang sama atau ulang lagu Baby Shark 10 kali setiap hari. Lagipun, fasa ‘obsesi’ ini biasanya hanyalah sementara dan anak anda bakal beralih kepada perkara lain dalam sedikit masa lagi.

Yang penting, ibu bapa perlu juga mesti mengawal waktu anak-anak menonton TV atau gajet. Tengok lama sangat pun tak elok juga, kan?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×