Asuh

5 Sebab Anak Anda Obses Dengan ‘Surprise Eggs’, Walaupun Mereka Tak Suka Apa Di Dalamnya

2.7K
SHARES

“Kalau pergi kedai asyik nak beli ‘telur’ je. Sampai tengok Youtube pun ulang video ‘surprise eggs’ tak habis-habis. Apa yang syok sangat dengan benda ni?”

Anda bukan keseorangan. Ramai ibu bapa dah ‘bergelut’ dengan masalah ini sejak sekian lama. ‘Telur’ yang mengandungi permainan atau coklat ini sangat digemari oleh kanak-kanak.

Malah, melalui media sosial juga video ‘unboxing’ atau membuka ‘surprise eggs’ menjadi viral di kalangan kanak-kanak sehingga ia berjaya mencatat sejarah sebagai salah satu video yang paling banyak views di dunia.

Pernahkah anda terfikir kenapa anak anda begitu obses dengan ‘telur’ ini sehingga ada sebahagiannya yang ketagih dan sukar membuang tabiat ini?

5 Sebab Anak Anda Obses Sangat Dengan ‘Surprise Eggs’

Selain sebab logik, pakar psikologi pernah membincangkan antara sebab mengapa anak kecil mudah tertarik dan seolah-olah ‘dipukau’ dengan ‘surprise eggs’ ini.

1. Memacu Perasaan Ingin Tahu

Pertama sekali, secara logiknya kita pun tentu boleh mengagak bahawa si kecil ini begitu tertarik dengan warna-warna yang cerah, bunyinya apabila digoncang, serta misteri yang terkandung di dalamnya.

Ia bukanlah kerana mereka minat sangat dengan objek yang terdapat di dalamnya, tetapi rasa ingin tahu itu yang membuatkan mereka begitu terdorong untuk memilikinya dan membukanya.

Foto Kredit: dailymotion.com

2. Ia Seolah-olah Memberi ‘Hadiah’ Kepada Si Kecil

Perasaan membuka ‘telur’ itu seolah-olah memberi mereka kuasa untuk berbuat sesuatu yang mengujakan. Sifat ini adalah normal bukan saja bagi kanak-kanak, tetapi juga bagi orang dewasa.

Kalau kita dapat hadiah atau bungkusan pun, mesti rasa tak sabar nak tahu apa yang di dalamnya, bukan?

http://www.thetruecare.com/

3. Kepuasan Serta-Merta

Tidak seperti permainan lain, ia dapat memberikan kepuasan serta-merta kepada anak kecil tanpa memerlukan sebarang usaha seperti membina blok, mewarna, atau melukis.

Proses membukanya juga mudah dilakukan dan kebanyakan anak kecil dapat memahaminya dalam masa yang singkat.

cara mendidik anak

Foto Kredit: momtastic.com

4. Anak Kecil Suka Mengulang Perkara Sama

Tabiat anak kecil memang suka mengulang benda yang sama. Mereka sukakan familiarity dan sesuatu yang dekat dengan mereka.

Ini juga menjadi punca bagaimana mereka selalunya mempunyai perkara tertentu yang amat disukai secara ekstrem; contohnya ada yang minat dinosaur, sampaikan semua barang termasuk baju, beg sekolah, alas katil nak ada gambar dinosaur. Begitu jugalah bagi mereka yang minat kereta, make-up, atau apa-apa karakter kartun tertentu.

Foto Kredit: newhdwallpaper.com

5. Dipengaruhi Oleh Video Yang Ditonton

Dalam hal berkaitan video membuka ‘surprise eggs’ di laman Youtube, Psychology Today mengibaratkannya seperti seorang dewasa yang suka menonton rancangan travel, tapi mereka tidaklah merancang untuk ke mana-mana. Atau seseorang yang suka menonton rancangan masakan, tetapi tetap memakan makanan segera di rumah.

Mereka seolah-olah turut berkongsi keseronokan apabila dapat melihat orang lain melakukan perkara yang mereka minati. Bila dah asyik ditonton, dah tentu macam-macam gambaran hadiah menarik yang mereka fikirkan dalam ‘telur’ tersebut. Kalau kita melarang, kemungkinan besarlah mereka akan mengamuk sebab tak dapat apa yang diidamkannya.

Foto Kredit: youtube.com

Biasanya Fasa Ini Sementara Saja

Normallah bagi seorang kanak-kanak meminati sesuatu hadiah atau permainan misteri yang dibungkus elok. Ia mengambil masa untuk mereka akan faham bahawa nilai permainan yang berada di dalamnya berbaloi atau tidak dengan wang yang dibelanjakan.

Cuba terangkan dengan baik dan kawal obsesi mereka secara berperingkat. Bila dah faham nanti, biasanya mereka akan beralih kepada perkara lain pula. Jadi, janganlah risau sangat ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×