Bagi yang pertama kali bergelar surirumah, anda tentu akan merasakan bagaimana kehidupan anda boleh berubah 360 darjah. Ada masanya ia boleh buat kita amat bersyukur, kadangkala letih, stres, sedih, dan sebagainya.
Selain itu, susah juga nak ‘tutup mulut’ mereka yang suka mengecam surirumah. Pada awalnya mungkin ramai yang terasa hati bila dengar ayat-ayat di bawah ini. Tapi lama-lama, mesti dah lali dan penat nak dengar lagi.
10 Ayat ‘Annoying’ Yang Surirumah Penat Nak Dengar
1. Bertuahnya kau!
Alhamdulillah, umumnya memang ramai surirumah yang bersyukur dapat jadi surirumah.
Tapi bukan semuanya jadi surirumah atas pilihan masing-masing. Ada yang terpaksa korbankan Degree, Master, PhD, dan gaji yang berkepuk-kepuk semata-mata terpaksa ikut suami mereka, tak dapat orang cari orang untuk jaga anak mereka, atau ada masalah lain yang kita tak tahu.
Jadi, jangan cepat buat andaian kalau kita tak tahu apa-apa tentang kehidupan mereka.
2. Kalau suami aku kaya, aku pun nak berhenti kerja.
Bagaimana definisi ‘kaya’ yang anda maksudkan? Tak tahu sama statement ini satu bentuk sindiran atau sebaliknya. Yang penting, seorang wanita bukannya buat keputusan untuk menjadi surirumah disebabkan suami mereka dah ‘kaya’.
Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk menjadi surirumah. Ramai yang rasa bersalah sebab tak mampu tolong kewangan suami. Kadang-kadang terpaksa ‘ikat perut’ dan berjimat-cermat sebelum keadaan betul-betul stabil.
3. Tak bosan ke duduk rumah sepanjang hari?
Cuba kalau kita tanya “Tak bosan ke pergi kerja hari-hari?” Apa yang dijawab? Takkan nak cakap bosan kan, sebab dah memang tanggungjawab kita untuk mencari rezeki dan menyara keluarga. Malah, jadi surirumah ini memang tak ada cuti. 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
Kerja rumah tak pernah habis dan rasanya memang tak cukup masa untuk rasa bosan setiap hari. Bila ada masa lebih, kalau boleh nak berehat, 10 minit pun jadilah…
4. Bila nak kerja semula? Sayanglah sebab ada degree…
Sejujurnya, anda memang seorang yang prihatin. Tapi kami sendiri tak tahu nak menjawab dengan tepat. Paling cliche bolehlah jawab, “Tengoklah pada keadaan. Kalau ada rezeki, adalah.”
Tentang degree tu, jangan risau sebab hutang PTPTN kami masih belum kena blacklist. Memang dilema nak pilih antara kerjaya dan anak-anak, dan diharapkan orang lain tak perlulah buat kami rasa bersalah lagi.
5. Aku tak bolehlah kalau tak kerja. Cuti bersalin hari tu pun dah boring duduk rumah. Macam tak ada life!
Setiap orang ada kecenderungan masing-masing. Kalau ada yang rasa bosan, apa boleh buat.
Tapi, macam dinyatakan tadi, bukan semua orang mahu menjadi surirumah atas kerelaan sendiri. Ada yang terpaksa, nak buat macam mana? Mungkin keadaan yang tidak memihak untuk mereka bekerja buat masa ini. Jadi, janganlah kita mengusik emosi mereka ini lagi.
6. Mesti dah pakar bab-bab memasak dan urus anak kan? Kongsilah tips.
Ini bukan kes nak merendah diri. Tapi, janganlah expect kami hebat memasak macam Chef Wan dan tahu semua tips deko macam Eric Leong. Senang kata, bukan semua surirumah mahir memasak dan buat kerja rumah ya. Kebanyakan resepi pun masih jenis ‘campak-campak’ lagi.
Yang tengok dalam TV tu semuanya bohong. (Tapi, taklah dinafikan memang ada surirumah yang sangat sabar dan berbakat untuk buat semua kerja rumah dengan cekap.)
Mungkin hari ini tetamu datang pada waktu yang ‘tenang’. Kalau tak kena masa, memang boleh jadi caca marba dibuatnya.
7. Anak-anak tu mesti manja kan?
Amboi, senangnya cakap anak kita manja. Tak pernah tengok lagi ke mak-mak jadi singa jadian?
Tapi, anak mana yang tak suka ‘berkepit’ dengan ibu mereka, kan.
Ingatlah bahawa pelukan dan komunikasi dengan anak amat penting walaupun mereka dah meningkat usia.
Jadi, sama ada kita bekerja atau tidak, ia adalah tanggungjawab kita untuk mendampingi mereka, berbual dengan mereka, dan bermain dengan mereka.
Walaupun kita duduk di rumah, kita tetap ajarkan anak-anak dengan disiplin. Mereka kena cuci pinggan setiap hari, kemas bilik, dan uruskan pakaian mereka sendiri.
8. Apa yang kau buat sepanjang hari di rumah?
Aduh, malaslah nak cakap dengan orang yang tanya macam ni. Nak tengok senarai ke?
9. Bestlah dapat duduk rumah, tak payah pening kepala kat pejabat tu…
Di mana-mana pun sama saja rasanya… Bukan di pejabat saja yang ada masalah dan cabaran. Lagipun, setahu saya, wanita yang berhenti kerja dan jadi surirumah bukanlah sebab serabut dekat pejabat, tapi biasanya sebab masalah lain.
Kalau rasa nak cuba, bolehlah duduk di rumah dengan 3 orang anak ni. (Belum masuk lagi dengan suami yang akan balik kerja nanti. Hihi.)
10. Aku takut nak jadi surirumah. Kalau suami buat hal macam mana? Terkontang-kanting kena tinggal…
(Istighfar panjang dulu.) Kalau ada yang rasa mereka tak boleh berhenti atas faktor kewangan, tak ada siapa yang memaksa. Apapun, tujuan kita nak kahwin bukanlah untuk bercerai. Jadi, kenalah kuatkan hati dan tawakal. Kalau ditakdirkan suami nak buat hal, kena tunggu kita jadi surirumah ke?
Bagi yang betul-betul nak jadi surirumah, buatlah solat istikharah dan minta Allah tunjukkan jalan terbaik untuk kita. Memang pada awalnya kena berjimat-cermat. Tapi lama-kelamaan anda akan terbiasa. Keberkatan rezeki itu bukanlah dinilai daripada jumlah harta. Bersangka baiklah pada Allah tentang rezeki.
Setiap Ibu Akan Melalui Cabaran Yang Tersendiri
Setiap orang ada definisi bahagia yang tersendiri. Ramai wanita khususnya akan melalui perubahan demi perubahan dengan kehadiran cahaya mata. Jangan risau, setiapnya mempunyai rezeki yang Allah tetapkan. Tentu ibu-ibu sendiri lebih tahu apa yang terbaik untuk keluarga mereka pada waktu tersebut.
Sebagai seorang wanita juga, kita sepatutnya lebih memahami dan memberi sokongan kepada rakan dan saudara kita. Semoga setiap urusan anda akan dipermudahkan walau apa jua jalan yang anda pilih!