Inspirasi

Selain Pekerjaan, Surirumah Kena Belajar Untuk ‘Lepaskan’ 5 Perkara Ini

5.5K
SHARES
tips surirumah

“Ingatkan lepas berhenti kerja, semua masalah boleh selesai. Tapi, sebenarnya nak jadi surirumah sepenuh masa bukanlah semudah yang disangka. Banyak juga cabarannya yang aku tak pernah tahu…”

Disebabkan faktor-faktor tertentu, ramai wanita bekerja yang terpaksa melepaskan impian mengejar cita-cita buat sementara waktu demi menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak.

Mungkin ada yang beranggapan kehidupan menjadi surirumah adalah lebih simple dan mudah. Benarlah orang kata, kalau kita dapat menjaga anak sendiri ia dapat memberi kepuasan yang luarbiasa. Namun, ia juga memiliki tanggungan emosi yang mungkin tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Selain Pekerjaan, Ini 5 Perkara Yang Surirumah Kena Belajar Untuk ‘Lepaskan’

Sebagai seorang surirumah, ada banyak cabaran serta pengorbanan yang mesti dihadapi untuk mengekalkan ‘kewarasan’ setiap hari. Malah, ada banyak perkara yang perlu surirumah ‘let go’ selain pekerjaan kita dahulu.

1. Rasa Bersalah

Selama ini, kita sangkakan kita sudahpun membuat pengorbanan dengan meletak jawatan demi mengurus keluarga. Tapi, siapa sangka kita akan berasa bersalah pula apabila tidak bekerja?

Apabila disoal rakan-rakan dan keluarga, kita berasa malu untuk memberitahu mereka yang kita sudahpun berhenti kerja. Ada yang menerima jawapan dengan senyuman, ada yang berkata “Seronoknya!”, dan ada yang berasa hairan. Dalam hati, terbit rasa defensif dan seperti perlu mempertahankan keputusan tersebut – macam nak beritahu mereka yang kami juga terpaksa struggle untuk meneruskan kehidupan ini!

Walau apa pun reaksi orang lain, sebenarnya kita perlu faham bahawa diri kitalah yang paling mempengaruhi perasaan bersalah ini. Oleh itu, jangan biarkan fikiran anda menerawang dan memikirkan perkara yang bukan-bukan tentang tanggapan orang lain.

tips surirumah

Foto Kredit: greencleanphoenix.com

2. Menjadi Supermom

Apabila tidak bekerja, kita akan menganggap segala kerja di rumah adalah tanggungjawab kita. Kita rasa sangat teruk apabila kerja tersebut tidak dapat diselesaikan dengan sempurna. Apatah lagi apabila membandingkan diri kita dengan ibu-ibu yang mahir memasak pelbagai hidangan, membuat kek, biskut, menjahit, membuat kraf, dan beraktiviti dengan anak-anak. Macam mana mereka ada masa untuk melakukan semuanya?

Hakikatnya, cinta seorang ibu terhadap anaknya sudah cukup istimewa. Setiap manusia dikurniakan karakter yang unik. Anda pasti akan menemui kebolehan anda suatu hari nanti. Semua ini mengambil masa dan ada yang memerlukan praktis demi praktis. Maka, janganlah berputus asa dan asyik membandingkan kebolehan anda dengan orang lain.

3. Waktu Bersosial

Sejak menjadi surirumah, kebanyakan wanita kurang berinteraksi dengan orang lain. Hari demi hari, ruang lingkup sosial semakin mengecil, dan lama-kelamaan, mungkin ia hanya merangkumi keluarga dan anak-anak saja.

Hanya seorang surirumah yang tahu betapa kadangkala mereka perlu meluahkan sesuatu yang terbuku di hati. Mereka mahu berkongsi apa yang dilakukan hari ini. Mereka mahu dipeluk dan dirindui walaupun tinggal serumah. Betapa leganya apabila dapat terlibat dalam sebuah perbualan orang dewasa. Ini semua seiring dengan naluri seorang manusia, terutamanya wanita, yang perlu rasa didengari. Oleh sebab itulah, perlunya seorang pasangan yang sedia mendengar dan memahami.

cara mendisiplinkan anak

Foto Kredit: quotesgram.com

4. Rasa Kurang Percaya Diri

Pekerjaan di rumah susah untuk dinilai kerana pencapaian kita tidak dibayar gaji. Apabila semua pekerjaan menjadi rutin, ia tidak lagi dianggap istimewa. Bahkan, ada yang melihatnya sebagai kerja remeh atau sebahagian lagi terlupa untuk menghargai kepentingannya.

Secara tidak langsung, ia menjadikan seorang surirumah cenderung untuk berasa kurang percaya diri. Ada juga yang berasa seperti membebankan suami, apatah lagi apabila mereka tidak melakukan sebarang ‘projek sampingan’ selain menguruskan rumah tangga dan anak kecil. Dalam hal ini, kita perlu selalu mengingatkan diri sendiri bahawa kita telah cuba sedaya-upaya untuk mewujudkan persekitaran yang dilimpahi kasih sayang untuk anak-anak. Malah, kita perlu menyayangi dan menghargai diri sendiri sebelum orang lain dapat melakukan perkara yang sama buat kita.

Two mothers in park with babies in strollers

5. Menyesal

Semasa dilanda masalah atau ujian dalam rumah tangga, memang susah untuk menahan rasa menyesal kerana berhenti kerja. Emosi memang mudah terganggu jika kita tidak cuba mendapatkan pertolonganNya. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa bertawakal kepadaNya. Yakinkanlah diri bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Anggaplah juga berhenti kerja sebagai satu rahmat untuk anda mendekatkan diri dengan Allah, selain untuk membantu menguruskan keluarga. Gunakanlah peluang yang ada untuk mendalami lagi ilmu agama dan mengajarkannya kepada anak-anak. Mudah-mudahan, usaha anda ini akan dikira sebagai amalan berterusan hingga dapat membesarkan anak-anak yang soleh dan solehah.

anak islam ibu

Jadi Surirumah Juga Banyak Cabarannya!

Atas sebab tertentu, sesetengah wanita menganggap bahawa keputusan berhenti kerja dapat menjadikan rumah tangga mereka lebih stabil. Keluarga lebih mudah diurus kerana ada salah seorang yang tidak bekerja. Tapi, sesetengah pasangan mengalami tekanan hidup yang amat kuat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kewangan yang baru.

Bukan itu saja, ada wanita yang cepat berasa cemburu apabila suami asyik keluar outstation, malah terbeban dengan segala hal-hal di rumah yang tak pernah dibantu. Percayalah bahawa semua ini sebenarnya normal. Suami pula mungkin tidak akan pernah memahami hal ini selagi anda tidak menyedarkan mereka tentangnya. Anggaplah ianya sebagai salah satu fasa untuk anda berdua menyesuaikan diri. Ambil masa untuk berbincang dan ketahuilah bahawa masalah dalam rumah tangga memang wujud dari semasa ke semasa.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×