Famili

Inovasi Sistem ROSE Buang Rasa Malu Wanita Untuk Buat Pemeriksaan Kanser Serviks

2
SHARES

Adakah anda pernah menjalani pemeriksaan pangkal rahim (servik)? Jika masih belum, anda boleh lakukan pemeriksaan dengan mudah dengan adanya inovasi sistem ROSE!

Baru-baru ini, Malaysia telah mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama melaksanakan Program Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) yang bertujuan untuk mencegah Kanser Pangkal Rahim menjelang 2030.

Apa itu ROSE?

Ketua Penyelidik ROSE, Profesor Dr Woo Yin Ling berkata, melalui ROSE, ia menggabungkan tiga komponen termasuk pensampelan sendiri, ujian jangkitan virus human papilloma (HPV) dan platform digital yang memantau keseluruhan perjalanan melalui sistem teknologi bersepadu.

Katanya, revolusi menerusi Program ROSE itu selari dengan sasaran untuk mencegah kanser pangkal rahim menjelang 2030 dalam kalangan wanita berusia 35 hingga 45 tahun di negara ini.

Pemeriksaan lebih privasi

Inovasi sistem ROSE ini merupakan pemeriksaan oleh anda sendiri di rumah mahupun pejabat.

“ROSE memberi lebih masa privasi kepada golongan wanita untuk membuat pensampelan sendiri sekali gus menggalakkan lebih banyak wanita untuk menyertainya.

“Kita tidak mahu disebabkan rasa malu untuk menjalankan ujian ini menyebabkan kanser ini menjadi antara punca utama kepada ramai wanita menderita dan mati akibat kanser pangkal rahim.”

Setiap wanita juga boleh melakukan persampelan sendiri iaitu dengan menggunakan kit ujian berbentuk putik kapas dan bekas silinder khas disediakan tetapi keputusannya boleh diproses dengan segera.

Katanya, kit itu tidak memerlukan peralatan klinikal khusus seperti pap smear, tetapi penguji boleh melakukan sendiri bagi mengambil sampel di vagina.

“Sampel kemudian dibungkus dengan selamat sebelum dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya. Kaedah penghantaran sama ada menghantar sendiri, menggunakan perkhidmatan e-hailing atau pekerja penghantaran.

“Kami bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menghantar keputusan ujian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kaedah ini memudahkan wanita dan tidak perlu datang ke makmal mengambil keputusan ujian, selain mengelak kemungkinan dokumen keputusan tercicir,” kata Yin Ling yang juga Pakar Perunding Obstetrik Universiti Malaya (UM).

Kanser serviks merupakan barah ketiga paling kerap berlaku di Malaysia

Untuk pengetahuan anda, kanser serviks adalah kanser keempat paling kerap dihidapi wanita di peringkat global yang menyebabkan kira-kira 270,000 kematian di seluruh dunia. Manakala di Malaysia, kanser serviks adalah penyakit barah ketiga paling kerap dihidapi wanita kira-kira 2,00 kes dilaporkan setiap tahun.

Jadi, jom jalani pemeriksaan kanser serviks ini sekarang!

Sumber: Selangorkini

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×