Dalam Islam, solat fardu lima waktu adalah kewajiban utama bagi setiap Muslim. Namun, ada juga dalam kalangan kita yang ‘culas’ atau terlepas masa solat kerana tertidur. Jadi, adakah individu yang tidak tidur ini wajib untuk mengejut orang yang sedang tidur untuk bangun mengerjakan solat?
Rupanya ada waktu yang menjadi wajib dan sunat untuk anda kejutkan orang dari tidur untuk menunaikan solat. Berikut merupakan penjelasan dari Mufti.
Baca juga: Meremang! Ini Ciri-Ciri Orang Yang ‘Dihantui’ Saka, Tanda Nombor 8 Mungkin Ramai Yang Ada!
MASA SOLAT DAH TIBA TAPI INDIVIDU TERSEBUT TIDUR, KENA KEJUTKAN TAK?

Foto: Freepik
Pada asasnya, hukum mengejut orang yang tidur untuk solat ialah sunat di sisi mazhab syafi’i. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi, kata beliau:
يستحب إيقاظ النائم للصلاة، لا سيما إن ضاق وقتها[1]
Maksudnya: “Disunatkan untuk mengejutkan orang yang tidur untuk menunaikan solat, lebih-lebih lagi apabila waktu solat sudah hampir tamat.”
Hal ini kerana mengejut orang yang tidur untuk menunaikan solat adalah bertepatan dengan suruhan saling membantu dalam kebajikan dan takwa, firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan bertakwa.”- (Al-Ma’idah: 2)
Walau bagaimanapun, hukum sunat ini bukanlah secara mutlak dalam semua keadaan, namun terdapat keadaan yang mewajibkan kita untuk mengejut orang yang tidur untuk solat. Hukum mengejut orang yang tidur untuk menunaikan solat adalah sunat dalam situasi berikut:
-Jika diketahui orang itu tidur sebelum masuk waktu walaupun kebiasaannya dia akan bangun sendiri untuk menunaikan solat dalam waktu dan sama ada dia tidur pada waktu itu bersebab atau tidak.
-Jika tidak diketahui keadaan orang itu dari segi bila dia mula tidur dan kebiasaannya akan sempat bangun solat atau tidak.
Namun, akan jadi WAJIB untuk mengejutkan orang bangun tidur bila:
-Jika diketahui bahawa seseorang itu tidur selepas masuk waktu dan kebiasaannya dia tidak akan sempat bangun untuk solat dalam waktu, maka wajib mengejutnya.
Sesungguhnya, Allah SWT sangat menitikberatkan kefarduan solat dalam al-Quran dan menekankan kewajipan untuk ia dilaksanakan dengan cara yang diajarkan oleh Nabi SAW dan pada waktu yang telah ditetapkan secara terperinci, firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”- (Al-Nisa’:103)
Baca juga: Hukum ‘Batalkan’ Puasa Ganti Ramadan Lepas, Adakah Tergolong Dalam Kategori Dosa Besar?
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan